Thursday, March 10, 2005

Bumi sebagai hamparan - Langit sebagai atap....Tafsir ayat 22, Surah Al-Baqarah.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


IBN Kathir berkata, ``Allah mula menerangkan tentang keesaan uluhiyah-Nya bahawa Dialah sahaja pemberi nikmat kepada semua hamba-Nya dengan mengeluarkan mereka daripada tiada, lalu diciptakan-Nya dan melimpah-ruahkan atas mereka dengan pelbagai jenis nikmat, sama ada yang zahir atau batin.''

Kemudian Allah s.w.t. menyebut beberapa nikmat-Nya yang dikurniakan kepada manusia seperti firman-Nya:

DIALAH YANG MENJADIKAN BUMI SEBAGAI HAMPARAN BAGIMU DAN LANGIT SEBAGAI ATAP DAN DIA MENURUNKAN AIR (HUJAN) DARI LANGIT LALU DIA MENGHASILKAN DENGAN HUJAN ITU SEGALA BUAH-BUAHAN SEBAGAI REZEKI UNTUKMU; KERANA ITU JANGANLAH KAMU MENGADAKAN SEKUTU-SEKUTU BAGI ALLAH PADAHAL KAMU MENGETAHUI.(AL-BAQARAH : 22)

Di antara nikmat-Nya ialah, `Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu.' Ia bermaksud Allah menjadikan bumi sebagai tempat tinggal untuk manusia, dan manusia menghamparnya seperti permaidani walaupun bumi itu bulat bentuknya.

Jika tidak, mana mungkin manusia dapat hidup dengan stabil dan tenang di atas bumi.

Al-Baidawi berkata, ``Allah menjadikan bumi yang disediakan sebagai penempatan untuk didiami dan tidur di atasnya seperti hamparan.''

Ibn Jauzi berkata, ``Dinamakannya bumi kerana keluasannya.'' Ada pendapat menyatakan, dinamakannya bumi kerana ia tempat jatuh segala yang ada dari langit.

Seterusnya, ada juga yang berpendapat dinamakannya bumi kerana kedudukannya yang rendah dan berada di bawah. Dan pendapat yang terakhir mengatakan, dinamakannya sebagai bumi kerana manusia redha dengannya untuk dipijak dengan kaki-kaki mereka.

Di antara nikmat Allah juga ialah `dan langit sebagai atap', iaitu bagi bumi terdapat payung dan atap yang tinggi seperti kubah. Dinamakan langit itu sebagai langit kerana ketinggiannya.

Az-Zajjaj berkata, ``Setiap yang tinggi dari bumi dinamakan binaan.'' Ibn Abbas berkata, ``Binaan di sini dinamakan atap.''

Syeikh as-Syanqiti di dalam kitabnya Adhwa al-Bayan berkata, ``Ciptaan langit dan bumi disebut kerana kedua-duanya adalah di antara sebesar-besar makhluk, dan sesiapa yang mampu mencipta sebesar-besar makhluk, bermakna dengan sendirinya ia mampu mencipta yang lainnya dengan begitu mudah.''

Menghidupkan

Itulah langit. Keistimewaan langit dijelaskan di dalam ayat seterusnya.

`Dia menurunkan air (hujan) dari langit', iaitu dengan maksud, hujan yang banyak diturunkan dengan kudrat-Nya dari awan berdasarkan kepada sunah-Nya.

Faedahnya tertera pada ayat selepas itu, `Lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu'.

Iaitu dengan sebab hujan, tanaman-tanaman menjadi subur yang mengeluarkan pelbagai jenis bijirin dan buah-buahan. Ia menjadi santapan bagi meneruskan kehidupan.

Syeikh as-Syanqiti berkata, ``Menghidupkan bumi selepas matinya (tanpa

sebarang tumbuhan) sebenarnya merupakan sebesar-besar dalil dan bukti bahawa wujudnya Hari Kebangkitan selepas kematian.''

Justeru, sewajarnyalah kamu menjauhkan larangan-Nya, apatah lagi yang membabitkan unsur syirik seperti yang ditegaskan Allah dalam ayat-Nya: `Kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kamu mengetahui'.

Maksudnya, jangan kamu menjadikan bersama-Nya sekutu-sekutu yang lain daripada berhala-berhala dan manusia yang kamu sekutukan mereka bersama Allah dalam beribadat.

Sedangkan kamu amat mengetahui bahawa mereka tidak dapat mencipta sesuatu pun dan tidak dapat juga memberi rezeki.

Sebaliknya, hanya Allah yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi Rezeki serta bersifat dengan Maha Kuasa dan Kuat.

Al-Mawardi melalui kitabnya, An-Nukat wa al-Uyun berkata, ``Terdapat

tiga tafsiran mengenai sekutu dalam ayat ini:

i. Sekutu-sekutu yang setaraf. Inilah pendapat Ibn Mas`ud.

ii. Sekutu-sekutu yang hampir sama. Inilah pendapat Ibn Abbas.

iii. Sekutu-sekutu yang bertentangan atau berlawanan. Inilah pendapat al-Mufaddal bin Muhammad bin Ya'la bin Amir bin Salim al Dhabbi.''

Ibn Kathir menaqalkan hadis sahih yang diriwayatkan daripada Ibn Mas`ud. Katanya, ``Aku bertanya, ya Rasulullah, apakah dosa yang paling besar?'' Lantas baginda menjawabnya, ``Kamu jadikan bagi Allah sekutu, sedangkan Dia sahaja yang mencipta kamu.''

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Muaz ketika Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya, Adakah kamu tahu apakah hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya? Jawabnya, ``Tidak.'' Sabda Rasulullah s.a.w., Hendaklah mereka beribadat kepada-Nya sahaja serta jangan menyekutui-Nya dengan sesuatupun.

Ibn Kathir berkata ayat ini menjadi dalil di atas tauhid-Nya Allah dengan hanya beribadat kepada-Nya tanpa disekutukan dengan yang lain.

Syeikh Ahmad Shakir pula berkata, ``Ramai di kalangan ahli tafsir seperti Imam ar-Razi, menjadikan ayat ini sebagai dalil wujudnya Pencipta iaitu Allah s.w.t.''

`Padahal kamu mengetahui'. Ibn Jauzi menyebut banyak tafsiran dan pandangan ulama tentang maksud ayat ini. Di antaranya:

i. Ia bermaksud bahawa Dia menciptakan langit, menurunkan hujan dan segala perbuatan yang disebutkan di dalam ayat ini.

Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah dan Muqatil.

ii. Ia bermaksud bahawa tiada yang demikian itu di dalam kitabmu, iaitu Taurat dan Injil. Ini juga pendapat Ibn Abbas.

iii. Ia bermaksud bahawa tiada sekutu bagiNya. Inilah pendapat Mujahid.

iv. Ia bermaksud ilmu, yakni dengan makna akal. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.

v. Ia bermaksud bahawa berhala-berhala itu merupakan batu-bata sahaja. Inilah pendapat yang Ibn Jauzi dengar daripada gurunya, Syeikh Abu Muhammad bin Al-Khassab.

vi. Ia bermaksud bahawa sekutu-sekutu selain Allah, tidak mampu melakukan apa pun jua. Inilah pendapat Syeikh Ali bin Ubaidullah.


source: Utusan Malaysia

0 Comments:

Post a Comment

<< Home