Wednesday, September 28, 2005

Setiap penderitaan - Terkandung kenikmatan

Oleh DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI


IBN `Abbas berkata: `'Bani Israel bertanya kepada Musa: ``Bagaimana ayah membunuh anak dan saudara membunuh saudara''? Lantas Allah menurunkan ke atas mereka kegelapan sehingga sebahagian mereka tidak melihat sebahagian yang lain. Mereka bertanya: ``Apakah tanda taubat kami diterima''? Jawab Musa: ``Bahawa seseorang itu bangun dengan memberi salam dan tidak dibunuh dan diangkat daripada kegelapan''. Justeru, dibunuh mereka sehingga melimpahlah darah dan bertempiklah kanak-kanak: `'Hai Musa, mintalah keampunan dan keampunan.'' Lantas Musa menangis dan diturunkan taubah dan bangkitlah kesejahteraan serta terangkat kegelapan.'' Mujahid berkata: `` Pembunuhan hingga 70,000 orang.''

Nikmat

Selepas Allah mengingatkan mereka dengan pelbagai nikmat, lantas Allah menerangkan tentang sikap mereka yang melampau dan keingkaran mereka di samping meminda segala arahan Allah dengan perlakuan maksiat. Sekalipun mereka kufur dan melakukan maksiat, Allah tetap bermadah dengan penuh kasih sayang. Alangkah keji dan hinanya mereka. Seterusnya Firman Allah Taala:

DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMU BERKATA: WAHAI MUSA! KAMI TIDAK AKAN BERIMAN KEPADAMU SEHINGGA KAMI DAPAT MELIHAT ALLAH DENGAN TERANG (DENGAN MATA KEPALA KAMI). MAKA KERANA ITU KAMU DISAMBAR PETIR, SEDANG KAMU SEMUA MELIHATNYA. KEMUDIAN KAMI BANGKITKAN KAMU SESUDAH KAMU MATI (ATAU PENGSAN DARIPADA SAMBARAN PETIR ITU), SUPAYA KAMU BERSYUKUR. (Surah al-Baqarah ayat 55-56)


Firman Allah Taala: `Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa!' Iaitu ingatlah Bani Israel ketika kamu keluar bersama Musa untuk minta keampunan kepada Allah dengan sebab menyembah anak lembu, lantas kamu berkata: `Kami tidak akan beriman kepadamu', iaitu kami tidak akan mempercayaimu hanya kerana kami mendengar kalam Allah, `sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami).'' Iaitu kami dapat melihat Allah secara nyata dan jelas.

Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-`Uyun berkata: `'Ada dua pendapat berhubung `melihat Allah':

1. Secara terang-terangan. Inilah pendapat Ibn Abbas.

2. Secara zat. Inilah pendapat Qatadah.''

Sayid Qutub berkata di dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran: ``Bukti-bukti yang demikian banyak, nikmat-nikmat Ilahi yang melimpah ruah dan nikmat kemaafan dan keampunan Allah, semuanya tidak dapat mengubah tabiat Bani Israel yang kasar, yang tidak beriman melainkan kepada perkara-perkara yang dapat disaksikan oleh pancaindera sahaja, di samping itu mereka terus berdegil, menentang dan enggan menurut perintah melainkan dengan tekanan keseksaan dan penindasan.''

`Maka kerana itu kamu disambar petir', iaitu Allah menurunkan ke atas mereka api dari langit yang membakar mereka. Al-Mawardi berkata: `'Maksudnya kematian.'' Sayid Qutub berkata: ``Dan sekali lagi mereka diselamatkan oleh rahmat Allah dan sekali lagi mereka diberi peluang hidup supaya mereka mengingati Allah dan bersyukur kepada-Nya, dan di sinilah Allah mengingatkan mereka dengan nikmat itu.''

Kematian

`Sedang kamu semua melihatnya.' Iaitu apa yang berlaku denganmu. Al-Imam al-Baghawi dalam Ma`alim al-Tanzil berkata: ``Sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain ketika berlaku kematian, dan dikatakan kamu mengetahuinya. Maksud melihat di sini dengan maksud mengetahui.''

Ibn al-Jauzi mengemukakan tiga pendapat dalam tafsirnya, Zad al-Masir:

1. Maknanya, sebahagian kamu melihat kepada sebahagian yang lain bagaimana seseorang itu mati.

2. Sebahagian kamu melihat cara bagaimana mereka dihidupkan.

3. Kamu melihat bagaimana azab berlaku ke atasmu.

Kemudian tatkala mereka mati, bangkit Musa menangis seraya berdoa: ``Hai Tuhanku, apa yang patut aku katakan kepada Bani Israel, sedangkan kamu membinasakan yang terbaik di kalangan mereka dan sentiasalah ia berdoa kepada Tuhannya sehingga Allah menghidupkan mereka sebagaimana firman Allah, `Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan daripada sambaran petir itu)', iaitu Kami hidupkan kamu selepas kamu mati sehari semalam. Lantas mereka bangun dan hidup melihat sebahagian mereka kepada sebahagian lain, bagaimana mereka dihidupkan.

`Supaya kamu bersyukur'. Supaya kamu benar-benar bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya ke atasmu dengan membangkitkannya selepas mati. Imam al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya, Minhaj al-`Abidin berhubung martabat bersyukur kepada Allah. Berkata Ibn `Abbas r.a: ``Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah, sama ada secara sembunyi atau secara terang-terangan, dan secara lisan mahupun di dalam hati.''

Bersyukur

Guru kami mengatakan: ``Bersyukur ialah taat zahir dan batin. Kemudian menjauhi segala perbuatan maksiat.'' Ulama lain menyatakan: ``Bersyukur adalah menjaga diri daripada perbuatan maksiat, sama ada zahir mahupun batin.'' Sehingga para guru beranggapan bahawa menjaga diri adalah makna yang tetap, selain menjauhinya jadi harus tetap menjaga, sekali gus menjauhi perbuatan maksiat. Maksud menjauhi maksiat dan perbuatan kufur adalah menolak sewaktu ada ajakan atau dorongan untuk melakukannya.

Berkata guru kami: ``Sesungguhnya syukur itu mengagungkan Allah yang memberi nikmat, yakni mengukur nikmatnya agar kita menjauhkan diri dan bersifat kufur.'' Dengan demikian, tidaklah pantas seseorang yang mendapat nikmat Allah mempergunakannya untuk berbuat maksiat kerana bererti melawan si Pemberi Nikmat. Kewajipan kita adalah bersyukur dan mengagungkan Allah, sehingga kita tidak berbuat maksiat. Seseorang yang telah berbuat demikian bererti benar-benar telah bersyukur. Kemudian bersungguh-sungguh berbakti kepada Allah, dan beramal sesuai dengan kenikmatan yang ada padanya. Setelah itu menjaga dan menjauhkan diri daripada maksiat.

Bila kita harus bersyukur? Kita wajib bersyukur tatkala mendapatkan kenikmatan, sama ada kenikmatan dunia mahupun kenikmatan agama (akhirat ). Sebahagian ulama mengatakan: ``Dalam keadaan menderita (ditimpa musibah ) kita tidak perlu bersyukur, tetapi kewajipan kita bersabar menghadapi musibah itu.'' Kata mereka selanjutnya: ``Di dalam setiap kemudaratan selalu terkandung kenikmatan. Dan kita wajib mensyukuri nikmat itu, meskipun datangnya bersama musibah.''

Ujian


Abdullah bin Umar menyatakan: Setiap kali menerima ujian daripada Allah, aku rasakan di dalamnya terkandung empat kategori kenikmatan:

1. Bahawa musibah itu tidak berhubung dengan agama. Contohnya salah seorang anggota keluarga meninggal dunia. Bukan agama atau iman yang mati!

2. Musibah itu bukanlah mala petaka hebat atau berat. Kerana seberat-berat musibah, masih ada yang lebih berat.

3. Nikmat dikurniakan keredhaan menerima musibah.

4. Nikmat menunggu pahala.

Selain itu kenikmatan yang datang bersama musibah adalah bahawa musibah itu tidak kekal, suatu saat pasti berakhir. Lagi pula musibah itu datang daripada Allah, bukan daripada yang lain, meskipun mungkin penyebabnya adalah makhluk. Apabila seseorang mendatangkan musibah untuk kita, itu bererti keuntungan bagi kita, dan kerugian baginya!

Guru kami menyatakan: ``Penderitaan dunia pada dasarnya harus disyukuri. Sebab semuanya itu akan mendatangkan manfaat besar dan pahala yang melimpah. Sehingga apabila dibandingkan dengan penggantinya, tidaklah bererti semua penderitaan itu.''

Tuesday, September 20, 2005

kulari ke hutan kemudian menyanyiku
kulari ke pantai kemudian teriakku
sepi, sepi dan sendiri
aku benci

ingin bingar
aku mau di pasar
bosan aku dengan penat
dan enyah saja kau pekat
seperti berjelaga
jika ku sendiri

pecahkan saja gelasnya biar ramai
biar mengaduh sampai gaduh

ada malaikat menyulam jaring laba-laba belang
di tembok keraton putih
kenapa tak goyangkan saja loncengnya biar terdera

atau aku harus lari ke hutan
belok ke pantai...

*******************************************************

di saat waktu berhenti, kosong..
dimensi membutakan mata,
memekakkan telinga,
lalu diri menjadi hampa,
saat paradigma dunia tak lagi digunakan untuk menerka,
sadarku akan hadirMU,
mematahkan sendi2 yang tegak berdiri...


Alhamdulillah 'ala kullin

Friday, September 09, 2005

Laut terbelah - Air setinggi gunung

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SYEIKH Abdur Rahman as-Sa`di berkata dalam tafsirnya, Taisir al-Karim: ``Kemudian Allah menyebut nikmat-Nya kepada Bani Israel, berdasarkan janji-Nya kepada Musa selepas 40 malam ia ber`uzlah untuk Tuhannya supaya diturunkan ke atas mereka Taurat, yang mengandungi nikmat-nikmat yang besar dan maslahah yang umum.

``Ini semua tambahan yang terdahulu daripada kurniaan nikmat yang mewajibkan ke atasmu bersyukur dan melaksanakan segala perintah arahan-Nya.''

Firman Allah Taala:

DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BELAHKAN LAUT (MERAH) UNTUK KAMU LALUI (KERANA MELARIKAN DIRI DARIPADA ANGKARA FIRAUN), LALU KAMI SELAMATKAN KAMU DAN KAMI TENGGELAMKAN FIRAUN BERSAMA-SAMA TENTERANYA, SEDANGKAN KAMU SEMUA MENYAKSIKANNYA. (Surah al-Baqarah ayat 50)

Di antara mukjizat Allah kepada Nabi Musa ialah `Dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri daripada angkara Firaun)', iaitu ingatlah juga ketika Kami membelah bagimu lautan yang bersifat cecair menjadi daratan yang kering kontang lagi tandus, sehingga memungkinkanmu berjalan dan menyeberanginya dengan selamat.

Al-Imam al-Mawardi dalam an-Nukat wa al-`Uyun berkata: ``Terdapat dua tafsiran yang dimaksudkan dengan `Kami belahkan laut':

i. Kami pisahkan dengan kamu laut, kerana maksud farq ialah pemisahan antara dua perkara.

Justeru dipisahkan laut kepada 12 jalan dan jumlah bilangan mereka ketika itu 620 ribu. Itu tidak dikira pada anak-anak yang usianya 20 tahun ke bawah kerana masih kecil.

Begitu juga mereka yang berusia 60 tahun ke atas kerana usia tuanya. Sementara itu, tentera Firaun diketuai oleh Haman bersama sejuta bala tentera dan 700 ekor kuda.

Al-Imam al-Baghawi menambah: ``Mereka masuk ke Kota Mesir bersama Ya'kub seramai 72 orang, termasuk lelaki dan perempuan.'' Dan daripada Ibn Mas`ud pula : ``Adalah sahabat Musa seramai 670 ribu orang.'' Amr bin Maimun pula berkata: ``Mereka berjumlah 600 ribu. Apabila mereka mahu berjalan, mereka tersesat sehingga tidak mengetahui ke mana arah mereka. Kemudian Musa memanggil orang-orang tua Bani Israel dan bertanya kepada mereka mengenainya, lantas mereka menjawab: ``Sesungguhnya Yusuf tatkala hampir wafat, telah membuat perjanjian dengan saudara-saudaranya supaya jangan keluar dari Kota Mesir sehingga mereka dikeluarkan bersama. Justeru, kerana itulah perjalanan kami terhalang.''

Kemudian Musa bertanya tentang di mana kubur Yusuf tetapi mereka tidak mengetahui. Lantas Musa bangun seraya menyeru: ``Aku bersaksi kepada Allah, sesiapa yang mengetahui di mana kubur Yusuf, hendaklah mengkhabarkannya kepadaku.'' Dan setiap orang masih lagi tidak mengetahuinya sehinggalah ia mendengarnya daripada seorang wanita tua yang berkata: ``Adakah kamu mahu jika aku tunjukkan kuburnya untuk mengurniakan kepadaku apa yang aku minta?'' Musa enggan dan berkata: ``Sehingga aku bertanya kepada Tuhanku.''

Permohonan


Kemudian Allah mengarahkannya dengan menunaikan permohonan wanita tua itu. Lantas wanita tersebut berkata: ``Sesungguhnya aku seorang wanita yang amat tua, tidak mampu berjalan, bawalah aku dan keluarkanlah aku dari Mesir. Ini adalah permohonanku di dunia. Adapun permohonanku di akhirat, aku minta supaya jangan kamu turunkan mana-mana bilik dari syurga kecuali aku turun bersamamu.'' Jawabnya: ``Ya.'' Wanita itu berkata lagi: ``Sesungguhnya di tengah-tengah Sungai Nil terdapat kuburnya dan hendaklah kamu berdoa kepada Allah supaya kering airnya.''

Kemudian Musa berdoa kepada Allah, sehingga kering airnya dan Baginda berdoa supaya fajar dilambatkan terbit sehingga selesai urusan Yusuf tersebut. Selepas itu Musa menggali tempat tersebut. Baginda mengeluarkannya dalam satu bekas yang diperbuat daripada marmar dan membawanya sehingga dikebumikan di Kota Syam.

Lantas dibuka bagi mereka jalan sehingga berjalanlah mereka bersama Musa dan Harun. Sedangkan Firaun mengarahkan kaum dan bala tenteranya supaya jangan keluar mencari Bani Israel sehingga kokokan ayam berbunyi.

Demi Allah, pada malam tersebut, ayam tidak berkokok. Maka keluarlah Firaun mencari Bani Israel yang diketuai Haman berjumlah sejuta tujuh ratus ribu. Bersama mereka, 70,000 ribu kuda di samping haiwan lain seperti kambing.

Dikatakan bahawa Firaun bersama 7,000 orang, sehingga apabila Bani Israel sampai ke tepi laut dan mereka melihat Firaun yang hampir tiba, mereka berhenti dalam keadaan tercengang, seraya bertanya kepada Musa: ``Hai Musa, apakah yang harus kita lakukan. Dan di mana janji-janji kamu?''

Mereka menambah: ``Firaun di belakang kita, kalau dia berjaya mendapatkan kita, pasti kita dibunuh. Sedangkan laut di hadapan kita, kalau kita masuk, sudah pasti kita lemas.''

Akhirnya Allah mengarahkan Musa supaya memukul laut. Maka dipukullah laut sehingga menjadi 12 lorong. Setiap qabilah melalui lorong masing-masing dan air laut terangkat antara lorong-lorong tersebut setinggi gunung.

Allah mengutuskan angin dan matahari kepada laut sehingga ia menjadi kering yang memungkinkan Bani Israel melaluinya. Sedangkan di sebelah mereka air seperti gunung yang besar, sehingga orang yang berada di satu lorong tidak dapat melihat orang lain yang berada di lorong sebelahnya.

Lantas mereka mulai merasa takut dan berkata: ``Sesungguhnya sahabat-sahabat kita telah dibunuh.'' Kemudian Allah mewahyukan kepada air yang menggunung tinggi itu supaya masuk antara satu dengan yang lain sehingga air seperti bertingkat-tingkat dan dapat dilihat oleh mereka yang berada di lorong-lorong yang berlainan.

Mendengar

Mereka dapat mendengar ucapan teman-teman yang berada di lorong yang lain sehinggalah mereka dapat merentasi laut dengan selamatnya.

ii. Maknanya ialah apabila Kami bezakan antaramu dan laut, kerana asal kalimah farq ialah membezakan antara dua perkara. Sebab itu perkataan firqah di kalangan manusia bermaksud kumpulan yang berbeza daripada yang lain.

Dinamakan laut itu laut kerana sifatnya yang luas lagi dalam. Oleh kerana itu disebut lautan ilmu apabila seseorang itu mempunyai ilmu yang luas. Ada pendapat yang mengatakan, dinamakan laut kerana masinnya air tersebut.

Al-Imam an-Nasafi menyebut satu riwayat bahawa kaum Bani Israel berkata kepada Nabi Musa: ``Mana dia sahabat-sahabat kami? Kami tidak redha sehingga kami melihat mereka.'' Kemudian Allah menurunkan wahyu kepadanya supaya berkata: ``Dengan tongkatmu begini, maka berkatalah dengannya di atas tembok atau benteng sehingga terjadilah lubang, yang menyebabkan mereka dapat melihat dan mendengar perbualan mereka.''

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah: `maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya', iaitu Kami menyelamatkanmu daripada mati lemas dan tenggelam. Sedangkan Kami tenggelamkan dan lemaskan Firaun serta kaumnya.

Hal ini diterangkan dengan firman-Nya: `Sedang kamu semua menyaksikannya'. Iaitu kamu sendiri menyaksikan peristiwa tersebut, maka sesungguhnya ia menjadi tanda dan ayat kebesaran Tuhan untuk menyelamatkan wali-wali dan pengikut-pengikut agama-Nya serta membinasakan musuh-musuh-Nya.

Ibn al-Jauzi dalam kitabnya, Zad al-Masir berkata: ``Terdapat dua pandangan berhubung maksud ``kamu melihat':

1. Melihat dengan mata sebagaimana mereka tenggelam dan lemas.

2. Dengan makna ilmu atau mengetahui.

Al-Imam as-Samarqandi melalui tafsirnya, Bahr al-`Ulum berkata: ``Iaitu kamu melihat mereka apabila laut memuntahkan mereka selepas mereka tenggelam lemas, iaitu nenek moyang mereka.'' Sebahagian mereka berkata: ``Maknanya bahawa sesungguhnya kamu mengetahui yang demikian itu seolah-olah kamu melihat mereka.'' Seorang fakih berkata: `` Pada kisah Firaun dan lainnya merupakan alamat dan tanda kenabian Muhammad s.a.w. kerana beliau pasti tidak mengetahui yang demikian itu kecuali melalui wahyu. Apabila Nabi s.a.w. memberitahu kepada mereka hakikat sebenarnya tanpa sebarang bacaan, sudah tentu ia menjadi dalil bahawa kenyataannya itu melalui wahyu''.

Padanya juga dapat diambil iktibar bahawa diancam kepada orang kafir supaya beriman, moga-moga selamat daripada terkena bala sebagaimana terkena kepada mereka. Dan padanya juga terdapat peringatan kepada orang yang beriman supaya menggerunkan mereka daripada tenggelam melakukan maksiat.

As-Syaukani melalui Fath al-Qadir berkata: ``Dikatakan kamu melihat, iaitu sebahagian kamu kepada sebahagian lain daripada golongan yang berjalan di laut. Dan dikatakan mereka melihat diri mereka yang selamat, sedangkan pengikut Firaun tenggelam.''

************************************************************************

Alhamdulillah... sudah lama saya ketinggalan siri tafsir ini. Tambahan lagi bila bercuti di rumah. Cuti pada kali ini seperti biasa, sentiasa terisi dengan kerja-kerja rutin di rumah. Bezanya, pada kali ini tugasan bertambah dengan acara mengecat pintu rumah hahaha... best giler. Maklumla jakun dah lama tak wat keje2 macam tu. Last wat keje2 mengecat ni masa kat sekolah dulu. Kira terror gak la kalau masuk bab mengecat atau pun sedaranya menconteng apa yang patut.. :P

Projek jehitan 1 dah selamat. tinggal leher je yang perlu disembat. Alhamdulillah... sepanjang saya menjahit mesin amat baik dan taat dengan saya. Kalau tak maunya terpaksa menjadi foreman sorang-sorang kat situ. Tu pun tangan penuh ngan minyak gris...biasala barang lama. Kena warm up lebih sket. Tinggal satu lagi projek menjahit jubah @ mini jubah je lagik. Harap2nya semuanya running smoothly. Maklum saja la. Sekarang ni dah menjangkau tempoh masa kritikal. Second exam mid term n preparation untuk final. Tu baru aspek akademik, belum lagi bab2 lain. Huish, banyak jugak. Nampaknya saya perlu menyusun jadual dengan lebih teliti untuk tempoh masa selepas break. Kalau tak maunya terbabas saya dibuatnya.

Alhamdulillah...syukur sangat2! saya dah selamat sampai di kampus pagi tadi. Sedih sangat mengenangkan lirih suara Afifah dan ummi yang inginkan saya berada lebih lama di rumah. Tapi apakan daya... keadaan tak mengizinkan. Mujo raya nanti cuti lama. Bleh cover balik la kiranya. hehehe...!

Buat Ina yang memang merancang bercuti sehingga Ahad nanti....Tasawwuf dah masuk tajuk wehdat al-wujud. Best memang best, tapi kena baca banyak. Susah gak nampak gayanya... Selamat bercuti no! Ampeh tui ang cuti lelama!

Maaf atas coretan yang tak bermanfaat. Yang boleh dimanfaatkan ambillah ye. Tinggalkan yang tak bermanfaat. :)

Friday, September 02, 2005

TAKTIK ISRAEL MENGHAPUSKAN PEMIMPIN ISLAM

Israel sejak zaman-berzaman menggunakan pelbagai kaedah untuk menghapuskan pemimpin, sama ada pemimpin politik Islam, pemikir & penentang mereka. Taktik yang digunakan bergantung kepada situasi, peribadi pemimpin, dan suasana setempat pemimpin yang mereka ingin hapuskan.

1) Kiriman surat perangkap

Kita sudah maklum, Israel menggunakan perisik mereka sendiri iaitu Mossad untuk mengirim surat berperangkap ini. Surat perangkap ini mengandungi bom, yang apabila dibuka akan meletup. Telah ramai pemimpin Islam yang terkena perangkap ini. Antara yang terawal, tika tahun 50-an, Mustafa Hafiz yang pergi bertemu Jamal Abdul Nasir pada Jun 1956 di Gaza, akhirnya beliau ditangkap. Selain itu, Bassam Abu Syarif, jurucakap rasmi bagi Barisan Nasional Untuk Pembebasan Palestin juga terkena perangkap yang sama pada 1972 di Beirut. Begitu juga pengarah Pusat Kajian Palestin, Dr. Anis Soyigh.

Namun tidak selamanya taktik ini berkesan. Rupanya jerangkap membingkas memakan tuan. Pada 19 Ogos 1972, Pengarah Mossad, Amir Syasyuri, yang ketika itu berada di Kedutaan Israel, London turut terkena surat mengandungi bom itu dan dia mati di tempat kejadian.

Pihak organisasi Palestin (organisasi perjuangan) telah menggunakan banyak cara demi mengelakkan perangkap ini membingkas lagi. Antaranya dengan menjaga kerahsiaan peti surat, membuat daftar harian bagi setiap surat yang masuk dari mana, bila dan apa jenisnya serta bentuknya. Selain itu, mereka tidak membuka surat di tempat yang ramai anggota organisasi berada seperti di pejabat, tetapi menyerahkannya kepada pakar pembuka surat yang lengkap dengan peralatan untuk dibuka di tempat khas yang jauh daripada manusia.

2) Memasang bom pada kereta

Kebanyakan pejuang kurang mengambil berat tentang persediaan asasi dan penting untuk keselamatan kereta walaupun mereka terdedah kepada risiko tersebut. Daripada penulis Ghassan Kanfani di Beirut hinggalah kepada Bassam As-Sya'kah di Tebing Barat dan selain mereka, ramai yang telah terkena. Mungkin ini kerana mereka tidak pernah terfikir bahawa mereka mungkin menjadi sasaran Mossad sebab mereka tidak terlibat dalam gerakan ketenteraan atau keselamatan, walau bagaimanapun, pengalaman membuktikan Mossad menyasarkan serangan kepada semua jenis golongan rakyat Palestin sama ada wartawan, jurnalis, sasterawan, hinggalah kepada pemimpin politik dan tentera.

Memasang bom tidaklah sesusah mana. Cuma memerlukan seseorang yang tahu selok belok litar elektrik kereta, di mana-mana boleh dipasang. Di enjin, di bonet, di but kereta, di pintu, di atas kerusi ketika duduk, hatta pada lampu tinggi, lampu belakang dan mana-mana lampu boleh dipasang bom. Asalkan litar elektrik dapat disambungkan, maka terciptalah bom yang mampu memusnahkan nyawa dan kereta!

Inilah yang berlaku kepada As-Syahid Ibrahim Banu 'Udah yang diletupkan dalam kereta kerabatnya. Sepatutnya, beliau tidak memberikan kunci kereta beliau untuk dibuat pendua kepada sesiapa yang tidak dikenali agar tidak dibuat kunci pendua bagi menceroboh kereta beliau. Penggera kereta patut dipasang, meletakkan tanda pada pintu, but dan bonet kereta supaya dapat mengetahui jika dibuka, selain memastikan pintu dikunci dan dijaga. Pejuang jua perlu memastikan tidak berlaku sebarang perubahan ganjil pada keretanya pada waktu malam dan memeriksa bahagian bawah kereta pada waktu pagi kerana kemungkinan besar bom diletakkan di bawah kereta.

3) Meletupkan kereta dari jarak jauh

Teknik ini teknik yang mudah dan tidak memerlukan masa yang banyak. Peletup cuma memerlukan alat penerima isyarat yang dibubuh pada badan kereta dan penghantar gelombang yang mengandungi butang peletup. Apabila sasaran sudah tiba, butang itu hanya perlu ditekan dan BOM! Kereta itu meletup.

Pejuang perlu memastikan agar alamat sentiasa bertukar, telefon juga selain kereta yang digunakan. Sebelum memakir kenderaan, pejuang juga perlu memastikan agar tiada kereta atau orang-orang yang mencurigakan berada di kawasan sekeliling.

4) Menembak dari jarak dekat

Sebahagian besar pejuang Palestin, yang dihapuskan dengan teknik ini, berada di negara-negara Eropah yang pada pandangan mereka, negara seperti ini selamat sedangkan negara-negara Eropah mempunyai hubungan yang erat dengan Mossad dari sudut perisikan. Hal ini memang agak mengecewakan kerana para pejuang Palestin tidak mengambil berat hal keselamatan masing-masing setelah berada di negara tersebut sedangkan mereka adalah buruan Mossad dan berada dalam senarai paling dikehendaki dan penting dalam organisasi.

Antara yang terbunuh dengan taktik ini ialah As-Syahid Fathy As-Syaqafi, Amin Am bagi pergerakan Jihad Islami di Palestin yang ditembak oleh seorang komando Israel di Malta pada tahun 1995.

5) Menyerbu rumah

Yang dihapuskan melalui cara ini adalah Kamal Nasir, Kamal Udwan dan Abu Yusuf Najjar yang rumah mereka diserbu komando-komando Mossad di bawah pimpinan Ehud Barak pada 10 April 1973. Ketika serbuan berlaku di flat yang didiami oleh ketiga-tiga mereka di jalan Firdan, Beirut, mereka ditembak. Kawasan yang mereka diami, tidak ramai rakyat Palestin atau rakyat Lubnan asal, jadi mereka mudah dijadikan sasaran Mossad.
Sepatutnya, pejuang tidak berada di tempat awam sehingga memudahkan rumah mereka dijejaki. Juga perlu berhati-hati ketika keluar dan masuk rumah. Selain itu, pejuang perlu memastikan jiran-jiran mereka bukan dari kalangan perisik-perisik atau yang boleh disyaki. Malang bagi Abu Yusuf dan sahabatnya, jiran hadapan rumah mereka di aras yang sama adalah seorang wartawan Amerika yang menghilangkan diri selepas serbuan berlaku.
Taktik ini memerlukan ramai orang dan persediaan yang cukup rapi selain maklumat yang lengkap. Jadi, kelemahan pejuang sehingga mendedahkan maklumat keselamatan diri sepatutnya dielakkan.

6) Meletupkan bilik

Taktik ini digunakan dengan memasang bom pada katil, pada pintu atau pada mana-mana alat penerima isyarat yang boleh diletupkan dari jauh. Kes seperti ini banyak berlaku di hotel yang didiami pejuang sebagaimana yang berlaku terhadap Doktor Mahmud Al-Hamsyiri pada 1972 di Paris dan Majid Abu Syirar di Rom pada 1981. Perlu diingat bahawa hotel-hotel yang didiami khususnya di negara Eropah adalah dibawah pengawasan polis dan rangkaian Mossad. Justeru, amat mudah bagi Mossad untuk menyamar sebagai pekerja hotel dan memasang bom. Pejuang seharusnya menyembunyikan identiti masing-masing sewaktu mendiami hotel dan berwaspada terhadap pekerja-pekerja hotel selain tidak tinggal tetap di satu hotel sahaja.

7) Racun

Yang terkenal dengan percubaan Mossad Israel untuk membunuh beliau dengan racun adalah Ustaz Khalid Masy'al, Ketua Pejabat Politik bagi HAMAS namun gagal. Tetapi mereka berjaya membunuh Wadi' Hadad, doktor Palestin merangkap salah seorang pemimpin Barisan Nasional Pembebasan Palestin yang mampu merangka beberapa operasi merampas kapalterbang. Racun itu dibubuh padanya di Baghdad, yang menyebabkan beliau mati akibat kanser darah kronik pada 28 Mac 1973. Khabar angin juga masih tersebar mengatakan bahawa Yaser Arafat juga terkena jenis racun yang sama yang membawa kematian akibat kanser darah. Hal ini boleh dielakkan dengan berhati-hati mengambil makanan terutamanya di tempat awam, memastikan tiada orang asing yang masuk ke dapur, makanan hanya disediakan oleh orang yang dipercayai seperti ahli keluarga atau diri sendiri dan memasang kamera pengawasan ketika tiada di rumah untuk mengelakkan orang yang tidak dikenali masuk dan menaruh racun dalam makanan.

8) Peluru berpandu dari pesawat

Kaedah ini dilakukan terhadap Syeikh Ahmad Yasin, pengasas gerakan HAMAS, dan Syeikh Abbas Al-Musawi, Amin Am Hizbullah dan Abu Ali Mustafa, Amin Am Barisan Nasional Pembebasan Palestin dan Doktor Abd Aziz Rantisi dan ramai lagi pemimpin gerakan HAMAS. Teknik dilakukan dengan pengesanan sasaran melalui satelit yang menghantar maklumat dan gambar kepada pesawat yang mengintip sasaran.

9) Meletupkan telefon bimbit

Pemimpin yang terkenal yang terkena letupan telefon bimbit ini adalah Yahya Ayyasy, ketua Istisyhad dalam pergerakan Kataib Qassam. Dikisahkan oleh Usamah Hamad, sahabat rapat Yahya, bahawa 5 bulan sebelum pembunuhannya, Yahya berlindung di rumahnya. Bapa saudara Usamah, Kamal Hamad, orang yang mempunyai hubungan rapat dengan perisikan Israel telah memberikan sebuah telefon bimbit Belfone kepada Yahya untuk digunakan. Kamal telah meminjam telefon itu selama dua hari dan memulangkannya kepada beliau. Sementara itu, bapa Yahya sering menghubungi Yahya melalui telefon bimbit sedangkan beberapa kali Yahya menyuruh bapanya menelefon menggunakan telefon rumah.

Pada Subuh hari Jumaat 5 Januari 1996, Kamal menghubungi Usamah untuk memintanya membuka telefon bimbit kerana beliau ingin menelefon dari Israel kerana talian telefon rumah telah dipotong. Pada jam 9, bapa Yahya menelefon telefon bimbit tersebut serta menyatakan bahawa tidak dapat menghubungi rumah Usamah kerana talian telefon dipotong. Seketika kemudian, Yahya menyambut telefon dan mengatakan, "Wahai ayah, janganlah lagi menelefon dengan Belfone ini..." dan tiba-tiba telefon itu meletup dan Yahya jatuh. Rupa-rupanya, 50 gram bahan peledak telah ditanam di dalam telefon...

Terjemahan Bebas oleh :
Asyraff Hafdzan Abdullah

Sumber : Majalah Filastin Muslimah keluaran khas sempena ulangtahun pembunuhan 2 orang pemimpin kuat HAMAS (dengan CD), bil. 4, tahun 23, April 2005