Thursday, June 02, 2005

Semboyan peperangan - Iblis musuh anak Adam

Semboyan peperangan - Iblis musuh anak Adam
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SETELAH Allah s.w.t. menceritakan betapa pertembungan antara arahan dan larangan, akan membabitkan syaitan pada pihak yang lain sebagai penyesat dan penggoda dengan segala pujuk rayu, lantas Allah menerangkan dalam ayat berikut, firman Allah yang bermaksud:

SETELAH ITU MAKA SYAITAN MENGGELINCIRKAN MEREKA BERDUA DARI SYURGA ITU DAN MENYEBABKAN MEREKA DIKELUARKAN DARIPADA NIKMAT YANG MEREKA TELAH BERADA DI DALAMNYA DAN KAMI BERFIRMAN: ``TURUNLAH KAMU! SEBAHAGIAN DARIPADA KAMU MENJADI MUSUH KEPADA SEBAHAGIAN YANG LAIN DAN BAGI KAMU SEMUA DISEDIAKAN TEMPAT KEDIAMAN DI BUMI, SERTA MENDAPAT KESENANGAN HINGGA KE SUATU MASA (MATI). (Surah al-Baqarah ayat 36 )

Firman Allah : `Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu'. Iaitu syaitan cuba menggoda mereka supaya mereka tergelincir dengan sebab tipu daya serta pujukannya untuk memakan apa yang dilarang. Ibn Jauzi di dalam kitabnya, Zad al-Masir menjelaskan bahawa terdapat tiga pendapat mengenai cara mereka berdua digelincirkan:

Pertama, Iblis membuat helah sehingga dapat masuk ke syurga melalui ular, seperti pendapat Ibn Abbas dan as-Suddi.

Kedua, bahawa Iblis berada di pintu syurga dan menyeru kedua-duanya, seperti pendapat al-Hasan. Tetapi Ibn Jauzi menolak pendapat ini dengan menyatakan, ia termasuk dalam kalangan israiliyat, tanpa mempunyai sanad daripada kitab dan sunah.

Ketiga, bahawa ia telah mewas-waskan kedua-duanya, tanpa suara dan penglihatan, seperti pendapat Ibn Ishak, tetapi ia jauh.

Al-Imam al-Fakhru ar-Razi melalui tafsirnya, al-Kabir, membahaskan hukum berhubung dengan maksumnya nabi-nabi kepada empat pendapat :

Pertama, segala yang berlaku pada bab iktikad. Ia tidak harus pada pandangan kebanyakan ulama, apatah lagi membabitkan kekufuran dan kesesatan.

Kedua, segala yang berlaku pada Bab Tabligh (menyampaikan risalah). Mengenainya telah ijmak umat bahawa keadaan mereka maksum daripada dusta dan menyeleweng.

Ketiga, segala yang berlaku pada Bab Hukum-hukum dan Fatwa-fatwa. Mereka juga telah berijmak bahawa tidak harus berlaku kesilapan nabi secara sengaja. Adapun secara lupa, sebahagian ulama mengharuskannya dan sebahagian yang lain tidak.

Keempat, segala yang berlaku pada setiap perbuatan dan sirah mereka. Masalah ini khilaf kepada lima pendapat, dan pendapat yang paling baik ialah tidak berlaku kepada mereka sebarang dosa secara sengaja, tetapi pada masalah lupa ini juga menjadi khilaf.

Lantas natijahnya : `dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya', iaitu daripada nikmat syurga. Seraya firman Allah s.w.t.: `Turunlah kamu!', dengan maksud turunlah kamu dari syurga ke dunia. Terdapat enam pandangan ulama mengenai kepada siapakah arahan supaya turun :

Pertama, Adam, Hawa dan ular - pendapat Abu Soleh daripada Ibn Abas.

Kedua, kepada Adam dan iblis - pendapat Mujahid.

Ketiga, kepada Adam, Hawa, Iblis dan ular, sebagaimana yang dihikayatkan oleh as-Suddi, daripada Ibn Abbas.

Keempat, kepada Adam, Hawa dan Iblis - pendapat Muqatil.

Kelima, kepada Adam, Hawa dan zuriatnya - pendapat al-Farra'.

Keenam, kepada Adam dan Hawa sahaja - pendapat Ibn al-Ambari. Inilah pendapat Imam an-Nasafi di dalam kitabnya dan mensahihkannya.

Ulama juga berkhilaf pendapat, apakah mereka diturunkan secara bersama atau berpisah-pisah. Ia terbahagi kepada dua pendapat :

Pertama, bahawa mereka diturunkan secara bersama, kecuali tempat mereka diturunkan di negeri yang berlainan. Inilah pendapat Ka'ab dan Wahab.

Kedua, mereka diturunkan berpisah-pisah. Iblis diturunkan sebelum Adam, Adam diturunkan di bumi India, Hawa di Juddah dan iblis di Aballah, satu kawasan yang berhampiran dengan Basrah. Dan riwayat daripada Ibn Abbas, bahawa diturunkan ular di Nasibin.

Dan ucapan berikut ini diturunkan kepada Adam, Hawa dan Iblis, iaitu `sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain', syaitan menjadi musuh kepada kamu, maka hendaklah kamu menjadi musuh baginya, dan inilah peringatan kepada anak Adam supaya berhati-hati dengan tipu daya syaitan. Inilah pendapat Syeikh as-Sa'di di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim.

Sayid Qutub melalui tafsirnya, Fi Zilal al-Quran mengatakan, bahawa ini menandakan semboyan peperangan telah dikhabarkan antara manusia dan syaitan hingga akhir zaman. Dan Allah menyebut natijah manusia seperti firman-Nya : `Dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi', iaitu bagi kamu di dunia, tempat yang kekal untuk menjalani kehidupan. Ibn Jarir at-Thabari di dalam tafsirnya berkata, ulama telah mentakwil ayat ini dengan maksud :

Pertama, bumi sebagai hamparan - pendapat Abu al-'Aliyah.

Kedua, sebagai kubur - pendapat ar-Rabi' dan as-Suddi daripada Ibn Abbas.

Ketiga, sebagai tempat berdiri - pendapat Ibn Zaid.

Kesalahan

Kata Ibn Jarir, daripada kalam Arab, perkataan `mustaqar' ialah tempat kekal atau tempat tinggal. Firman-Nya : `Serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)', maksudnya jaminan Allah, hendaklah kamu menikmati segala kesenangan sampai kamu menemui ajalmu. Al-Mawardi menambah dengan menaqalkan pendapat Mujahid, iaitu sampai berlaku kiamat.

Al-Imam as-Syaukani di dalam tafsirnya, al-Fath al-Qadir berkata, maksudnya ialah sehingga mati dan dikatakan sehingga kiamat. Asal perkataan `hin' iaitu dari segi bahasa bermakna `waktu yang jauh'.

Terdapat satu persoalan berhubung dengan maksiat Adam, kemudian beliau bertaubat. Sedangkan para nabi adalah maksum daripada melakukan dosa ? Al-Imam al-Maghari melalui tafsirnya, al-Maghari mengemukakan tiga jawapan :

Pertama, bahawa kesalahan ini berlaku sebelum kenabian Adam dan maksum berlaku selepas itu.

Kedua, bahawa berlaku hal ini disebabkan lupa, kemudian dinamakan dosa atau maksiat sebagai membesarkan perkaranya. Sedangkan lupa dan lalai tidak menafikan kemaksuman.

Ketiga, yang demikian itu termasuk dalam kategori samar-samar, sama seperti kisah yang lain. Ia tidak mungkin dilihat dari segi zahirnya dan sewajarnya kita menyerahkannya kepada Allah sebagaimana pandangan Salaf (ulama terdahulu). Atau daripada Bab Tamsil (perumpamaan) sebagaimana pendapat Khalaf (ulama kemudian).

Syeikh Muhammad Abduh menerangkan dengan panjang lebar berhubung perkhabaran Allah kepada malaikat, bahawa diciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi di samping kurniaan ilmu dan arahan sujud kepada-Nya.

1 Comments:

At 5:06 PM, Anonymous tabletpc-shop said...

It will not truly have success, I feel like this.

 

Post a Comment

<< Home