Friday, March 11, 2005

Konfrontasi di alaf 21

keratan berita harian 9 mac 2005

‘Dakwaan sempadan tegang tidak benar’

KUCHING: Keadaan di sempadan Malaysia dan Indonesia, khususnya di Kepulauan Sulawesi terkawal dan tidak tegang seperti dilaporkan, kata Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Affendi Mustafa.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak tertentu tidak menggembar-gemburkan kononnya keadaan di kawasan berkenaan tegang berikutan tindakan Kerajaan Indonesia menghantar tenteranya di kawasan itu.

“Keadaan di Kepulauan Sulawesi terkawal dan anggota tentera masih menjalankan tugas mereka seperti biasa.

“Jadi, tidak benar kononnya keadaan di sempadan Malaysia dan Indonesia tegang seperti dilaporkan sesetengah pihak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Muhammad Affendi berkata, beliau juga sudah mengarahkan anggota tentera yang menjalankan operasi di kawasan itu supaya meneruskan tugas mereka seperti biasa.

Mengenai langkah Indonesia menghantar anggota tenteranya ke kawasan pertikaian itu, Muhammad Affendi berkata, sebenarnya mereka sedang membuat persiapan untuk menyambut Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang akan mengadakan lawatan ke kawasan itu.

“Sebenarnya ketibaan ramai anggota tentera di kawasan itu adalah untuk menyambut Presiden Susilo.

“Jadi, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Lagi pun, kita (tentera) sentiasa memantau keadaan di kawasan itu,” katanya.

Katanya, hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) juga baik dan beliau sudah menghubungi rakan sejawatannya di negara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan.

Indonesia baru-baru ini membantah langkah Malaysia melalui syarikat minyaknya Petronas, menganugerahkan konsesi minyak dan gas di Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi kepada syarikat minyak Shell atas alasan ia terletak dalam wilayahnya.

Berikutan itu, satu kumpulan yang menggelar diri mereka Forum Studi Demokrasi (FOSAD) mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, kelmarin, berhubung isu konsesi minyak itu.

Demonstrasi yang berlangsung kira-kira 30 minit pada tengah hari itu antara lain menuntut Malaysia menarik balik tuntutan pemilikan terhadap blok minyak itu yang dikenali di Indonesia sebagai Blok Ambalat.

Mereka, yang diketuai penyelaras FOSAD, Musyaraffah Ahmad juga mahu Malaysia mengundurkan semua tentera di kawasan itu dan meminta maaf kepada Indonesia.

********************************************************************


Media Indonesia tak wajar cetuskan kemarahan rakyat

Oleh Shamshul Azree Samshir


PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata tindakan media Indonesia membangkitkan perasaan serta emosi berhubung isu pertikaian sempadan maritim kedua-dua negara tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau yang dijadual mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya, Hassan Wirayuda di Jakarta hari ini, berkata tindakan itu tidak memberi sebarang faedah dan tidak konstruktif.

“Sudah tentu setiap negara ada pendirian dan apa yang perlu dilakukan ialah mencari penyelesaian terbaik melalui perbincangan dan rundingan.

“Ini bukannya soal mahu meraih mata kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Asia Pasifik Kedua anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah. Persidangan dua hari bertemakan ’Kepelbagaian Budaya di Tempat Kerja: Isu dan Tindak Balas,’ itu dihadiri lebih 200 tokoh akademik tempatan dan luar negara, termasuk Sudan, Iran dan Amerika Syarikat.

Indonesia sebelum ini membantah tindakan Petronas memberi hak mencari gali sumber minyak di Blok ND6 dan ND7 berhampiran kepulauan Sipadan dan Lingitan kepada Shell, 16 Februari lalu.

Jakarta mendakwa Malaysia hanya berhak terhadap kawasan sejauh 19 kilometer dari kedua-dua pulau itu dan menegaskan Blok Ambalat dan Blok Ambalat Timur di perairan sebelah timur Kalimantan, dikelolakan oleh ENI, sebuah syarikat minyak Itali sejak 1999, manakala Blok East Ambalat diberikan kepada Unocal Corp, berpangkalan di Amerika Syarikat pada 2004.

Syed Hamid berkata, Malaysia menganggap hubungan Kuala Lumpur-Jakarta penting dan isu membabitkan pemberian konsesi minyak di Laut Sulawesi tidak akan menjejaskan hubungan yang sedia terjalin.

“Saya sedih dengan perkembangan yang berlaku sekarang. Bagaimanapun, hubungan kedua-dua negara tidak sepatutnya diukur daripada isu atau perbezaan tertentu,” katanya.

Syed Hamid berkata, dalam temu ramahnya bersama stesen televisyen Indonesia, Metro TV, kelmarin, beliau menyatakan tindakan media negara itu membangkitkan kemarahan dan semangat rakyat Indonesia tidak baik.

“Kita akui ada masalah. Selepas masalah itu dikenal pasti, kita tahu ada isu kefahaman dan interpretasi berhubung hak persempadanan. Kita mahu berbincang... Malaysia percaya kepada dialog dan perbincangan setiap kali timbul masalah,” katanya.

Syed Hamid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bersetuju isu pemberian konsesi minyak di Laut Sulawesi diatasi melalui saluran diplomatik dengan masing-masing mengelak daripada mencetuskan tekanan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh disalah tafsir.

“Saya akan bertemu Hassan esok (hari ini) dan membincangkan isu seperti yang dinyatakan Perdana Menteri,” katanya.

Ditanya apakah beliau akan membangkitkan isu laporan media Indonesia berhubung kes itu dalam pertemuannya dengan Hassan, beliau berkata:

“Saya belum bertemunya. Saya juga tidak berbincang melalui telefon dengannya. Biarlah saya bertemunya dulu. Kita mesti bertindak atas tanggungjawab.”

Syed Hamid berkata, Wisma Putra mengawasi keadaan keselamatan di Kedutaan Malaysia di Jakarta berikutan kejadian tunjuk perasaan di hadapan pejabat kedutaan itu, kelmarin.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia bertenang menghadapi isu itu serta berpegang kepada kepercayaan semua masalah boleh diselesaikan di meja rundingan.

********************************************************************************

Hari ni sempat menggodek kantung email yang dah lama jenguk, tapi tak sempat nak baca. Selalunya masuk sebab nak sweep email2 yang tak berkenaan. Ada pengkhabaran dari Husna, sahabat ana yang amik medic di Makasar Indonesia.

Mengikut pengkhabarannya, keadaan di sana semakin tegang lantaran minyak petrol yang dicurahkan pada kemarahan rakyat Indonesia. Banyak demo-demo yang dilancarkan di bandar-bandar. Menurut Husna lagi, anak-anak Malaysia asyik diganggu dengan lensa-lensa kamera wartawan di sana. Rimas! Kebanyakan anak Malaysia di sana tidak berani menaiki kenderaan awam lantaran berbaju kurung@ menunjukkan identiti Malaysia. Banyak sepanduk-sepanduk yang tertulis, "Ganyang Malaysia". Kita di sini pun naik seram jugak kalau dikerumuni orang-orang Indon, inikan pula sahabat yang sememangnya berada di sana.

Ana mendoakan keselamatan dan kesejahteraan sahabat-sahabat dan adik-adik di sana...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home