Tuesday, November 22, 2005

Aku tanpa cinta-Mu

Telah ku mungkiri janjiku lagi
Walau seribu kali
Ku ulang sendiri
Aku takkan tempuh lagi
Apakah Kau terima cintaku lagi
Setelah ku berpaling
Dari pandanganMu
Yang kabur kerna jahilnya aku

Mengapa cintaMu tak pernah hadir
Subur dalam jiwaku
Agarku tetap bahagia
Tanpa cintaku tetaplah Kau di sana
Aku tanpa cintaMu
Bagai layang-layang terputus talinya

Telah ku mungkiri janjiku lagi
Walau seribu kali
Ku ulang sendiri
Aku takkan tempuh lagi
Apakah Kau terima cintaku lagi
Setelah ku berpaling
Dari pandanganMu
Yang kabur kerna jahilnya aku

Masihkah ada sekelumit belas
Mengemis kasihMu Tuhan
Untukku berpaut dan bersandar
Aku di sini kan tetap terus mencuba
Untuk beroleh cintaMu
Walau ranjaunya menusuk pedih

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Agaknya....ini kondisi saya sekarang ye...

Thursday, November 17, 2005

Hidayah dan sa'adah.

Hidayah itu sesuatu yg amat suci. Ia turun dari langit dan umpama cahaya yang memandikan sesiapa yang terpilih dengan penuh rahmat. Keampunan serta rasa kesal ialah ilham dari syurga, tercampak ke dasar jiwa yang paling seni. Ia membiak beranak dan mengusik tubuh yang dihinggapi secara murni.

Hidayah hadir dalam diri yang aman dengan akidah. Seperti kata-kata Ibn Taimiyyah; bahawa akidah adalah perkara yang dibenarkan jiwa, hati menjadi tenang kepada-Nya, memperoleh keyakinan tanpa noda.

Sa'adah disebut di dalam Al-Quran adalah untuk golongan muflihun. Orang-orang yang berjaya dan percaya. Orang yang beriman dan beramal. Muflihun, hidup mati, ibadat, tindak, ikrar setia adalh kerana Allah. Muflihun gelar untuk mereka yang mengelak segala yang sia-sia.

Kehidupan di dunia tanpa jangkaan. Kadang hidup jadi amat spontan, muncul tiba-tiba, hilang pergi mendadak pula. Walau kita diberi ujian, bahagia dan peta. Ada sudut yang kita lakar dan rencana. Namun ketentuannya hanya Allah yang maha berkuasa. Ingatlah rukun iman yang keenam; percaya kepada qadha' dan qadar yang ditentukan. Justeru, usaha dan tawakkal perlu saling bergandingan untuk menjamin diri agar ditempatkan dalam golongan muflihun yang memperoleh sa'adah.

Wednesday, November 16, 2005

Degil berpura-pura - Sifat Bani Israel

Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul: (SIRI 57)

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMMAD AL-BAKRI
SELEPAS Allah menceritakan balasan yang dikenakan kepada Ashab as-Sabt yang ditukar rupa menjadi kera-kera yang hina sebagai satu pengajaran kepada orang yang bertaqwa, di samping sebagai hukuman pencegah bagi orang-orang pada masa itu, Allah meneruskan lagi perbincangan mengenai kisah kedegilan serta keangkuhan kaum Bani Israel terhadap nabinya, Musa a.s. dengan memperolok-olokkan suruhan dan arahannya.

Sayid Qutub berkata dalam Fi Zilal al-Quran: ''Pada akhir pelajaran ini diceritakan kisah lembu dengan terperinci dalam bentuk cerita, bukannya semata-mata sentuhan sepintas lalu seperti kisah yang lain. Kisah lembu ini tidak pernah disebut dalam Surah-surah Makkiyyah sebelum ini dan tidak pernah pula disebut di tempat-tempat yang lain. Ia menggambarkan sifat keras kepala, degil, enggan menurut perintah dan berpura-pura membuat alasan-alasan yang menjadi sifat Bani Israel.

DAN (INGATLAH), KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA KAUMNYA: "SESUNGGUHNYA ALLAH MENYURUH SUPAYA KAMU MENYEMBELIH SEEKOR LEMBU BETINA". MEREKA BERKATA: "ADAKAH ENGKAU HENDAK MENJADIKAN KAMI INI PERMAINAN?" NABI MUSA MENJAWAB: "AKU BERLINDUNG KEPADA ALLAH DARIPADA MENJADI SALAH SEORANG DARIPADA GOLONGAN YANG JAHIL (YANG MELAKUKAN SESUATU YANG TIDAK PATUT)."


MEREKA BERKATA PULA: "BERDOALAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI, SUPAYA DITERANGKANNYA KEPADA KAMI BAGAIMANA (SIFAT-SIFAT) LEMBU ITU?" NABI MUSA MENJAWAB: "BAHAWASANYA ALLAH BERFIRMAN: ''BAHAWA (LEMBU BETINA) ITU IALAH SEEKOR LEMBU YANG TIDAK TERLALU TUA DAN TIDAK TERLALU MUDA, PERTENGAHAN (UMURNYA) DI ANTARA ITU; MAKA KERJAKANLAH APA YANG DIPERINTAHKAN KEPADA KAMU MELAKUKANNYA." (Surah al-Baqarah ayat 67 dan 68)


Firman Allah Taala 'Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina." Al-Mawardi berkata: ''Lembu betina dinamakan baqarah, sedangkan lembu jantan dinamakan thaur. Dinamakan lembu betina dengan baqarah kerana diambil daripada perkataan memecahkan seperti katanya: Robek perutnya apabila dipecahkan. Ini kerana ia digunakan untuk membajak tanah ketika berladang.''

Surah ini dinamakan Surah al-Baqarah sempena dengan kisah ini. Terdapat dua riwayat berhubung sebab turunnya ayat ini:

1. Ibn Sirin meriwayatkan daripada Ubaidah katanya: ''Di kalangan Bani Israel ada seorang lelaki yang mandul, sedangkan dia mempunyai harta yang banyak, yang mewarisinya ialah anak saudaranya. Lantas dia membunuh anak saudaranya itu dan membawanya pada waktu malam ke perkampungan lain, kemudian diletakkan di depan pintu rumah seorang lelaki. Apabila menjelang pagi, dia mendakwa orang tersebut membunuhnya sehingga mereka semua mengangkat senjata dan hampir-hampir berlaku peperangan. Kemudian mereka datang kepada Musa untuk menyelesaikan masalah ini, lantas Musa memerintahkan mereka menyembelih seekor lembu betina.''

Pendapat ini hampir sama dengan kenyataan yang disebut oleh al-Mawardi dalam tafsirnya an-Nukat wa al-`Uyun.

2. As-Suddi meriwayatkan daripada guru-gurunya bahawa seorang lelaki di kalangan Bani Israel mempunyai anak perempuan dan anak saudara lelaki yang fakir. Anak saudara tersebut ingin meminang anak perempuannya tetapi tidak diizinkan oleh bapa saudaranya sehingga menyebabkan dia marah seraya berkata: "Demi Allah, aku akan bunuh bapa saudaraku dan mengambil hartanya, begitu juga mengahwini anak perempuannya." Kemudian dia datang kepada bapa saudaranya seraya berkata: "Telah datang rombongan peniaga pada sebahagian Asbat Bani Israel. Marilah bersamaku dan ambillah untukku daripada perniagaan mereka. Mudah-mudahan aku dapat padanya sedikit habuan." Kemudian kedua-duanya keluar. Apabila hampir sampai, lantas dibunuhnya dan pulang. Kemudian pada waktu pagi beliau datang seolah-olah mencari bapa saudaranya dan tidak diketahui di mana dia. Ketika itu kumpulan peniaga sedang berhimpun lantas dia berkata kepada mereka: "Kamu semua telah membunuh bapa saudaraku yang menyebabkan dia menangis dan bertempik menyeru bapa saudaranya." Abu al-`Aliah berkata: "Yang datang bertanya kepada Musa supaya Allah menjelaskan keterangan dan pernyataan: Pembunuh dan kata yang lainnya: Bahkan kaum yang berkumpul bertanya kepada Musa: Tatkala dia meminta mereka untuk menyembelih lembu mereka berkata: "Adakah kamu mempermainkan kami?"

Mengejek

Ingatlah ketika Musa, nabimu berkata kepadamu: Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyembelih seekor lembu betina tetapi malangnya Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Al-Imam al-Baghawi dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil berkata: ''Kamu mengejek kami sedangkan kami bertanya kepadamu berkaitan pembunuhan dan kamu menyuruh kami menyembelih seekor lembu betina. Dan sesungguhnya kenyataan mereka seperti itu bagi menunjukkan betapa jauhnya dua perkara pada zahir sedangkan mereka tidak mengetahui hikmah di sebaliknya.''

Justeru, ia merupakan satu jawapan daripadamu yang penuh dengan ejekan dan olok-olok terhadap nabimu sedangkan Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)." Aku hanya mengadu dan berharap kepada Allah jika sekiranya aku termasuk di kalangan orang yang mengejek dan jahil. Ini kerana keluar daripada memberi jawapan kepada orang yang bertanya yang ingin mendapat petunjuk kepada ejekan merupakan kejahilan. Justeru, Nabi Musa berlindung daripadanya kerana ia merupakan sifat yang menafikan sifat kenabian. Seterusnya, diperintahkan menyembelih lembu betina bukan yang lain kerana ia merupakan jenis yang disembah mereka daripada anak lembu untuk memperlekehkan dan memperkecilkan apa yang mereka sangka besar.

Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Iaitu apakah ia lembu betina dan bagaimana sifatnya? Sayyid Qutub berkata: ''Bentuk pertanyaan seperti ini membayangkan mereka masih ragu-ragu bahawa Nabi Musa hendak mempermain-mainkan mereka dengan perintah Allah yang disampaikan kepada mereka, kerana pertama mereka berkata: "Pohonlah untuk kami supaya Tuhanmu", seolah-olah Allah itu Tuhan Musa sahaja, bukan Tuhan mereka dan persoalan ini tidak ada kena-mengena dengan mereka, malah hanya membabitkan Musa dan Tuhannya sahaja.

Yang kedua mereka meminta Musa memohon kepada Tuhannya supaya menerangkan apakah ia sebenarnya? Pertanyaan mereka tentang hakikat lembu, walaupun yang dimaksudkan mereka ialah sifat lembu, merupakan pertanyaan yang bertujuan mengingkari dan mengejek. Apakah ia sebenarnya? Itulah lembu. Allah menerangkan begitu sejak awal-awal lagi tanpa menentukan sifatnya. Itulah lembu. Cukuplah begitu sahaja.

Jahil

Di sini juga Musa sekali lagi mengembalikan mereka ke jalan yang benar dengan memberi jawapan yang berlainan daripada cara pertanyaan mereka. Baginda tidak menghadapi mereka dengan mempertikaikan bentuk pertanyaan mereka untuk mengelak dan terlibat dalam perdebatan teknikal dengan mereka, malah Baginda memberi jawapan yang layak diberikan oleh seorang guru atau pendidik kepada orang-orang jahil dan menyeleweng. Iaitu beliau menjelaskan sifat-sifat lembu itu.

Persoalan mereka menunjukkan betapa kurangnya darjat iman mereka kerana apabila disandarkan kepada Tuhan, disebut "tuhan kamu", tidak disebut "tuhan kami" seolah-olah Tuhan Musa sahaja. Cara dan uslub ini berulang pada kalam Bani Israel dalam banyak ayat.

Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; iaitu tidak tua bangka dan tidak terlalu muda. Tetapi sebaliknya pertengahan antara tua dan muda.'' Dalam ayat-ayat ini Allah hendak menerangkan kepada kita bermula dengan arahan sembelihan lembu dan diikuti dengan sebab serta `illah sebagaimana dalam kisah ini. Sebagai seorang Islam yang beriman dengan Allah, apabila kita beribadat kepada-Nya sebagai ketaatan sama ada diketahui `illah (sebab) atau tidak, yang pentingnya perlaksanaan ibadat tersebut kerana arahan Allah.

Kisah ini bermula dengan lembu betina Bani Israel, tidak didatangkan sebab atau `illah pada permulaan. Justeru, kisah ini mempunyai hikmah sama ada ia tersembunyi daripada kita, maka ia tetap ada. Demikianlah kata Syeikh Sya'rawi dalam tafsirnya.

Lantas Nabi Musa menyuruh mereka dengan katanya: ''Maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya." Laksanakanlah segala arahan Tuhanmu, jangan kamu banyak meminta sifatnya dan melampau, nescaya Allah akan membebankan kamu.''

Al-Imam al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: ''Dalam kisah ini penerangan berkaitan jenis yang lain daripada sifat buruk mereka supaya dapat kita mengambil iktibar dan peringatan. Antaranya:

* Terlalu banyak pertanyaan remeh-temeh membawa kepada hukum yang begitu tegas.

* Arahan sembelihan lembu betina sebagai tempelak kepada mereka yang mempertuhankannya.

* Sikap dan sifat mereka yang suka mempersendakan segala arahan nabi.

* Menghidupkan yang mati dibunuh merupakan sebesar-besar tanda dan dalil betapa Kudrat Tuhan dalam mereka-cipta segala makhluk daripada tiada.''

Sayid Qutub berkata: ''Nasihat ini memang sudah cukup untuk orang yang mahu mematuhinya. Ia sudah cukup untuk mereka setelah dua kali mereka dikembalikan ke jalan yang benar oleh nabi mereka, dan setelah disindir supaya menunjukkan adab sopan yang selayaknya ketika mengemukakan pertanyaan dan menerima perintah. Ia sudah cukup bagi mereka bertindak mencari mana-mana lembu yang tidak tua dan tidak muda, iaitu seekor lembu yang pertengahan untuk melepaskan tanggungjawab mereka, cukuplah bagi mereka menyembelih lembu itu kerana menjunjung perintah Allah dan membebaskan diri mereka daripada kesulitan menyusah-nyusahkannya dan menyempit-nyempitkan persoalan. Tetapi Israel tetap Israel.

Tuesday, November 15, 2005

Peringatan buat saya

Berkatalah Ramadhan.....

"Kamu semua, kaum muslimin dan muslimah telah menunggu
kedatanganku, Bulan Ramadhan...

Kamu semua, telah menyambutku dengan bisikan2 zikir,
bersujud dahimu ke bumi, tidak kira siang dan malam
menangisi dosa2mu dan mengisi penuh harapan memohon
restu dan keampunan kpd Allah Rabul Jalil..

Kamu semua telah bertekun melipatkan amal jariah dan
kebajikan untuk merebut peluang menambah saham
sebagaimana di janji Allah SWT...

Dan kini aku, Ramadhan, kian meninggalkan kamu...
Untuk memberi laluan kepada Syawal....

Ingatlah...
Ramadhan telah mengajar kamu bersederhana dalam
makanan dan minuman serta segala perbelanjaan

Janganlah...
Syawal menjadi pembuka nafsu selera dgn berlebih2an
dan membazirkan

Ingatlah...
Ramadhan telah mengajak kamu mendirikan solat2 fardhu
dan sunat

Janganlah...
Syawal menjadi titik noktah untuk meneruskan segala
ibadah

Ingatlah...
Ramadhan telah mensucikan jiwa kamu untuk membuat
kebajikan dan amal jariah

Janganlah...
Syawal menjadi penghalang untuk menghulurkan bantuan

Ingatlah...
Ramadhan telah membasahkan lidah2 kamu dengan
bertasbih, bertahmid dan berzikir

Janganlah...
Syawal mengeringkan lidah2 dengan kata2 yang jahat

Ingatlah...
Ramadhan telah mendidikkan akhlak kamu agar lebih
mulia

Janganlah...
Syawal menukarkan akhlak kamu dengan segala sifat yang
menjijikkan

Ingatlah...
Ramadhan telah datang untuk mengubah diri kita agar
lebih mendekati Allah SWT

Janganlah...
Syawal membawa kita jauh daripada Allah SWT...

Semoga kita menjadi insan seperti baru lahir ke dunia
agar dapat membina cara hidup yang lebih baik selepas
Ramadhan ini.

********************************************************

Banyak yang hendak dicoret sebenarnya. Alam sekeliling saya pelbagai rupa, pelbagai rasa dan pelbagai warna. Ramadhan yang paling menyejukkan dan sambutan aidilfitri yang ceria dan paling meriah serasanya selama 23 tahun hidup saya. A very hectic semester pun dah berlalu. Saya menghitung hari yang mendatang. Menghitung sisa-sisa hari saya bergelar seorang siswi. Menghitung hari saya bakal bergelar siswazah. Banyak berlegar di kepala saya.

Persoalan dan permintaan ummi sentiasa datang biar dalam kiasan halus. Apa yang boleh saya lakukan sekarang ialah berdoa semoga sentiasa berada dalam ketenangan. Ketenangan untuk berfikir, ketenangan untuk bertindak dan ketenangan untuk membuat sebarang keputusan.

Target saya dalam jangka masa terdekat, menghabiskan buku-buku yang belum saya khatam. Dan khatam sekali lagi "Tunggu Teduh Dulu". Apa yang saya nak cari? Sejarah berkaitan Sa'id Nursi. Penglibatannya dalam dakwah di zaman kejatuhan Turki Uthmaniyyah.

Moga Allah permudahkan segala urusan saya. Allahumma yassir li wa la tu'assir! Amin ya Rabbal 'Alamin.