Thursday, April 28, 2005

Kelebihan Adam - Berguru langsung kepada Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


HIKMAH penciptaan Adam a.s. sebagai khalifah merupakan rahmat kepada sekalian hamba. Ini kerana sebagai hamba kita tidak mampu atau tidak mungkin menerima arahan-arahan atau larangan-larangan Allah tanpa perantaraan malaikat. Justeru, terserlahlah rahmat dan kasih sayang-Nya dengan menghantar sekalian rasul dari kalangan manusia. Setelah Allah menegaskan bahawa sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala yang tidak diketahui para malaikat, sama ada dari segi kemaslahatan atau hikmah-hikmah penciptaan Adam, lantas dilangsungkan ayat seterusnya sebagaimana firman-Nya.

``DAN DIA TELAH MENGAJARKAN NABI ADAM, AKAN SEGALA NAMA BENDA-BENDA DAN GUNANYA, KEMUDIAN DITUNJUKKANNYA KEPADA MALAIKAT LALU DIA BERFIRMAN: ``TERANGKANLAH KEPADA-KU NAMA BENDA-BENDA INI SEMUANYA JIKA KAMU GOLONGAN YANG BENAR.'' (Al-Baqarah ayat 31)

Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada Adam a.s. ilmu sebagaimana firman-Nya: Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya. Iaitu Allah mengajarkan kepada Adam semua nama benda. Kata Ibn Abbas: ``Semua nama diajar hingga kepada perkara yang kecil-kecil.'' Sebahagian ulama berpendapat Allah mengajar Adam a.s. nama-nama yang tertentu secara khusus, iaitu empat pandangan.

Pertama, Allah mengajarnya segala nama malaikat. Inilah pendapat Abu al-Aliyah. Kedua, Allah mengajarnya segala jenis tetapi bukan bahagian-bahagiannya seperti manusia, malaikat, jin dan burung. Inilah pendapat Ikrimah. Ketiga, Allah mengajarnya nama-nama segala yang diciptakan-Nya di bumi yang terdiri daripada binatang-binatang, serangga-serangga dan burung-burung. Inilah pendapat al-Kalbi, Muqatil dan Ibn Qutaibah. Keempat, Allah mengajarnya segala nama zuriatnya. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Ibn Jarir berkata: ``Allah mengajarnya nama-nama termasuk yang kecil seperti kendi, periuk dan setiap sesuatu. Inilah juga yang dinaqalkan oleh as-Syaukani. Kata-kata seperti Allah mengajarkan Adam pada semua nama sebanyak 1000 jenis pekerjaan. Katakan kepada keturunan dan zuriatmu hai Adam, jika kamu tidak mampu bersabar dari dunia, maka tuntutlah ia dengan segala pekerjaan ini. Tetapi jangan kamu tuntutnya beserta agama kerana agama semata-mata untuk-Ku sahaja. Celakalah sesiapa yang menuntut dunia dengan agama dan celakalah baginya. Riwayat ad-Dailami.

Ayat ini menerangkan betapa kelebihan Adam yang berguru secara langsung kepada Allah yang bersifat Maha Mulia. Justeru kelebihan Adam a.s. bahawa ia juga manusia berdasarkan sejauh mana ia mendapatkan ilmu sehingga membawa khasyatul Allah (takutkan Allah), juga makrifah sehingga dapat membezakan hak-hak ubudiah dan hak-hak uluhiyyah.

Adam a.s. disebut di dalam al-Quran sebagai manusia pertama ciptaan Allah. Sebahagian ulama menyebut: ``Dinamakan Adam itu sebagai Adam kerana diambil daripada kalimah `Udmah', yang mewakili kepada warna dan jenis tanah.'' Inilah yang dinyatakan oleh kebanyakan ulama tafsir seperti as-Syaukani di dalam Fath al-Qadir. Di dalam al-Khassaf dinyatakan bahawa nama Adam adalah nama a'jam (bukan Arab). Adam a.s. sebagai bapa kepada sekalian manusia. Daripadanyalah berkembang-biak manusia dengan beraneka warna kulit, bahasa, bangsa, peradaban dan lain-lain. Kenabian Adam merupakan keimanan dengan rasul-rasul dan nabi-nabi yang wajib diyakini. Buku-buku Qasas al-Anbiya' seperti karangan Ibn Kathir dan lainnya, banyak mengulas secara terperinci kisah nabi-nabi terdahulu termasuk Adam.

Seterusnya Allah menyebut: Kemudian ditunjukkannya kepada malaikat. Selepas pengetahuan dan ilmu diterima oleh Adam, Allah sengaja bertanya kepada sekalian malaikat mengenai nama-nama dan fungsinya bagi menunjukkan hikmah Allah terhadap ciptaan manusia seraya berkata: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.

Di dalam Tafsir at-Tabari, kata ibn Jarir, ``Paling aula kita takwil ayat ini berdasarkan Ibn Abbas, iaitu jika sekiranya kamu mengetahui kenapa Aku jadikan di bumi khalifah. Tunjukkan dan jelaskanlah kepada-Ku dengan segala nama-nama makhluk yang engkau lihat, jika sebenarnya dakwaan kamu itu bahawa kamu lebih berhak dan layak memegang tampuk khalifah daripada manusia. walhasil, Allah telah menzahirkan kelebihan Adam kepada malaikat dengan ilmu pengajaran-Nya yang tidak diketahui oleh para malaikat dan dikhususkannya dengan makrifah yang sempurna daripada segala nama, benda, jenis dan bahasa sehinggalah mereka mengiktiraf kelemahan mereka.

Syeikh Ali as-Syarbaji di dalam tafsirnya, Al-Basyair berkata: ''Ditunjukkannya', sebenarnya ganti nama banyak kerana segala nama apabila dihimpunkan antara yang berakal dengan yang tidak akan dita'bir dengan lafaz yang berakal sebagai taglib (penguasaan).'' Ibn Jarir di dalam tafsirnya berkata: ``Perkhabaran daripada Allah ini yang menyebut tentang malaikat-Nya kembali kepada-Nya, berserah ilmu yang tidak

diketahui kepada-Nya, di samping berlepas diri daripada mendakwa mengetahui atau mempunyai ilmu kecuali apa yang diajarkan oleh Allah. Ayat ini menjadi pengajaran bagi mereka yang mengambil iktibar dan peringatan bagi sesiapa yang ingin mengambilnya, di samping penerangan bagi sesiapa yang mempunyai mata hati atau pendengaran yang baik.

Sunatullah

Syeikh Muhammad Rasyid Ridha menyebut di dalam tafsirnya, Al-Manar: ``Telah berlaku sunatullah pada makhluk-Nya bahawa diajar segala hukum-hukum untuk dilaksanakan ke atas mereka melalui lidah-lidah rasul-rasul yang dipilih di kalangan mereka sebagai khalifah. Yang demikian itu kerana manusia yang menzahirkan segala hukum Allah, sunah-sunah-Nya, iaitu syarak. Begitu juga menzahirkan hikmah-Nya dan sunah ciptaan tabiat yang melayakkannya menjadi khalifah. Allah memberi keistimewaan kepada manusia, lain daripada makhluk-Nya berasaskan kepada kenyataan wahyu, penglihatan zahir dan ujian bahawa Allah menciptakan alam dengan berbagai-bagai jenis tetapi dikhususkan setiap jenis selain manusia, dengan sesuatu yang terhad dan terbatas yang tidak mampu melampauinya. Adapun yang tidak kita ketahui seperti malaikat kecuali dengan wahyu.

Didapati ayat-ayat dan hadis menunjukkan tugas dan tanggungjawab mereka terhad mengikut peranan yang ditentukan Allah. Ada yang bertasbih, sujud, rukuk dan sebagainya. Adapun apa yang kita ketahui melalui penglihatan atau pengalaman seperti jamadat (benda beku seperti tanah, batu dan kayu). Didapati semuanya ini tidak mempunyai ilmu dan amalan. Begitu juga keadaan tumbuhan yang hanya memberi kesan untuk dirinya.

Justeru setiap yang hidup sama ada yang dapat dilihat atau sebaliknya, mereka sebenarnya mempunyai persediaan yang terbatas, ilmu yang terhad dan amalan yang ditentukan. Oleh itu, keadaan ini tidak layak untuk menjadi khalifah. Berbanding manusia, sekalipun Allah menciptanya daif dan jahil seperti kenyataan di dalam al-Quran, akan tetapi dengan kedaifan dan kejahilannya memberi pengajaran bagi sesiapa yang ingin mengambilnya, juga menjadi amat ajaib.

Ini kerana bersama kedaifannya, mampu mentadbir yang kuat-kuat, dan bersama kejahilannya dapat mengetahui beraneka macam nama. Contohnya, binatang dilahirkan dengan pengetahuan berdasarkan ilham, segala yang mendatangkan manfaat dan mudarat, dan sempurnalah kekuatannya dalam masa yang singkat.

Sebaliknya manusia dilahirkan tanpa sebarang ilham kecuali teriakan dan tangisan. Kemudian selepas beberapa ketika ia memahami sedikit demi sedikit. Begitu juga kekuatannya sehingga mampu menguasai alam, di mana kekuatan yang asing itu dikenali sebagai akal. Dengannya dapat mengkayakan manusia berbanding haiwan yang lain, sehingga ciptaan-ciptaan yang menarik dan unik sentiasa tidak berkesudahan. Manusia dengan kekuatan ini tanpa batasan dan sekatan, sama ada dari segi ilmu dan amal sekalipun daif tetapi mampu menyusun dan mentadbir alam ini dengan izin Allah kerana kurniaan-Nya dengan kepelbagaian ilmu di samping hukum-hukum dan syariat-Nya untuk diamalkan.

Ditambah pula dengan kesempurnaan akal yang dibaja sehingga berkembang dan melayakkannya menjadi khalifah. Sebab itu banyak ciptaan yang dapat dilihat berasaskan bahan-bahan galian sama ada di laut atau daratan. Semuanya memudahkan kehidupan ini ke arah yang lebih selesa, di samping manusia mampu mengambil peluang daripada segala jenis makhluk dalam melayari kehidupan ini. Tambahan pula dengan ciptaan Allah yang unik terhadap manusia sebagai khalifah. Bagaimana mungkin malaikat tidak merasa takjub?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home