Saturday, April 23, 2005

Apa Itu Islam Liberal & Dalil/Hujjah Mereka?

Salah satu daripada dasar utama aliran Islam Liberal ialah fahaman
bahawa semua agama adalah sama. Fahaman ini masyhur dikenali di sisi mereka
sebagai Fiqh Lintas Agama, yang bermaksud kefahaman yang menghubungkan
semua agama. Sebelum ini dalam risalah yang berjudul Kerukunan Antara
Agama, Bukan Kesamaan Antara Agama penulis telah mengemukakan
dalil-dalil al-Quran bahawa Islam tidak mengiktiraf semua agama sebagai sama.
Yang diiktiraf oleh Islam hanyalah kehidupan aman damai di antara
pemeluk-pemeluk agama yang berlainan.

Di dalam artikel ini penulis akan memintas, yakni menganalisa dan
menjawab beberapa ayat al-Quran yang lazim dijadikan hujah oleh tokoh-tokoh
Islam Liberal untuk membenarkan fahaman Fiqh Lintas Agama yang mereka
bawa. Sebenarnya cara mereka berhujah tidak lain adalah mengungkap
ayat-ayat al-Quran secara berpisah-pisah, asalkan sahaja ia membenarkan
fahaman mereka. Ini adalah cara yang tidak benar kerana al-Quran adalah
sebuah kitab yang perlu dirujuk secara keseluruhannya. Tidaklah
ayat-ayatnya berdiri secara berpisah-pisah melainkan setiapnya saling melengkap
antara satu sama lain. Rasulullah shallallahu alaihi wasallam telah
bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya al-Quran tidaklah ia diturunkan dengan sebahagiannya
mendustakan sebahagian yang lain, akan tetapi sebahagiannya membenarkan
sebahagian yang lain.” [Hadis riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh Syaikh
Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 6702]

Ayat paling masyhur yang mereka peralatkan ialah firman Allah Subhanahu
wa Ta’ala:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan
orang-orang Nasrani, dan orang-orang Shabi’en, sesiapa di antara mereka itu
beriman kepada Allah dan (beriman kepada) Hari Akhirat serta beramal
salih, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak
ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. [al-Baqarah 2:62]

Senada dengan ayat di atas adalah:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan
orang-orang Shabi’un, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara
mereka yang beriman kepada Allah dan (beriman kepada) Hari Akhirat serta
beramal salih, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian
yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita. [al-Maidah 5:69]

Berdasarkan dua ayat ini tokoh-tokoh fahaman Fiqh Lintas Agama dari
kalangan aliran Islam Liberal mendakwa semua penganut agama seperti kaum
Yahudi, Nasrani (Kristian), Shabi’en dan Islam adalah sama dan benar.
Dalam konteks yang lebih luas - tambah mereka - agama lain seperti Budha,
Hindu dan sebagainya adalah juga sama lagi benar. Para penganutnya
boleh dipanggil sebagai orang yang beriman dan mereka akan peroleh pahala
atas setiap amal salih yang mereka kerjakan. Demikian hujah tokoh-tokoh
Islam Liberal terhadap kedua-dua ayat di atas.

Sejauh manakah kebenaran hujah mereka? Marilah kita mengkaji secara
mendalam kedua-dua ayat di atas. Ayat tersebut menyentuh tentang empat
umat. Umat yang pertama adalah “orang-orang yang beriman” yang bermaksud
umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka disebut sebagai
“mukminin (beriman)” kerana keimanan mereka yang besar lagi kuat. Lebih
dari itu mereka juga beriman kepada seluruh para nabi yang terdahulu
dan kepada hal-hal ghaib yang akan terjadi. Bagi mereka ganjaran pahala
terhadap segala amal salih yang mereka kerjakan, tiada kebimbangan
kepada mereka dalam kehidupan ukhrawi yang akan datang (Hari Akhirat) serta
tiada kesedihan kepada mereka dalam kehidupan duniawi masa kini.
Demikian terang al-Imam Ibn Katsir rahimahullah (774H) [Muhammad Nasib
al-Rifa’iy - Taysir al-‘Aliy al-Qadir li Ikhtisar Tafsir Ibn Katsir (Maktabah
al-Ma’arif, Riyadh 1989), jld. 1, ms. 62]

Umat kedua adalah kaum Yahudi yang merupakan umat Nabi Musa
‘alahissalam manakala umat yang ketiga adalah kaum Nasrani yang merupakan umat
Nabi ‘Isa ‘alahissalam. Umat keempat adalah kaum Shabi’en. Para ahli
tafsir memiliki beberapa pendapat tentang siapakah mereka. Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah (728H) menerangkan bahawa mereka adalah satu kaum yang
pada awalnya menyembah pelbagai patung. Lalu kemudian sampai agama Nasrani
di tengah-tengah mereka sehingga akhirnya mereka terbahagi kepada dua
golongan, yang pertama adalah mereka yang berada di atas agama yang
benar (hanif) serta mentauhidkan Allah manakala yang kedua adalah mereka
yang syirik kepada-Nya. [al-Radd ‘ala al-Manthiqiyyin (Dar al-Ma’refah,
Beirut), ms. 288]

Menarik untuk diperhatikan bahawa dalam ayat 62 surah al-Baqarah mereka
disebut sebagai kaum Shabi’en manakala dalam ayat 69 surah al-Maidah
mereka disebut sebagai kaum Shabi’un. Perbezaan ini bukanlah kerana
kesilapan tatabahasa al-Qur’an tetapi kerana murhafatun lughawi, iaitu
perbezaan yang disengajakan guna menarik perhatian orang yang membaca dan
mendengarnya. Demikian terang Syaikh Muhammad Mutawalliy al-Sya’rawi
rahimahullah (1998) dalam kitab tafsirnya yang terkenal - Tafsir
al-Sya’rawi [edisi terjemahan Indonesia dengan judul yang sama (Duta al-Azhar,
Jakarta 2004), jld. 1, ms. 266]

Tujuan Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan ayat 62 surah al-Baqarah
dan ayat 69 surah al-Maidah dapat difahami dengan mengkaji ayat-ayat
sebelumnya di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menerangkan sikap
tercela umat-umat tersebut yang enggan beriman dan beramal dengan ajaran
tulen yang dibawa oleh nabi-nabi mereka. Namun di sebalik sikap yang
tercela itu Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan bahawa di kalangan mereka
terdapat sebahagian yang tetap beriman dan beramal salih berdasarkan
ajaran tulen yang dibawa oleh nabi masing-masing. Kepada mereka inilah
Allah Subhanahu wa Ta’ala akan berikan ganjaran pahala terhadap segala
amal salih yang mereka kerjakan serta tiada kebimbangan kepada mereka
dalam kehidupan ukhrawi mahupun kesedihan dalam kehidupan duniawi. Adapun
pada masa setelah pengutusan Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam
sebagai Rasul Allah yang terakhir, tiada lagi pilihan kepada kaum-kaum ini
kecuali mengikuti ajaran Islam yang dibawa oleh baginda. Firman Allah
Subhanahu wa Ta’ala:

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.
[Ali ‘Imran 3:19]

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan
diterima daripadanya, dan dia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang
rugi. [Ali ‘Imran 3:85]

Umat Yahudi, Nasrani dan Shabi’en tidak boleh dipanggil sebagai “orang
yang beriman” kerana kedua-dua ayat di atas tidak memanggil mereka
dengan gelaran sedemikian. Perhatikan terdapat pemisahan yang jelas antara
permulaan ayat “Sesungguhnya orang-orang yang beriman” dengan yang
sesudahnya: “dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Shabi’en, dan
orang-orang Nasrani”. Jelas bahawa ayat ini terbahagi kepada dua bahagian, yang
pertama adalah “orang-orang yang beriman” yang hanya khusus ditujukan
kepada umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.

Yang kedua adalah umat Yahudi, Nasrani dan Shabi’en, mereka disyaratkan
kepada keimanan yang benar terhadap Allah dan Hari Akhirat serta
beramal salih secara tulen sebagaimana yang diajar oleh nabi-nabi mereka.
Hanya apabila syarat-syarat ini dipenuhi barulah mereka dapat dipanggil
sebagai orang-orang yang beriman. Pada masa kerasulan Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam, yakni ketika turunnya ayat 62 surah al-Baqarah dan
ayat 69 surah al-Maidah, kebanyakan daripada mereka sudah memiliki
iktikad yang menyeleweng manakala amalan mereka telah diubahsuai mengikut
kehendak mereka sendiri. Oleh itu mereka tidak lagi dianggap sebagai
orang yang beriman kecuali segelintir kecil yang memeluk Islam setelah
jelas kepada mereka akan kerasulan Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.

Timbul persoalan, kenapakah ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah
al-Maidah hanya menyebut keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat? Adakah
memadai dengan dua keimanan ini sahaja? Pakar tafsir Indonesia masa
kini, Syaikh Muhammad Quraish Shihab menerangkan sebabnya:

Pensyaratan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat seperti bunyi ayat di
atas bukan bererti hanya dua rukun iman itu sahaja yang dituntut
daripada mereka, akan tetapi (kerana) kedua-duanya adalah istilah yang biasa
digunakan oleh al-Qur’an dan Sunnah untuk makna iman yang benar dan
mencakupi semua rukunnya.

Memang akan menjadi sangat panjang apabila semua objek keimanan disebut
satu demi satu. Rasulullah s.a.w. dalam percakapan sehari-hariannya
sering menyebut sekadar keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Misalnya
sabda baginda: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka
hendaklah dia menghormati tetamunya.” Di ketika yang lain baginda
bersabda: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia
mengucapkan kata-kata yang baik atau (jika tidak hendaklah dia) diam”
dan masih banyak yang seumpama. [Tafsir al-Mishbah (Lentera hati,
Djuanda 2000) jld. 1, ms. 208]

Untuk memantapkan lagi kefahaman para pembaca, berikut ini penulis
nukil tafsiran ayat 62 surah al-Baqarah daripada seorang tokoh ilmuan yang
terkenal di Timur Tengah, iaitu Syaikh Sa’id Hawwa rahimahullah
(1989M). Beliau sendiri di tempatnya telah terdedah kepada fahaman Fiqh Lintas
Agama, sekalipun ia di sana tidak dipanggil dengan nama tersebut,
manhajnya tetap sama juga, iaitu kesamaan antara agama. Justeru dalam
mengupas tafsiran ayat di atas, beliau bukan sahaja menerangkan maksudnya
yang sebenar tetapi juga menjawab serta menolak tafsiran “kesamaan antara
agama” yang didirikan daripada ayat tersebut.

Syaikh Sa’id Hawwa dalam kitab tafsirnya al-Asas fi al-Tafsir (Dar
al-Salam, Kaherah 1999), jld. 1, ms. 153-154 menulis:

Antara yang sedia dimaklumi adalah sesuatu umat tidak mungkin
seluruhnya terjebak ke dalam maksiat (derhaka kepada ajaran agama), pasti ada di
antara mereka individu yang bersungguh-sungguh dalam ketaatan. Mereka
tidak terpengaruh dengan pelbagai kekeliruan yang dilakukan oleh orang
lain (daripada kaum mereka). Lalu bagaimanakah kedudukan mereka di
tengah umat mereka? Bagaimana nasib mereka terhadap hukuman duniawi dan
ukhrawi padahal mereka melaksanakan hak Allah? Ayat ini (al-Baqarah 2:62)
menegaskan bahawa keutamaan Allah ‘Azza wa Jalla disempurnakan ke atas
orang-orang seumpama mereka dalam setiap umat. Bagi mereka keselamatan
daripada hukuman duniawi dan hukuman ukhrawi.

…..Wajib diketahui dengan jelas bahawa yang dimaksud dengan orang-orang
yang disebutkan dalam ayat di atas (Yahudi, Nasrani dan Shabi’en)
adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan kepada Hari Akhirat dengan
keimanan yang benar serta melaksanakan agama Allah (sebagaimana yang
dikehendaki oleh Allah, inilah maksud firman-Nya): “…sesiapa di antara
mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) Hari Akhirat serta
beramal salih…”

Agar tidak terjadi kekeliruan pemahaman, saya tegaskan bahawa sekarang
tidak ada lagi orang yang akan selamat, baik dari kalangan Yahudi,
Nasrani, Shabi’en, Majusi ataupun yang lainnya kecuali apabila dia beriman
kepada Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam atau jika belum sampai
kepadanya dakwah (tentang Islam, di mana urusan mereka diserahkan kepada
Allah). Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim
(Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya): “Demi nyawaku yang
berada di Tangan-Nya, tidaklah seorangpun dari umat ini yang mendengar
(dakwah) saya, baik dari kalangan Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia
tidak beriman dengan yang aku diutuskan dengannya (Islam) melainkan dia
termasuk penduduk neraka.”

Berdasarkan ini, maka orang Yahudi yang dimaksud dalam ayat di atas
adalah orang Yahudi yang hidup sebelum Nabi ‘Isa ‘alaihissalam yang tidak
ikut mengerjakan maksiat, malah mereka bersungguh-sungguh dalam
keimanan. Adapun orang Yahudi yang tidak beriman dengan Nabi ‘Isa setelah
baginda diutus maka dia tercela. Yang dimaksudkan dengan orang Nasrani
(dalam ayat di atas) adalah orang Nasrani yang hidup sebelum kerasulan
Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam yang bersungguh-sungguh dengan
keimanan mereka yang sahih serta mengerjakan amal salih dan mereka tidak
menyimpang kerana mengikuti penyimpangan manusia (orang lain). Adapun
setelah kerasulan Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam maka seluruh orang
Nasrani tercela apabila mereka tidak memeluk agama Islam (termasuk juga
orang Yahudi kerana kedua-dua mereka, kaum Yahudi dan Nasrani adalah
daripada kalangan Bani Israil). Demikianlah juga orang Shabi’en, mereka
selamat sampai diutusnya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam karena
(sebelum itu) mereka tidak ikut serta mengerjakan kesesatan yang
dilalukan oleh kaumnya. Adapun setelah kerasulan Muhammad shallallahu
‘alaihi wasallam maka kesemua mereka yang tidak beriman akan tercela.

Ayat di atas dibuka (dimulai) dengan menyebutkan orang-orang yang
beriman, yang dimaksud dengannya adalah umat Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam walaupun mereka datang paling akhir. Hal itu karena mereka
beriman dengan seluruh nabi yang diutus sebelumnya dan pelbagai perkara
ghaib yang akan datang. Keimanan seperti ini sudah menjadi ciri khusus umat
ini.

Oleh itu sebagai kesimpulan perbahasan, ayat 62 surah al-Baqarah dan
ayat 69 surah al-Maidah tidak berperanan menghukum semua agama sebagai
benar, jauh sekali daripada memanggil setiap penganut agama sebagai
“orang-orang yang beriman”. Peranan kedua-dua ayat ini adalah untuk
menerangkan bahawa di kalangan umat-umat terdahulu, sesiapa yang beriman secara
benar kepada Allah dan beramal salih sebagaimana ajaran tulen yang
dibawa oleh para nabi mereka, mereka akan diberi ganjaran oleh Allah
Subhanahu wa Ta’ala. Adapun pada masa setelah pengutusan Nabi Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Rasul Allah yang terakhir, tiada lagi
pilihan kepada kaum-kaum ini kecuali mengikuti ajaran Islam yang dibawa
oleh baginda.

Selain ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Maidah, terdapat
beberapa ayat lain yang juga diperalatkan oleh tokoh-tokoh Islam Liberal
untuk menegakkan fahaman Fiqh Lintas Agama. Berikut akan dikemukakan
ayat-ayat tersebut diikuti dengan penjelasannya yang benar secara
ringkas.

Surah al-Hajj 22:17

Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan
orang-orang Shabi’en, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta
orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukum-Nya di
antara mereka pada Hari Kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa
Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

Berdasarkan ayat ini tokoh-tokoh Islam Liberal mendakwa bahawa semua
orang, sama ada beragama atau tidak, adalah sama. Siapa yang benar akan
diputuskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala pada Hari Kiamat kelak.

Penjelasan:

Ayat di atas tidak bermaksud kesamaan antara agama kerana pada ayat
yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan bahawa:

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.
[Ali ‘Imran 3:19]

Maksud sebenar ayat 17 surah al-Hajj di atas adalah Allah Subhanahu wa
Ta’ala menerangkan bahawa semua umat akan dibawa kepada pengadilan-Nya
pada Hari Kiamat kelak. Sesiapa yang beriman kepada agama-Nya yang
dibawa oleh para Rasul-Nya secara tulen akan mendapat ganjaran manakala
sesiapa yang menentang atau mengubah suai maka dia akan mendapat hukuman.
Adapun bagi kaum penyembah berhala seperti orang-orang Majusi dan
Musyrik, jika telah sampai dakwah tauhid lalu mereka beriman kepadanya maka
mereka akan memperoleh ganjaran Allah. Jika telah sampai dakwah tetapi
mereka mengingkarinya maka mereka akan memperoleh hukuman. Jika tidak
sampai dakwah maka kedudukan mereka terserah kepada rahmat dan keluasan
ilmu Allah.

Surah Ali ‘Imran 3:19

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.
[Ali ‘Imran 3:19]

Tokoh-tokoh Islam Liberal menafsirkan ayat di atas bahawa kononnya
“Islam” yang dimaksudkan adalah “penyerahan diri kepada tuhan” tanpa
mengira apa agamanya dan siapa tuhannya. Justeru semua agama adalah benar
selagi mana para penganutnya menyerah diri kepada tuhan masing-masing.
Demikian kesimpulan mereka terhadap ayat di atas.

Penjelasan:

Tafsiran di atas terbukti salah jika kita mengkaji ayat ke 18 dan 19
secara lengkap. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya), bahawasanya tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan
(seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang
yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.
Dan orang-orang yang diberikan Kitab (Yahudi dan Nasrani) tidak
berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah
sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya;
(perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan
mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat
keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya. [Ali
‘Imran 3:18-19]

Ayat 18 menetapkan keesaan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai
satu-satunya tuhan yang layak disembah, sekaligus membatalkan dakwaan tokoh-tokoh
Islam Liberal bahawa semua tuhan adalah benar. Ayat 19 menerangkan
tentang sikap Ahli Kitab, yakni kaum Yahudi dan Nasrani yang sengaja
mengingkari kebenaran risalah Islam semata-mata kerana kedengkian sekalipun
mereka tahu akan kebenarannya. Sikap kaum Yahudi dan Nasrani ini
menyebabkan mereka dihukum sebagai orang yang “kufur ingkar” terhadap
ayat-ayat Allah, sekaligus membatalkan dakwaan tokoh-tokoh Islam Liberal
kononnya agama Yahudi dan Nasrani atau apa jua agama lain adalah benar.

Lebih dari itu Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman dalam ayat
yang lain:

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan
diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang
rugi. [Ali ‘Imran 3:85]

Ayat ini secara jelas menerangkan semua agama adalah tidak sah di sisi
Allah kecuali Islam. Tidak wujud apa-apa tafsiran kedua daripada ayat
85 surah Ali ‘Imran ini selain daripada di atas.

Surah al-Baqarah 2:148

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya;
oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana
sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun
pada Hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu.

Daripada ayat ini, tokoh-tokoh Islam Liberal bukan sahaja mendakwa
semua agama adalah benar tetapi kononnya al-Qur’an menganjurkan agar setiap
penganut agama - apa jua agama mereka - berlumba-lumba untuk
mengerjakan kebajikan. Amal kebajikan mereka akan diberi ganjaran pahala pada
Hari Kiamat kelak.

Penjelasan:

Ayat 148 di atas yang bersifat umum telah diperincikan oleh ayat 177
daripada surah al-Baqarah yang sama:

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak
timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada
Allah, dan Hari Akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan
sekalian Nabi….

Orang yang tidak beriman kepada Allah tidak akan memperoleh ganjaran
pahala, malah amal kebajikan mereka adalah sia-sia sahaja di sisi Allah
Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah:

Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak
sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga,
(lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu,
tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan
orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang
disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah
meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah
Amat segera hitungan hisab-Nya. [al-Nur 24:39]

Al-Quran tidak mengkafirkan orang bukan Islam

Tokoh-tokoh Islam Liberal mendakwa bahawa apabila berbicara dengan kaum
Yahudi dan Nasrani, al-Qur’an tidak memanggil mereka “Wahai kaum
kafir…” tetapi memanggil mereka “Wahai Ahli Kitab…”. Demikian juga apabila
berbicara dengan kaum penyembah berhala, al-Qur’an tidak memanggil mereka
“Wahai kaum musyrik…” tetapi memanggil mereka “Wahai manusia…”. Ini
semua menunjukkan bahawa al-Qur’an tidak menghukum mereka kafir mahupun
sebagai ahli neraka.

Penjelasan:

Memang benar bahawa apabila berbicara dengan kaum ahli kitab atau
penyembah berhala, al-Qur’an memanggil mereka sebagai “Wahai Ahli Kitab…”
dan “Wahai manusia…”. Semua ini tidak lain adalah kaedah hikmah dalam
berdakwah sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan
dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang
engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia
lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan
Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat
hidayah petunjuk. [al-Nahl 16:125]

Jika kita memanggil orang yang ingin kita dakwah dengan gelaran yang
bersifat negatif, pasti ia akan menggagalkan usaha dakwah kita sejak
daripada saat yang awal.

Walaubagaimanapun dakwaan tokoh-tokoh Islam Liberal bahawa al-Qur’an
tidak mengkafirkan kaum ahli kitab atau penyembah berhala adalah salah.
Sila rujuk ayat berikut:

Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta
orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan
masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.
[al-Bayyinah 98:01]

Demikian juga dakwaan mereka bahawa kononnya al-Qur’an tidak menghukum
kaum ahli kitab atau penyembah berhala dengan azab neraka. Sila rujuk
ayat berikut:

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang
musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di
dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. [al-Bayyinah 98:06]

Demikian beberapa ayat yang lazim dikemukakan oleh tokoh-tokoh Islam
Liberal. Tidak dinafikan bahawa masih terdapat beberapa ayat lain yang
mereka pergunakan. Apa jua ayat yang digunakan, manhaj mereka tetap sama
iaitu memperalatkan beberapa ayat yang sesuai dengan fahaman mereka
sambil mengabaikan ratusan ayat lain yang bertentangan malah membatalkan
fahaman mereka.

Sebenarnya fahaman Fiqh Lintas Agama hanya baru dari sudut nama
manakala dari sudut manhaj ia sudah wujud lama dahulu. Pada zaman Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam, para tokoh musyrik Kota Makkah juga cuba
untuk “menyamakan” antara agama nenek moyang mereka dengan agama Islam
yang dibawa oleh baginda. Terhadap percubaan ini Allah Subhanahu wa
Ta’ala telah menurunkan ayat berikut:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan
menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang
aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan
kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu
dan bagiku agamaku.” [al-Kafirun 109:1-6]
Ayat-ayat surah al-Kafirun ini adalah sesuai lagi tepat untuk semua
tempat dan zaman, sama ada terhadap tokoh-tokoh musyrik Makkah di zaman
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau kepada tokoh-tokoh Islam
Liberal masa kini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home