Thursday, March 17, 2005

Semisal al-Quran - Cabaran kepada yang ingkar

IBN JAUZI di dalam kitabnya, Zad al-Masir menerangkan sebab-sebab turunnya ayat 23 surah al-Baqarah. Ia diturunkan kerana orang-orang Yahudi mengatakan bahawa ayat-ayat yang turun kepada Muhammad ini tidak menyerupai wahyu.

Justeru itu, mereka berada di dalam keadaan syak. Lantas Allah menurunkan ayat ini.

Allah s.w.t. menyebut selepas dalil-dalil tauhid sebagai hujah ke atas kenabian, Allah datangkan pula segala bukti kemukjizatan al-Quran sebagaimana firman-Nya

* DAN JIKA KAMU (TETAP) DALAM KERAGUAN TENTANG AL-QURAN YANG KAMI WAHYUKAN KEPADA HAMBA KAMI (MUHAMMAD), BUATLAH SATU SURAT (SAHAJA) YANG SEMISAL AL-QURAN ITU DAN AJAKLAH PENOLONG-PENOLONGMU SELAIN ALLAH, JIKA KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR. (Al-Baqarah ayat 23)

Ulama telah menafsirkan ayat `Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad)', dengan maksud kalau kamu ragu wahai manusia dan syak tentang kebenaran al-Quran yang penuh dengan mukjizat pada keterangan, tasrik dan undang-undangnya yang Kami turunkannya kepada hamba dan rasul Kami, Muhammad s.a.w.

Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di berkata, ``Sifat rasul dan ubudiyah pada makam yang mulia ini menjadi dalil bahawa sebesar-besar sifat Rasulullah s.a.w. adalah perlaksanaan ubudiah yang tidak diikuti oleh mana-mana yang dahulu dan kemudian.''

`Maka buatlah satu surat (sahaja) yang semisal al-Quran itu', yakni buatkan hanya satu surah yang seumpama al-Quran dari segi balaghah, fasahah dan keterangannya.

As-Syaukani di dalam tafsirnya Fath al-Qadir berkata, ``Yang semisal itu, kembali kepada al-Quran.'' Dan pendapat ini merupakan pendapat jumhur ahli ilmu.

Pendapat lain pula menyatakan, semisal itu kembali kepada kitab Taurat dan Injil kerana makna `datangkan dengan surah daripada kitab seumpamanya', sudah tentu hanya sesuai dan layak dengan kitab-kitab seperti itu.

Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa semisal itu kembali kepada Nabi s.a.w. dengan makna manusia seperti Muhammad yang tidak pandai membaca dan menulis.

Syeikh Rashid Ridha menyatakan bahawa yang ditarjihkan oleh gurunya, Syeikh Muhammad Abduh, semisal itu kembali kepada Muhammad s.a.w. adalah khas dalam ayat ini.

Ia tidak menafikan kelemahan untuk mendatangkan surah seumpama surah-surah al-Quran, sekalipun jumhur berpendapat yang lain.

Allah s.w.t. mencabar manusia berhubung al-Quran ini dengan tiga cabaran sebagaimana dikatakan oleh sebahagian ulama kalam iaitu:

i. Mencabar untuk mencipta al-Quran semuanya seperti dalam Surah al-Isra'.


ii. Mencabar supaya mendatangkan sepuluh surah seumpamanya seperti dalam Surah Hud.

iii. Mencabar supaya mendatangkan satu surah seumpamanya seperti dalam surah ini, iaitu surah al-Baqarah.

Cara tertib ini adalah ma'qul (logik) mengikut i'jaz al-Quran.

Seterusnya, Allah mencabar mereka dengan kenyataan-Nya `dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah', yang bermaksud panggillah pembantu-pembantu kamu yang dapat menolongmu dalam perlawanan menentang al-Quran.

Dikehendaki kamu meminta tolong dengan sesiapa yang kamu kehendaki selain daripada Allah.

Al-Baidhawi berkata, ``Makna ayat ini adalah mengajak dan memanggil sama ada manusia, jin ataupun tuhan-tuhan selain Allah. Nescaya tiadalah mereka mampu dan berkuasa untuk mendatangkan surah seumpama al-Quran kecuali Allah jua.''

Ibn Jauzi berkata, ``Terdapat tiga tafsiran pada kalam `penolong-penolongmu' iaitu:

i. Tuhan-tuhan mereka. Inilah pendapat Ibn Abbas, as-Suddi, Muqatil dan al-Farra'.

ii. Mereka ialah pembantu-pembantu dan penolong-penolong di kalangan mereka. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas.

iii. Datangkanlah manusia yang menyaksikan apa yang kamu buat seperti al-Quran. Inilah pendapat Mujahid.

Al-Maghari berkata, ``Sebenarnya, banyak ayat al-Quran seperti makna itu diturunkan di Mekah.''

Allah menutup ayat ini dengan kalimat `jika kamu orang-orang yang benar', iaitu dakwaan yang menyatakan bahawa al-Quran sesungguhnya merupakan ciptaan dan rekaan daripada kalam manusia.

Ibn Jauzi menaqalkan pendapat Ibn Abbas dengan maksud pada ucapan kamu, sesungguhnya al-Quran bukan daripada Allah.

As-Samarqandi berkata, ``Dikatakan ayat-ayat ini merupakan asal dan sumber bagi semua yang dikatakan oleh ahli kalam, kerana pada awal ayat, ia mengisbatkan pencipta, manakala pada akhir ayat, ia mengisbatkan kenabian Muhammad s.a.w.''

Abu Jaafar at-Tabari melalui tafsirnya, Sami' al-Bayan fi Ta'wil al-Quran berkata, ``Ini daripada Allah yang berhujah untuk Nabi-Nya s.a.w. ke atas orang-orang musyrikin daripada kaumnya, iaitu orang-orang Arab, orang-orang munafiqin dan orang-orang kafir ahli kitab yang sesat di kalangan mereka.

``Kepada mereka diucapkan dengan ayat ini sebagai cabaran pada keraguan mereka terhadap ayat-ayat yang telah diturunkan kepada hamba Kami Muhammad s.a.w. bahawa cahaya, bukti dan ayat-ayat furqan daripada-Ku, sedangkan kamu tidak beriman dengannya serta ingkar.

``Justeru hendaklah kamu datangkan hujah untuk menolak hujahnya kerana kamu mengetahui hujah para nabi ada kebenarannya dalam dakwaan kenabian.

``Datangkanlah satu surah seumpamanya dengan bantuan segala cerdik pandai dan pakar-pakar bahasa antara kamu, supaya mereka dapat mencipta seperti al-Quran bagi satu surah sahaja, sudah tentu kamu amat lemah untuk melakukannya.''

GLOSARI

* Ma'qul : logik akal

* DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

1 Comments:

At 1:48 PM, Blogger elrasmyca_tahir@blogspot.com said...

alqurqn itu g bs di palsukan karna mempunyai nilai numrik stiap huruf hbs dbgi 19

 

Post a Comment

<< Home