Friday, September 02, 2005

TAKTIK ISRAEL MENGHAPUSKAN PEMIMPIN ISLAM

Israel sejak zaman-berzaman menggunakan pelbagai kaedah untuk menghapuskan pemimpin, sama ada pemimpin politik Islam, pemikir & penentang mereka. Taktik yang digunakan bergantung kepada situasi, peribadi pemimpin, dan suasana setempat pemimpin yang mereka ingin hapuskan.

1) Kiriman surat perangkap

Kita sudah maklum, Israel menggunakan perisik mereka sendiri iaitu Mossad untuk mengirim surat berperangkap ini. Surat perangkap ini mengandungi bom, yang apabila dibuka akan meletup. Telah ramai pemimpin Islam yang terkena perangkap ini. Antara yang terawal, tika tahun 50-an, Mustafa Hafiz yang pergi bertemu Jamal Abdul Nasir pada Jun 1956 di Gaza, akhirnya beliau ditangkap. Selain itu, Bassam Abu Syarif, jurucakap rasmi bagi Barisan Nasional Untuk Pembebasan Palestin juga terkena perangkap yang sama pada 1972 di Beirut. Begitu juga pengarah Pusat Kajian Palestin, Dr. Anis Soyigh.

Namun tidak selamanya taktik ini berkesan. Rupanya jerangkap membingkas memakan tuan. Pada 19 Ogos 1972, Pengarah Mossad, Amir Syasyuri, yang ketika itu berada di Kedutaan Israel, London turut terkena surat mengandungi bom itu dan dia mati di tempat kejadian.

Pihak organisasi Palestin (organisasi perjuangan) telah menggunakan banyak cara demi mengelakkan perangkap ini membingkas lagi. Antaranya dengan menjaga kerahsiaan peti surat, membuat daftar harian bagi setiap surat yang masuk dari mana, bila dan apa jenisnya serta bentuknya. Selain itu, mereka tidak membuka surat di tempat yang ramai anggota organisasi berada seperti di pejabat, tetapi menyerahkannya kepada pakar pembuka surat yang lengkap dengan peralatan untuk dibuka di tempat khas yang jauh daripada manusia.

2) Memasang bom pada kereta

Kebanyakan pejuang kurang mengambil berat tentang persediaan asasi dan penting untuk keselamatan kereta walaupun mereka terdedah kepada risiko tersebut. Daripada penulis Ghassan Kanfani di Beirut hinggalah kepada Bassam As-Sya'kah di Tebing Barat dan selain mereka, ramai yang telah terkena. Mungkin ini kerana mereka tidak pernah terfikir bahawa mereka mungkin menjadi sasaran Mossad sebab mereka tidak terlibat dalam gerakan ketenteraan atau keselamatan, walau bagaimanapun, pengalaman membuktikan Mossad menyasarkan serangan kepada semua jenis golongan rakyat Palestin sama ada wartawan, jurnalis, sasterawan, hinggalah kepada pemimpin politik dan tentera.

Memasang bom tidaklah sesusah mana. Cuma memerlukan seseorang yang tahu selok belok litar elektrik kereta, di mana-mana boleh dipasang. Di enjin, di bonet, di but kereta, di pintu, di atas kerusi ketika duduk, hatta pada lampu tinggi, lampu belakang dan mana-mana lampu boleh dipasang bom. Asalkan litar elektrik dapat disambungkan, maka terciptalah bom yang mampu memusnahkan nyawa dan kereta!

Inilah yang berlaku kepada As-Syahid Ibrahim Banu 'Udah yang diletupkan dalam kereta kerabatnya. Sepatutnya, beliau tidak memberikan kunci kereta beliau untuk dibuat pendua kepada sesiapa yang tidak dikenali agar tidak dibuat kunci pendua bagi menceroboh kereta beliau. Penggera kereta patut dipasang, meletakkan tanda pada pintu, but dan bonet kereta supaya dapat mengetahui jika dibuka, selain memastikan pintu dikunci dan dijaga. Pejuang jua perlu memastikan tidak berlaku sebarang perubahan ganjil pada keretanya pada waktu malam dan memeriksa bahagian bawah kereta pada waktu pagi kerana kemungkinan besar bom diletakkan di bawah kereta.

3) Meletupkan kereta dari jarak jauh

Teknik ini teknik yang mudah dan tidak memerlukan masa yang banyak. Peletup cuma memerlukan alat penerima isyarat yang dibubuh pada badan kereta dan penghantar gelombang yang mengandungi butang peletup. Apabila sasaran sudah tiba, butang itu hanya perlu ditekan dan BOM! Kereta itu meletup.

Pejuang perlu memastikan agar alamat sentiasa bertukar, telefon juga selain kereta yang digunakan. Sebelum memakir kenderaan, pejuang juga perlu memastikan agar tiada kereta atau orang-orang yang mencurigakan berada di kawasan sekeliling.

4) Menembak dari jarak dekat

Sebahagian besar pejuang Palestin, yang dihapuskan dengan teknik ini, berada di negara-negara Eropah yang pada pandangan mereka, negara seperti ini selamat sedangkan negara-negara Eropah mempunyai hubungan yang erat dengan Mossad dari sudut perisikan. Hal ini memang agak mengecewakan kerana para pejuang Palestin tidak mengambil berat hal keselamatan masing-masing setelah berada di negara tersebut sedangkan mereka adalah buruan Mossad dan berada dalam senarai paling dikehendaki dan penting dalam organisasi.

Antara yang terbunuh dengan taktik ini ialah As-Syahid Fathy As-Syaqafi, Amin Am bagi pergerakan Jihad Islami di Palestin yang ditembak oleh seorang komando Israel di Malta pada tahun 1995.

5) Menyerbu rumah

Yang dihapuskan melalui cara ini adalah Kamal Nasir, Kamal Udwan dan Abu Yusuf Najjar yang rumah mereka diserbu komando-komando Mossad di bawah pimpinan Ehud Barak pada 10 April 1973. Ketika serbuan berlaku di flat yang didiami oleh ketiga-tiga mereka di jalan Firdan, Beirut, mereka ditembak. Kawasan yang mereka diami, tidak ramai rakyat Palestin atau rakyat Lubnan asal, jadi mereka mudah dijadikan sasaran Mossad.
Sepatutnya, pejuang tidak berada di tempat awam sehingga memudahkan rumah mereka dijejaki. Juga perlu berhati-hati ketika keluar dan masuk rumah. Selain itu, pejuang perlu memastikan jiran-jiran mereka bukan dari kalangan perisik-perisik atau yang boleh disyaki. Malang bagi Abu Yusuf dan sahabatnya, jiran hadapan rumah mereka di aras yang sama adalah seorang wartawan Amerika yang menghilangkan diri selepas serbuan berlaku.
Taktik ini memerlukan ramai orang dan persediaan yang cukup rapi selain maklumat yang lengkap. Jadi, kelemahan pejuang sehingga mendedahkan maklumat keselamatan diri sepatutnya dielakkan.

6) Meletupkan bilik

Taktik ini digunakan dengan memasang bom pada katil, pada pintu atau pada mana-mana alat penerima isyarat yang boleh diletupkan dari jauh. Kes seperti ini banyak berlaku di hotel yang didiami pejuang sebagaimana yang berlaku terhadap Doktor Mahmud Al-Hamsyiri pada 1972 di Paris dan Majid Abu Syirar di Rom pada 1981. Perlu diingat bahawa hotel-hotel yang didiami khususnya di negara Eropah adalah dibawah pengawasan polis dan rangkaian Mossad. Justeru, amat mudah bagi Mossad untuk menyamar sebagai pekerja hotel dan memasang bom. Pejuang seharusnya menyembunyikan identiti masing-masing sewaktu mendiami hotel dan berwaspada terhadap pekerja-pekerja hotel selain tidak tinggal tetap di satu hotel sahaja.

7) Racun

Yang terkenal dengan percubaan Mossad Israel untuk membunuh beliau dengan racun adalah Ustaz Khalid Masy'al, Ketua Pejabat Politik bagi HAMAS namun gagal. Tetapi mereka berjaya membunuh Wadi' Hadad, doktor Palestin merangkap salah seorang pemimpin Barisan Nasional Pembebasan Palestin yang mampu merangka beberapa operasi merampas kapalterbang. Racun itu dibubuh padanya di Baghdad, yang menyebabkan beliau mati akibat kanser darah kronik pada 28 Mac 1973. Khabar angin juga masih tersebar mengatakan bahawa Yaser Arafat juga terkena jenis racun yang sama yang membawa kematian akibat kanser darah. Hal ini boleh dielakkan dengan berhati-hati mengambil makanan terutamanya di tempat awam, memastikan tiada orang asing yang masuk ke dapur, makanan hanya disediakan oleh orang yang dipercayai seperti ahli keluarga atau diri sendiri dan memasang kamera pengawasan ketika tiada di rumah untuk mengelakkan orang yang tidak dikenali masuk dan menaruh racun dalam makanan.

8) Peluru berpandu dari pesawat

Kaedah ini dilakukan terhadap Syeikh Ahmad Yasin, pengasas gerakan HAMAS, dan Syeikh Abbas Al-Musawi, Amin Am Hizbullah dan Abu Ali Mustafa, Amin Am Barisan Nasional Pembebasan Palestin dan Doktor Abd Aziz Rantisi dan ramai lagi pemimpin gerakan HAMAS. Teknik dilakukan dengan pengesanan sasaran melalui satelit yang menghantar maklumat dan gambar kepada pesawat yang mengintip sasaran.

9) Meletupkan telefon bimbit

Pemimpin yang terkenal yang terkena letupan telefon bimbit ini adalah Yahya Ayyasy, ketua Istisyhad dalam pergerakan Kataib Qassam. Dikisahkan oleh Usamah Hamad, sahabat rapat Yahya, bahawa 5 bulan sebelum pembunuhannya, Yahya berlindung di rumahnya. Bapa saudara Usamah, Kamal Hamad, orang yang mempunyai hubungan rapat dengan perisikan Israel telah memberikan sebuah telefon bimbit Belfone kepada Yahya untuk digunakan. Kamal telah meminjam telefon itu selama dua hari dan memulangkannya kepada beliau. Sementara itu, bapa Yahya sering menghubungi Yahya melalui telefon bimbit sedangkan beberapa kali Yahya menyuruh bapanya menelefon menggunakan telefon rumah.

Pada Subuh hari Jumaat 5 Januari 1996, Kamal menghubungi Usamah untuk memintanya membuka telefon bimbit kerana beliau ingin menelefon dari Israel kerana talian telefon rumah telah dipotong. Pada jam 9, bapa Yahya menelefon telefon bimbit tersebut serta menyatakan bahawa tidak dapat menghubungi rumah Usamah kerana talian telefon dipotong. Seketika kemudian, Yahya menyambut telefon dan mengatakan, "Wahai ayah, janganlah lagi menelefon dengan Belfone ini..." dan tiba-tiba telefon itu meletup dan Yahya jatuh. Rupa-rupanya, 50 gram bahan peledak telah ditanam di dalam telefon...

Terjemahan Bebas oleh :
Asyraff Hafdzan Abdullah

Sumber : Majalah Filastin Muslimah keluaran khas sempena ulangtahun pembunuhan 2 orang pemimpin kuat HAMAS (dengan CD), bil. 4, tahun 23, April 2005

1 Comments:

At 3:22 AM, Anonymous cornerofhope said...

Pretty effective material, much thanks for your article.

 

Post a Comment

<< Home