Saturday, October 15, 2005

Saya, penerangan dan 'baksis'

Saya sudah tua rupanya. Malam ini baru saya tersedar. Di saat saya diraikan dalam majlis wida’ yang penuh kesederhanaan dan kesyahduan Ramadhan. Saya diminta untuk memberikan ucapan. Sememangnya saya tidak bersedia. Ucapan jadi caca merba. Hakikatnya, saya memang seorang yang susah untuk meluahkan apa yang berada di minda dan rasa. Lebih senang dengan menulis agaknya. Agak menghairankan, saya bukanlah seorang pendiam. Cuma…ntahlah. Disebabkan ucapan saya cacamerba, amanat yang ingin disampaikan jua mungkin tidak kesampaian. Mungkin apa yang akan saya coretkan boleh dijadikan sebagai serampang dua mata. Khusus buat sahabat upta dan adik-adik penerangan.

Dalam mood yang terharu, mungkin coretan saya agak emosi. Tapi percayalah, ini jualah dari hati. Bahawa sesungguhnya saya ingin menyatakan saya amat sayang akan penerangan. Banyak pengalaman saya kutip di sini. Bermula saat saya di usia hingusan sampailah saat saya dianggap veteran. Sudah enam tahun rupanya. Terasa baru semalam saya berhempas pulas di matrik. Bersama-sama rakan sebaya, menjayakan misi yang amat istimewa. Dari bilangan kami yang ramai, sehinggalah saya keseorangan. Semuanya amat berharga buat saya. Oleh sebab itu saya masih setia. Dari seorang ke seorang ahli baru datang menyerta, saya yakin dan optimis bahawa semuanya punya potensi yang besar untuk membawa penerangan ke tempat yang sepatutnya. Cuma sekarang masih ditahap permulaan. Insya Allah masanya pasti akan tiba. Apa yang penting sekarang adalah strategi dan usaha. Bahawa pekerjaan yang baik tanpa disertai dengan strategi yang baik akan dikalahkan jua dengan pekerjaan yang jahat yang dirancang dengan strategi yang baik.

Sepanjang saya menjadi ahli keluarga penerangan, saya perhatikan penerangan masih dibelenggu dengan isu lapuk. Kurang menulis dan menganalisis serta isu plagiat semuanya sudah sedia ada tika zaman saya di usia pucuk. Lebih separuh dekad, isunya tetap sama. Carilah penyelesaiannya. Saya juga masih belum mampu keluar sepenuhnya dari belenggu ini. Apa yang saya pasti, menjadi keluarga penerangan, kita perlu lebih banyak membaca dari orang lain baik dalam apa jua bidang sekali pun. Selain membaca, analisis dari bacaan juga perlu dibuat dan diinterpretasikan dalam kehidupan seharian barulah mudah untuk kita mengelakkan diri dari terus menjadi penjenayah plagiarisme. Mungkin tampak terlalu idealistik, tetapi apa salahnya kita cuba sedikit demi sedikit. Insya Allah, dengan niat lillahi Ta’ala nusrah Allah pasti bersama kita. Gunakanlah segala wasilah yang kita ada untuk melaksanakan secara berdikit. Lama-lama pasti menjadi bukit. Pada hemat saya, bukan ahli keluarga penerangan sahaja yang patut menjadi seperti yang saya katakan, malahan semua yang berkenaan, terutama buat sahabat-sahabat yang akan bergelar siswazah yang akan berdepan dengan dunia realiti tidak lama lagi.

Bergelar ‘baksis’ memperkenalkan saya dengan dunia lebih luas, lebih global dan lebih realistik. Kehidupan sebenar rupa-rupanya amat berbeza dari apa yang saya jangkakan. Apa yang terbaik buat diri saya pada ketika ini adalah sentiasa bersederhana dan terus istiqamah kerana setiap yang berlebihan itu selalunya pasti mendatangkan natijah yang menyakitkan. Biar tidak dilihat secara wadhih, kesannya pada diri individu pasti jua akan terasa. Wallahu’alam…bagaimana harus saya terjemahkan dengan bahasa yang lebih mudah? Tidak mengapa, bahasa saya tidaklah amat payah untuk difahami. :)
Bergelar sebagai ‘baksis’, ada suka, ada durja, ada terang, ada kelam, ada pahit, ada manis. Sudah banyak yang saya rasa. Rasa bagaimana disanjung dan dipuja, rasa bagaimana dipijak kepala, rasa bagaimana dikritik dan dicerca, ditempelak dan dihina. Saya sudah rasa bagaimana keadaan bila berada di atas, dan juga rasa bagaimana bila berada di bawah. Semuanya seribu satu rasa. Kalau pengalaman sebagai seorang ‘baksis’ hendak dihitung, pasti kelenguhan tangan saya menaipnya. Akan tetapi, jika nak dihitung dengan pengalaman orang lain saya pasti masih seorang yang kerdil. Cuma yang dapat saya katakan di sini, pengalaman saya yang kerdil ini banyak mengajar saya mengenali siapa kawan, siapa lawan, siapa sahabat, siapa kawan dan siapa teman yang berada di sekeliling saya. Dengan pengalaman yang sedikit cuma, saya juga mengenal erti berhati-hati meluahkan apa yang saya rasa, menyatakan apa yang terlintas di kepala dan menafsir apa yang saya terima.

Bergelar seorang ‘baksis’ mengajar saya menjadi seorang yang muda yang mendambakan tukjuk ajar yang tua, menjadi seorang yang tua yang menunjuk ajar yang muda. Bergelar seorang’baksis’ juga mengajar saya memberi semangat di saat orang lain mulai renggang dari simpulan ukhuwah yang terbina, mendapat semangat dari sahabat yang sentiasa tegar dan ampuh dengan tarbiyah yang diterima, segar bugar di saat keletihan dan kepenatan. Apa yang paling penting, mengajar saya berpegang teguh dengan arkan yang wajib diimani sebagai seorang Muslim. Kerana, yang memberi hidayah itu hanyalah Allah tiada yang lain. Sungguh! Sekuat mana kita berusaha, sedaya mana kita bermujahadah, kalau bukan dengan izin Allah, belum pasti ianya najah. Tetapi yakinlah bahawa Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Setiap usaha itu pasti akan dibayar dengan laba yang setimpal.

Bergelar seorang ‘baksis’, saya semakin sibuk dengan tugasan yang belum selesai. Dalam kesibukan, segala rasa timbul di minda. Ingin lari dari taklifan yang sedia ada, ingin beruzlah seketika, ingin rehat selamanya. Akan tetapi, kejamlah saya andai melaksanakan kesemua keinginan yang ada. Kerana hanya orang yang kejam sahaja membiarkan segala tanggungan yang ada digalas oleh orang lain. Saya pasti, orang lain juga merasai apa yang saya rasa. Jemaah itu fitrahnya seorang insan. Aqidah itu dasarnya, ukhuwah itu hiasannya. Kalau kita semakin jauh dengan jemaah, pasti ada yang tidak kena dengan aqidah mahupun ukhuwah. Kita bukanlah kambing yang terlepas dari kelompoknya, tetapi kita hanyalah kambing yang terlalu asyik dengan nikmat rumput di depan mata sehingga terlupa bahawa kita bukanlah bersendirian tetapi berkelompok jualah adanya. Pandanglah ke kiri dan ke kanan, lihatlah sahabat-sahabat kita. Segarkanlah semula ukhuwah yang sedia terbina. Agar saat kemanisan yang kita rasai sejak sekian lama tidak terkubur begitu sahaja. Ukhuwah yang ditunjangi dengan aqidah, pasti lebih manis jika disulami keikhlasan dan keterikatan yang dengan yang Maha Esa. Entah bagaimana saya boleh mengutarakan perihal keikhlasan padahal saya sendiri masih merungut saat kesusahan. Masih mengungkit saat kesakitan. Masih marah saat berada dalam kesilapan. Astaghfirullah…

Sudah panjang saya berceloteh. Sudah banyak saya mencoret. Saya tidak pasti apa yang saya ingin sampaikan, kesampaian atau tidak. Mudah-mudahan… apa yang datang dari hati itu jatuh jua ke dasar hati. Sesungguhnya Allah jualah yang memberi hidayah kepada sesiapa jua yang dikehendaki. Wallahu’alam… Maaf atas segala salah dan silap. :)

2 Comments:

At 9:08 PM, Blogger cupcake said...

Blognya sangat informatif.
Salam,
Santy - IdeBaru.com

 
At 3:53 AM, Anonymous niroa said...

Hey, there is a great deal of effective info above!

 

Post a Comment

<< Home