Thursday, March 24, 2005

Cabaran Allah - `Pasti kamu tidak dapat membuatnya...'

MAKA JIKA KAMU TIDAK DAPAT MEMBUATNYA DAN PASTI KAMU TIDAK DAPAT MEMBUATNYA, PELIHARALAH DIRIMU DARI NERAKA YANG BAHAN BAKARNYA MANUSIA DAN BATU YANG DISEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG KAFIR. (Surah al-Baqarah Ayat 24)


Ayat ini meneruskan lagi cabaran Allah kepada mereka dengan kenyataan `Maka jika kamu tidak dapat membuatnya'.
Ia bermaksud, jika kamu tidak mampu mendatangkan seumpama satu surah dan surah-surahnya, dan kamu telah lemah (gagal) pada masa lalu untuk mendatangkan yang setaraf atau kurang sedikit.

Sekalipun kamu meminta bantuan dengan ahli-ahli bahasa dan pakar-pakar sastera, `pasti kamu tidak dapat membuatnya', dengan maksud tidak berkuasa pada masa akan datang juga.

Dengan kata lain, sebagaimana kamu lemah pada masa dulu, begitu juga pada masa akan datang.

Ibn Kathir berkata, ``Allah mencabar mereka melalui al-Quran-Nya. Sekalipun mereka adalah sefasih-fasih manusia, mereka adalah lemah.''

`LAN' adalah penafian selama-lamanya pada masa akan datang, dengan maksud kamu selama-lamanya tidak mampu melakukan penciptaan seperti al-Quran.

Ini juga menandakan mukjizat lain yang dikhabarkan secara jazim dan putus, tanpa merasa takut bahawa al-Quran ini pasti tidak mungkin dicabar selama-lamanya.

Kemudian Allah s.w.t. menyebut, peliharalah dirimu dari neraka dengan maksud, takutlah azab Allah dan awaslah daripada terhumban ke neraka Jahim yang Allah sediakannya sebagai balasan kepada pendusta-pendusta.

Neraka tersebut disifatkan seperti `bahan bakarnya adalah manusia dan batu yang disediakan bagi orang-orang kafir', iaitu bahan-bahannya terdiri daripada orang-orang kafir dan batu-bata yang dijadikan berhala untuk disembah selain daripada Allah.

Mujahid berkata, ``Batu-bata yang dijadikan unggun dan bahan bakar lebih busuk daripada bangkai yang diazabkan bersama neraka.''

Orang-orang kafir di sini adalah yang ingkar, layak menerima berbagai-bagai azab.

Ibn Jauzi berkata, ``Mengenai bahan bakarnya daripada batu-bata, terdapat dua pandangan ulama :

i. Berhala-berhala yang mereka sembah. Inilah pendapat ar-Rabi' bin Anas.

ii. Batu-bata yang dijadikan unggun yang lebih panas daripada segalanya apabila mereka diazab semuanya.''

Diriwayatkan daripada Ibn Mas`ud tentang batu yang menjadi bahan bakar, dikhususkan demikian kerana ia dilebihkan daripada semua batu-bata dengan lima jenis azab :

i. Cepat terbakar.

ii. Bau yang amat busuk.

iii. Asapnya tebal.

iv. Kuat melekat pada tubuh badan.

v. Kuat bahang panasnya.

Kenyataan itu disebut oleh Ibn Atiyyah dalam kitabnya, al-Muharrar al-Wajiz.

Al-Mawardi di dalam kitabnya, an-Nukat wa Uyun berkata, ``Pada ayat `disediakan bagi orang-orang kafir' terdapat dua pandangan :

i. Bahawa ia (neraka) sekalipun disediakan kepada orang-orang kafir, juga disediakan untuk orang yang layak dikenakan azab, walaupun bukan di kalangan orang yang kafir. Neraka yang sama tetapi azabnya berlainan mengikut tahapnya.

ii. Neraka ini hanya disediakan untuk orang kafir sahaja dan mereka yang dikenakan azab disediakan neraka yang lain.

Ibn Atiyyah ketika menyebut firman Allah s.w.t. `disediakan' bahawa ia adalah bantahan kepada mereka yang berpendapat neraka belum diciptakan.

Ia merupakan pendapat yang lemah kerana fiil ini adalah fiil madhi (perbuatan yang telah lalu).

Syed Qutub menyebut di dalam tafsirnya, Fi Zilalil al-Quran, ``Himpunan antara manusia dan batu dalam neraka adalah gambaran yang amat menakutkan dan menggambarkan bahawa api neraka memamah batu-batu, sedangkan manusia bersama batu-batu itu di dalam neraka.''

GLOSARI

* fiil : perbuatan

1 Comments:

At 5:45 PM, Anonymous www.tabletpc-shop.info said...

Quite useful info, thank you for the article.

 

Post a Comment

<< Home