Wednesday, October 12, 2005

12 mata air terpancut dari batu

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYED Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: ''Ayat berikut menyebut peristiwa yang tercatat di dalam sejarah mereka. Ia termasuk dalam sejarah mereka dan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas zaman Nabi Musa a.s.''

Al-Quran mengambil kira seluruh sejarah Bani Israel sebagai satu unit sejarah sahaja. Sejarah lama mereka sama dengan sejarah barunya, dan sejarah tengahnya sama dengan sejarah awal dan akhirnya. Semuanya menggambarkan pemberontakan dan penderhakaan (terhadap Allah) dan penyelewengan (dari jalan yang benar).

Apa sahaja peristiwa yang dibicarakan oleh al-Quran, maka ia adalah satu peristiwa yang memang diketahui mereka. Di samping itu, al-Quran mengingatkan mereka mengenai kejadian-kejadian yang ada di dalam pengetahuan mereka. Allah telah menolong mereka, lalu mereka berjaya menakluk sebuah negeri yang tertentu, dan menyuruh mereka supaya memasukinya dalam keadaan rendah diri dan berdoa memohon kepada Allah supaya mengampunkan mereka dan menggugurkan dosa mereka. Allah juga telah berjanji untuk mengampunkan kesalahan-kesalahan mereka dan menambahkan limpah kurnia nikmat-Nya kepada para muhsinin, tetapi mereka melanggar semua perintah itu seperti kebiasaan kaum Yahudi.

KEMUDIAN ORANG-ORANG YANG ZALIM (PENDERHAKA) ITU MENGUBAH PERKATAAN (PERINTAH KAMI) YANG DIKATAKAN KEPADA MEREKA DENGAN MELAKUKAN SEBALIKNYA. MAKA KAMI TURUNKAN KE ATAS ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU BALA BENCANA DARI LANGIT, DENGAN SEBAB MEREKA SENTIASA BERLAKU FASIQ (MENDERHAKA).

DAN (INGATLAH) KETIKA MUSA MEMOHON SUPAYA DIBERI AIR UNTUK KAUMNYA, MAKA KAMI BERFIRMAN: "PUKULLAH BATU ITU DENGAN TONGKATMU", (IA PUN MEMUKULNYA), LALU TERPANCUTLAH DARI BATU ITU DUA BELAS MATA AIR. SESUNGGUHNYA TIAP-TIAP SATU PUAK (DI ANTARA MEREKA) TELAH MENGETAHUI TEMPAT MINUMNYA MASING-MASING. (DAN KAMI BERFIRMAN): "MAKANLAH DAN MINUMLAH KAMU DARIPADA REZEKI ALLAH ITU, DAN JANGANLAH KAMU MEREBAKKAN BENCANA KEROSAKAN DI MUKA BUMI."
(Surah al-Baqarah Ayat 59 dan 60).

Firman Allah Taala :'Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu, iaitu orang-orang yang zalim telah mengubah dan meminda arahan dan urusan Allah sebagaimana mereka mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya. Sepertinya mereka masuk dalam keadaan hina di belakang mereka, seraya berkata dengan nada ejekan, sebiji daripada buah sya`ir dan memperlekehkan segala urusan Allah.

Al-Imam az-Zahabi melalui kitabnya, al-Kabair (dosa-dosa besar) menyebut: ''Berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya.'' Al-Hasan al-Basri rahimahullahu Ta`ala berkata: ''Mereka ialah orang-orang yang mengatakan, jika kami mahu, kami akan mengerjakannya. Dan jika kami tidak mahu, kami tidak akan mengerjakannya." Dalam hal ini, Ibn Jauzi mengatakan dalam tafsirnya, bahawa menurut sebahagian besar para ulama menghukum orang yang berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya adalah kufur, boleh dikira terkeluar daripada agama Islam. Juga tidak syak lagi, bahawa orang yang berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya dalam hal menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, adalah kufur secara mutlak.

Seterusnya az-Zahabi menyebut beberapa hadis berkaitan dengannya, di antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim mafhumnya "Barangsiapa yang berdusta atas namaku (Nabi), maka baginya akan dibangunkan rumah di dalam neraka jahanam." Begitu juga dalam riwayat Muslim mafhumnya: "Sesungguhnya berdusta atas namaku itu tidak boleh disamakan dengan berdusta atas nama orang lain. Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka dia telah menempah sebuah tempat di dalam api neraka."

'Maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit', iaitu Kami turunkan ke atas mereka penyakit taun dan bala.

Mengenai jenis-jenis azab ini terdapat tiga pendapat ulama:

lBahawa ia merupakan kegelapan dan kematian. Justeru, mati di kalangan mereka dalam satu masa 24 ribu orang dan binasa 70 ribu orang sebagai hukuman. Inilah pendapat Ibn Abbas.

lDikenakan bala taun iaitu diazab dengannya 40 malam kemudian mereka mati. Inilah pendapat Wahab bin Munabbih.

lBahawa ia adalah salji sehingga 70 ribu orang binasa di kalangan mereka . Inilah pendapat Sa`id bin Jubair.

Ibn Jarir at-Tabari dalam tafsirnya berkata: ''Perkataan rijz dengan makna bala atas azab sebagaimana riwayat daripada Nabi s.a.w. berkenaan taun. Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya ia merupakan balasan yang diazab dengannya sebahagian umat sebelum kamu.

Justeru, Qatadah berpendapat, kalimah rijz itu bermakna azab.

Disebabkan mereka sentiasa berlaku fasiq (menderhaka), iaitu dengan sebab mereka derhaka dan keluar daripada ketaatan kepada Allah dan diriwayatkan mati dengan sebab taun pada satu ketika sahaja melebihi 70 ribu orang.

Dan sentiasalah ayat-ayat menyebut dan membilang nikmat-nikmat ke atas Bani Israel. Salah satu daripada nikmat yang besar ke atas mereka, tatkala mereka sesat di padang pasir dan dahaga yang amat sangat, hampir-hampir membawa kematian, lantas Nabi Musa a.s. berdoa kepada Tuhannya supaya diberi pertolongan kepada mereka. Selepas itu Allah mewahyukan kepadanya supaya memukul tongkatnya ke batu sehingga keluar daripadanya pancutan mata-mata air mengikut kadar jumlah kabilah mereka, iaitu sebanyak 12 kabilah.

Inilah yang dinyatakan Allah 'Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, kerana teramat dahaga ketika sesat di padang pasir, maka Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), dengan sebab itu, terpancutlah mata air daripadanya.

Ada dua pandangan ulama mengenai batu:

lBatu yang makruf bagi Musa. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair, Qatadah, `Atiyyah, Ibn Zaid dan Muqatil. Mereka berselisih pendapat mengenai sifat batu tersebut kepada tiga pendapat:

nBatu yang bersegi empat, pendapat Ibn Abbas.

nBatu berbentuk kepala lembu jantan, pendapat `Atiyyah.

nBatu berbentuk kepala kambing, pendapat Ibn Zaid.

lBahawa arahan memukul mana-mana batu tetapi pendapat yang pertama lebih kuat.

Lalu terpancutlah dari batu itu 12 mata air. Ini berdasarkan jumlah kabilah mereka. Sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minum masing-masing, supaya tidak bergaduh antara satu sama lain. Jika ditanya, apakah hikmah dijadikan 12 mata air? Jawapannya, ialah bahawa kaum Musa jumlahnya ramai ketika mereka sesat di padang pasir dan amat memerlukan air, kemudian mereka mendapatinya. Sudah tentu berlaku pergaduhan dan perebutan di antara mereka. Justeru, Allah sempurnakan nikmat ini dengan menjadikan setiap puak dari kalangan mereka mata air yang khusus kerana mereka mempunyai 12 puak, iaitu daripada keturunan anak-anak Ya'kub. Cucu-cucu beliau lebih dikenali dengan istilah asbat (suku-suku) yang sering disebut dalam al-Quran. Mereka merupakan ketua-ketua suku Bani Israel dan mereka masih terus mengikut sistem suku. setiap suku itu dibangsakan kepada ketua besarnya.

'(Dan Kami berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu daripada rezeki Allah itu, seperti al-Manna dan as-Salwa'. Ini didapati tanpa penat lelah dan kesukaran. Ia semata-mata kurniaan Allah terhadap mereka.

'Dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi'. Iaitu dengan pelbagai jenis kemusnahan. Syed Qutub berkata: ''Mereka hidup di padang pasir dengan alamnya yang tandus, kering dan berbatu-batu, dengan langitnya yang menyuarakan kepanasan dan melontarkan serpihan-serpihan bintang, tetapi daripada batu yang pejal itu Allah mengalirkan mata air untuk mereka, dan dari langit pula Allah turunkan al-manna dan as-salwa, iaitu madu dan burung. Namun demikian, struktur jiwa mereka yang telah reput dan tabiat mereka yang telah jatuh dan buruk itu, telah membuat mereka enggan meningkatkan diri mereka ke tahap matlamat yang tinggi, sedangkan kerana matlamat inilah mereka dikeluarkan dari Mesir dan kerananya juga mereka mengharungi padang sahara.

Allah telah mengeluarkan mereka daripada kehinaan dengan pimpinan Nabi Musa a.s. kerana Allah hendak memberikan kepada mereka negeri yang suci dan mengangkat mereka daripada kehinaan kepada kemuliaan. Tetapi kebebasan itu ada harganya (yang pasti dibayar), kemuliaan mempunyai tugas-tugasnya (yang pasti dilaksanakan) dan amanah agung yang dipertanggungjawabkan di atas bahu mereka juga ada bayarannya ( yang pasti ditunaikan ), namun begitu mereka tidak mahu membayar harga itu, tidak mahu melaksanakan tugas-tugas itu dan tidak mahu menunaikan bayarannya, malah tidak mahu mengubah cara hidup mereka yang tetap dan mudah, tidak mahu menukar makanan dan minuman mereka yang biasa dan tidak mahu menyesuaikan diri mereka dengan keadaan-keadaan dan suasana-suasana hidup mereka yang baru, dalam usaha mereka mencapai kemuliaan, kebebasan dan kehormatan.

Mereka tetap mengingini aneka makanan yang biasa dinikmati di negeri Mesir. Iaitu mereka mahu kacang `adas (dal), bawang putih, bawang besar, mentimun dan sebagainya. Inilah cerita yang diingatkan oleh al-Quran kepada mereka. Di Madinah pula mereka mengemukakan pelbagai dakwaan.

1 Comments:

At 9:25 PM, Anonymous site said...

Well, I do not actually imagine it is likely to have success.

 

Post a Comment

<< Home