Thursday, May 26, 2005

Syurga Nabi Adam - Syurga dunia atau akhirat?

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AL-IMAM as-Syaukani di dalam tafsirnya, al-Fath al-Qadir meriwayatkan hadis daripada Anas, sabda Rasulullah s.a.w.: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan Adam supaya bersujud, lantas ia sujud, kemudian dikatakan bagi kamu syurga dan sesiapa yang sujud daripada keturunanmu, dan diperintahkan iblis supaya bersujud tetapi iblis enggan untuk bersujud, lantas dikatakan bagi kamu neraka dan sesiapa yang enggan daripada keturunanmu untuk sujud. Semoga Allah menjadikan kita golongan orang yang bersujud kepada-Nya.

Di antara nikmat kurniaan Allah kepada Adam selepas itu, ialah dimasukkan sebagai penghuni syurga bersama isterinya Hawa. Ini dijelaskan seperti ayat berikut, firman Allah yang bermaksud :

DAN KAMI BERFIRMAN: ``WAHAI ADAM! TINGGALLAH KAMU DAN ISTERIMU DI DALAM SYURGA INI, DAN MAKANLAH MAKANANNYA SEPUAS-PUASNYA APA SAHAJA YANG KAMU BERDUA SUKA, DAN JANGANLAH KAMU HAMPIRI POKOK INI; (JIKA KAMU MENGHAMPIRINYA) MAKA KAMU AKAN TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG ZALIM. (Surah al-Baqarah Ayat 35 )

Allah menegaskan : `Dan Kami berfirman: ``Wahai Adam! Tinggallah kamu dan isterimu di dalam syurga', iaitu menetaplah kamu di dalam syurga yang kekal bersama isterimu, Hawa. Ibn Jarir at-Thabari berkata dalam tafsirnya, bahawa ayat ini menjadi dalil yang terang di atas kebenaran siapa yang berkata, sesungguhnya iblis dikeluarkan dari syurga selepas takbur enggan bersujud kepada Adam, dan Adam menetap di dalam syurga sebelum iblis di turunkan ke bumi.

Ibn Jauzi dalam kitabnya, Zad al-Masir menulis, terdapat dua pendapat di kalangan ulama tentang syurga yang dihuni oleh Nabi Adam : Pertama, Jannah al-adn. Kedua, Jannah al-Khuld. Imam an-Nasafi berkata, ia disediakan bagi orang yang bertakwa, berdasarkan kepada nukilan yang masyhur, kerana `lam' pada `al-Jannah' adalah untuk takrif, iaitu pengenalan.

Al-Imam al-Fakhru ar-Razi dalam kitabnya, at-Tafsir al-Kabir berkata, ulama telah khilaf tentang syurga yang dinyatakan dalam ayat ini, sama ada di bumi atau di langit, dan kalau ditakdirkan di langit, adakah ia syurga sebagai tempat balasan pahala, atau syurga al-Khuld atau syurga lain ? Abu al-Qasim al-Bakhi dan Abu Muslim al-Asfahani berpendapat, bahawa ia syurga di dunia, dengan menanggung kalimah turun bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Kalimah

Imam Rashid Ridha melalui tafsirnya, al-Manar menaqalkan pendapat Imam Abu Mansur al-Maturidi daripada tafsirnya yang bernama at-Ta'wilat berkata, kami beriktikad bahawa syurga ini merupakan kebun dari kebun-kebun di mana Adam dan isterinya mendapat nikmat padanya, dan tidak wajib ke atas kamu menentukannya serta mengkaji di mana letaknya. inilah Mazhab Salaf dan tiada dalil khusus yang menentukan tempatnya.

As-Syeikh as-Sya'rawi menegaskan bahawa syurga yang didiami Adam selepas kejadiannya, bukan merupakan syurga kekal. Beliau berhujah dengan banyak dalil, sama ada berdasarkan dalil naqli atau aqli, di antaranya ia bukan syurga balasan kerana syurga balasan tidak dimasuki oleh manusia kecuali selepas hisab yang membabitkan pahala.

Syeikh al-Maghari dalam tafsirnya, Tafsir al-Maghari menaqalkan hujah al - Imam al-Alusi dalam tafsirnya, Ruhu al-Ma'ani yang menyokong pendapat bahawa syurga Adam bukan syurga akhirat nanti, di antara hujahnya ialah : Pertama, bahawa Allah menciptakan Adam di bumi untuk menjadi khalifah di dalamnya, begitu juga zuriat keturunannya. Tidak harus dikatakan bahawa kewujudan Adam di dunia serta zuriatnya merupakan pembalasan hukuman daripada Tuhan.

Kedua, Allah tidak menyatakan selepas penciptaan Adam di bumi, dinaikkannya ke langit. Sekiranya ia berlaku, sudah pasti ia akan disebut dan merupakan perkara yang besar. Ketiga, bahawa syurga yang dijanjikan dengannya pada Hari Akhirat, tidak akan dimasuki kecuali oleh orang-orang yang bertakwa lagi beriman. Bagaimana mungkin syaitan yang kafir dapat masuk dan melakukan was-was kepada Adam.

Keempat, syurga bersifat negeri yang penuh nikmat dan tempat berehat, bukan negeri taklif seperti mana telah ditaklifkan Adam dan isterinya supaya jangan memakan buah dari pohon kayu tersebut. Kelima, bahawa tidak ditegah kepada penghuni syurga untuk merasai segala kenikmatan dan melakukan apa sahaja. Keenam, bahawa tidak berlaku di dalam syurga sebarang maksiat dan kesalahan kerana ia negeri suci, bukan negeri kotor dan najis.

Berdasarkan kepada senarai ini, maka segala keterangan yang telah disifatkan dengannya berhubung dengan syurga yang dijanjikan, dan kurniaan tanpa henti dan terputus, sudah tentu tidak sesuai dan tidak menepati syurga yang didiami oleh Adam tersebut.

Kemudian Allah menyebut : `Dan makanlah makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka', iaitu kamu berdua bebas memakan apa sahaja buah-buahan yang ada di dalam syurga, tetapi Allah menyebut : `Dan janganlah kamu hampiri pokok ini', yang bermaksud jangan sekali-kali kamu menghampiri pokok ini.

Tumbuhan

Syeikh Abdur Rahman as-Sa'di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim berpendapat, bahawa larangan kepada kedua-duanya supaya tidak menghampiri pohon tersebut, sama ada ia merupakan ujian, bala atau hikmah yang tidak kita ketahui. Ibn Abbas menafsirkan sebagai pokok anggur. Sementara itu terdapat enam pandangan daripada para ulama berhubung dengan pohon yang dimaksudkan itu:

Pertama, Ia sejenis tumbuhan yang wangi, iaitu pendapat Ibn Abbas, Abdullah bin Sallam, Ka'ab al-Ahbar, Wahab bin Munabbih, Katadah, A'tiah al-'Aufi, Muarith bin Dathar dan Muqatil.

Kedua, iaitu pohon anggur, sebagaimana riwayat Ibn Ma'id, Ibn Abas, Said bin Jubair dan Ja'dah bin Khabirah.

Ketiga, pokok tin, seperti riwayat al-Hasan, A'ta' bin Abi Rabah dan Ibn Juraij.

Keempat, ia pokok yang dikenali sebagai pokok ilmu, seperti yang dikatakan oleh Abu Soleh daripada Ibn Abbas.

Kelima, Pokok Kafur, seperti yang dinaqalkan oleh Ali bin Abi Talib.

Keenam, Pokok Kurma, seperti riwayat Abi Malik al-Ashja'ie.

Adapun pendapat yang menyatakan ia dikenali sebagai Pokok Kekal, seperti yang diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih, ini tidak dikira kerana Allah menamakannya sebagai Pokok Kekal, mengikut kaedah kalam daripada jenisnya, kerana (jika kamu menghampirinya) `maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim'. Ertinya, jika kamu memakannya nescaya jadilah kamu berdua termasuk dalam golongan orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri, dengan terperangkap dalam maksiat kepada Allah.

Al-Mawardi dalam tafsirnya an-Nukat Wa al-'Uyun mengemukakan dua pendapat:

Pertama, ia termasuk dalam golongan yang melampau dengan sebab memakan benda yang tidak diharuskan baginya.

Kedua, ia termasuk dalam golongan orang yang menzalimi diri mereka sendiri dengan sebab memakan bahan-bahan yang dilarang Allah.

Monday, May 23, 2005

catatan buat ayah

Ayah…
Dalam tajam sinar matamu,
Terpancar cahaya kasihmu,
Dalam lantang suara kerasmu,
Terdengar bisikan sayangmu…

Pernah dulu,
Nasihatmu jadi pertikaian,
Bukan sengaja kami engkar,
Tetapi kematangan yang yang belum memekar…

Kini jelas,
Setiap patah katamu disulam pengalaman,
Tutur nasihatmu penuh ajaran,
Buat kami jadikan pedoman,
Dalam mengharungi liku-liku kehidupan…

Terima kasih duhai ayah,
Atas kasih sayang yang dicurah,
Dan setiap titisan keringat yang diperah…

Terima kasih duhai ayah,
Kerana membesarkan kami dengan tabah,
Walaupun terpaksa berpenat lelah,

Terima kasih ayah…
Kadangkala kelu lidah ini untuk berbicara,
Bukan kerana benci,
Tetapi dek kerana hormat yang tak terperi,
Kadangkala tak terluah apa yang dihati,
Namun ketahuilah ayah,
Sesungguhnya hanya tuhan yang tahu,
Syukurnya beroleh ayah sepertimu…

Selamat hari lahir ayah…
Semoga umurmu,
Yang dulu, kini, dan yang akan datang,
Dibawah keberkatanNya…
Amin…

21.05.05.

*******************************************************************

Rasanya dah lama tak celebrate birthday ayah. Sejak-sejak duk hostel mase form one. Bestnya dengar ummi citer yang depa berkumpul ramai-ramai celebrate birthday ayah. Tapi tak pe, walau apa pun Hannah sentiasa doakan kebahagiaan ayah di dunia dan akhirat.

Nampaknya ana dah semakin rajin update. Mungkin nak menghilangkan stress disebabkan tugasan yang berlambak. Pelikkan...biasanya org yang stress wat benda yang santai2. Ada tu yang tak leh lansung nak lelapkan mata. Makan tak lalu. Pendek kata serba tak kena kata orang. Tapi...ana, kalau stress makan lbih dr biasa, tidur sampai tak mau-mau kata orang utara. BTW, setiap orang ada cara tersendiri untuk release tension dok?!

Jalan-jalan cari input...ana terjumpa satu phrase atau boleh juga dikatakan pepatah baru yang menarik...see..

"kucing adalah tanda kasih sayang Allah yang diturunkan supaya kita dapat bermain berkenalan dengan harimau"

Menarikkan?! Secomel kucing rasanya...:) hihi...

Dua tiga hari kebelakangan ni ana selalu rasa tak sedap hati. Dah call sume org2 terdekat kut-kut ada bad news. Tapi sumenya ok je. Tak pun ana ada wat salah kat sesapa kot. Astaghfirullahal 'azim. Kalau ada sesapa yang terasa hati dengan ana...ana minta maaf banyak-banyak. Ana mintak sangat segala kesalahan ana dimaafkan. Tak tenang betul kalau rasa cenggini.

Friday, May 20, 2005

Indahnya Kalammu Tuhan...

Ku tenggelam dalam syahdumu,
Tutur bahasamu menikam kalbu,
Indah wajahmu pengubat rindu,
Kias lirikmu selembut baldu,
Begitu cantik namamu....

Duhai Al-Qur'an.


*copyright KOPIAH CREATION.

Thursday, May 19, 2005

Sujud para malaikat - Menghormati Adam bukan menyembah -- Iblis tidak mematuhi arahan Tuhan kerana merasa dirinya besar dan mempunyai kelebihan berban

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AL-IMAM al-Maghari berkata di dalam tafsirnya, selepas Allah s.w.t. mengkhabarkan kepada malaikat berhubung kedudukan Adam yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi, lantas Allah memerintahkan mereka sujud sebagai tanda hormat, bukan ibadat sebagai mengiktiraf kemuliaan Adam dan sebagai pernyataan bersalah terhadap apa yang mereka katakan sebelumnya.

Di antara keistimewaan Adam ialah kurniaan ilmu yang banyak, sehingga melemahkan malaikat. Allah menambahkan pada ayat-ayat berikut, dengan kemuliaan lain, iaitu arahan kepada sekalian malaikat supaya bersujud kepadanya. Ini menambahkan lagi tanda-tanda kemuliaan dan kelebihan pada makhluk bernama manusia yang berasal daripada Adam a.s.

Ibn Jarir di dalam tafsirnya, at-Thabari berkata, seolah-olah ia merupakan peringatan kepada kaum Yahudi yang mendiami kota Madinah bersama Nabi s.a.w. Kepada mereka diberikan pelbagai nikmat dan peringatan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

DAN (INGATLAH) KETIKA KAMI BERFIRMAN KEPADA PARA MALAIKAT, SUJUDLAH KAMU KEPADA ADAM, MAKA SUJUDLAH MEREKA, KECUALI IBLIS. IA ENGGAN DAN TAKBUR, DAN ADALAH IA TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG KAFIR. (Surah al-Baqarah Ayat 34 )

Allah menyebut, `Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat'. Iaitu, ingatlah wahai Muhammad, kepada kaummu, ketika Kami berkata kepada malaikat. Syeikh Abdur Rahman as-Sa'di berkata dalam tafsirnya, Taisir al-Karim, ayat ini mengandungi banyak pengajaran, di antaranya

mengisbatkan kalam Allah. Ibn Jauzi mentafsirkan di dalam kitabnya, Zad al-Masir, bahawa terdapat dua pendapat tentang malaikat :

Penghormatan

Pertama, semua malaikat. Inilah pendapat as-Suddi daripada guru-gurunya. Kedua, mereka segolongan daripada malaikat, seperti riwayat Ibn Abas, tetapi pendapat yang pertama lagi sahih.

`Sujudlah kamu kepada Adam'. Iaitu sujud sebagai penghormatan dan membesarkannya, bukan sujud untuk beribadat. As-Syaukani di dalam Fath al-Qadir berkata, maksud sujud di sini ialah hina dan merendahkan diri, dan kemuncaknya ialah meletakkan wajah di bumi. Inilah juga pendapat Imam an-Nasafi di dalam tafsirnya yang menaqalkan pendapat jumhur ulama.

Terdapat dua pendapat berhubung sifat sujud para malaikat kepada Adam :Pertama, iaitu seperti sifat sujud di dalam solat. Inilah penda-

pat yang lebih zahir. Kedua, iaitu merendahkan kepala seumpama rukuk. Al-Imam al-Fakhru ar-Razi di dalam kitab, Tafsir al-Kabir berkata, telah ijmak sekalian orang Islam, bahawa sujud tersebut bukan sujud ibadat, kerana sujud ibadat selain Allah boleh membawa kufur.

Sujud

Al-'Allamah Thahir `Asyur melalui tafsirnya, at-Tahrir Wa at-Tanwir berkata, sujud merupakan penghormatan pertama yang diterima oleh manusia daripada makhluk alam. Dan disandarkan sujud kepada Adam dengan perkataan `lam' yang bermaksud `bagi' menunjukkan bahawa mereka ditaklifkan bersujud dengan zatnya dan ia merupakan asal penunjuk `lam ta'lil', iaitu apabila dikaitkan dengan maksud sujud.

Kemudian beliau menambah, pada ayat ini juga dapat dikeluarkan permasaalahan yang cukup menarik tentang penghormatan kepada ilmu dan kelayakan ulama untuk menerima penghormatan dan kemuliaan tersebut, kerana ketika Allah mengajar kepada Adam ilmu-ilmu yang tidak dimiliki oleh malaikat, ia menjadikan Adam contoh utama dalam penguasaan penciptaan kajian dan ilmu yang zahir pada manusia selepasnya, dan pasti akan zahir penciptaan baru, begitu juga ilmu sehingga binasanya alam ini.

`Maka sujudlah mereka, kecuali iblis'. maksudnya, lantas mereka iaitu para malaikat semuanya sujud, kecuali iblis. Ulama menyebut, pengecualian ini ditafsirkan dengan dua pendapat : Pertama, iaitu pengecualian daripada jenis yang sama. Pendapat ini menggolongkan iblis termasuk dalam kumpulan malaikat, seperti pendapat Ibn Mas'ud dalam satu riwayat dan Ibn Abas, kecuali Allah menukar rupanya menjadi syaitan. Kedua, ia bukan jenis malaikat, tetapi jenis jin. Inilah pendapat al-Hasan al-Basri dan az-Zuhri.

Justeru itu, jadilah pengecualian ini sebagai pengecualian yang terputus. Penulis menyokong pendapat kedua berdasarkan ayat al-Quran yang lain, di dalam surah al-Kahfi ayat 50 maksudnya :

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat : Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golo-

ngan jin, maka ia menderhaka kepada perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim.

Berhubung nama iblis, terdapat dua pandangan ulama, seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Mawardi di dalam kitabnya, an-Nukat Wa al-'Uyun. Pertama, ia merupakan nama a'jam (bukan Arab). Inilah pendapat Abu Ubaidah, iaitu Mu`ammar bin al-Musanna at-Taimi, az-Zajjaj dan Ibn al-Anbari. Kedua, ia diambil daripada perkataan iblas, yang bermaksud putus asa seperti riwayat Abi Soleh.

Ini kerana, `Ia enggan dan takbur', iaitu melanggar apa yang diarahkan kepadanya. Syeikh Rashid Redha di dalam tafsirnya, al-Manar berkata, iblis tidak mematuhi arahan Tuhan kerana merasa dirinya besar dan mempunyai kelebihan berbanding manusia. Sifat takbur dan suka menunjuk-nunjukkan sifat kesombo-

ngan ini, merupakan tanda-tanda perasaan tinggi diri. Terdapat huruf `sin' dan `ta' pada permulaan kalimah takbur, ia menunjukkan bahawa takbur bukanlah tabiat iblis, tetapi ia mampu dan bersedia melakukannya.

Perasaan

Al-`Allamah Thahir al-`Asyur di dalam tafsirnya berkata, perkataan `istikbar' yang bermaksud `amat angkuh' dan `sombong' kerana `sin' dan `ta' menunjukkan melampau, iaitu melampau dirinya dengan perasaan besar dan megah atau memberi makna `mubalaghah' dengan maksud amat takbur dan amat sombong.

Justeru makna kalimah tersebut ialah ia bersifat dengan sifat takbur terhadap Allah, dengan mengingkari perintah sujud kepada Adam tanpa rasa bersalah, bahkan menguatkan hujah kebatilannya dengan menyatakan kebaikannya kerana ia diciptakan daripada api, sedangkan Adam diciptakan daripada tanah.

Ibn Qayim di dalam kitabnya, Miftah Dar as-Sa'adah menjawab permasaalahan ini secara panjang lebar, dengan membandingkan dua unsur ini, iaitu api dan tanah. Sebenarnya kemuliaan, kebaikan dan kelebihan sesuatu makhluk itu bukan berdasarkan kepada unsur kejadiannya tetapi berdasarkan kepada ketakwaan, keimanan, keilmuan, perhambaan kepada Allah dan makrifah, sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat-aya al-Quran dan hadis. Semoga kita semua terselamat daripada sifat takbur, dan tidak terjebak ke dalam godaan iblis.

`Dan adalah ia termasuk dalam golongan orang-orang kafir'. Iaitu kerana keengganan dan sifat takburnya itu ia termasuk di dalam golongan kafir. Ini kerana ia merasa terhina dengan arahan Allah yang menyuruhnya sujud kepada Adam. Said Qutub melalui tafsirnya, Fi Zilal al-Quran berkata, sekarang nyatalah ia merupakan medan peperangan yang kekal, iaitu peperangan antara ciptaan kejahatan pada iblis dan khalifah Allah di muka bumi, yang berlaku pada diri manusia, di mana kemenangan mungkin berpihak kepada yang baik, berdasarkan sejauh mana pegangan manusia terhadap perjanjiannya dengan Tuhan. Sebaliknya ia mungkin berubah, di mana kejahatan kan menguasai apabila manusia menyerahkan dirinya kepada nafsu syahwatnya.

Tuesday, May 17, 2005

Sehembus nafasku berlari
setitis peluh mengalir
lirih hati membungkam
masihkah ada ketenangan?

Allahu waliy
hanya padamu aku berserah
andai ini kifarah atas dosa-dosaku
ampunilah aku
andai ini satu ujian buatku
biarlah kesabaran dan kesyukuran
sentiasa mendiami diri

Allahu wafiy
sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji

Saturday, May 14, 2005

Rahsia Hari Lahir Dalam Hidup

Tarikh Lahir pada 15, 20 & 26

Jangan mengharapkan sifat romantis dari pasangan yang lahir pada tarikh ini.
Dia tergolong dalam orang yang kurang serius.
Namun begitu dia selalu bersikap penuh pengertian bila menghadapi sesuatu masalah.
Dia sangat benci pada perkara-perkara yang berbau keributan terutama yang menimbulkan huru-hara.
Dalam hal percintaan dia menuntut untuk lebih diberi perhatian tapi dia jarang mengambil berat pada pasangannya.
Namun begitu sikapnya disenangi oleh kawan-kawan.

*******************************************************************

Em, betul ke cenggitu ek karektor ana? Rasanya 75% ada benarnya. Lama benar tak update rasanya. Dah 2 siri tafsir Al-Quran ketinggalan untuk dikumpul. InsyaAllah ada salinan hard copy.

Dalam masa yang singkat macam-macam boleh berlaku di luar dugaan kita. Bagi yang sedang diuji, ingatlah hanya Allah saja yang benar-benar memahami diri kita. Walau hilang separuh semangat, walau sedih datang menimpa, semuanya ada ada hikmah yang tersembunyi. Inilah kehidupan....satu imtihan.

"Allahumma yassirli wa la tu'assir!"