Thursday, March 03, 2005

Bolehkah agama diharmonisasikan?

Oleh UMAR ZIYAD

Suruhanjaya Antara Agama (IRC) serta rang undang-undang mengenainya akan
dilancarkan pada 24 dan 25 Februari ini. Seperti dijelaskan dalam beberapa
artikel terdahulu, IRC (nama asalnya Majlis Antara Agama) adalah hasil
perancangan antara majlis perundingan agama-agama bukan Islam (MCCBCHS)
dengan Majlis Peguam. (Sila rujuk dua artikel di bawah: "IRC bakal
musnahkan keharmonian berbilang agama" dan "Majlis Peguam juarai hak untuk
murtad")

Penganjur kini berusaha keras bagi mendapat "restu" pemimpin utama kerajaan
untuk melancarkan IRC, termasuk daripada Perdana Menteri sendiri, selepas
menyedari tentangan berterusan daripada umat Islam negara ini. Atau
setidak-tidaknya tiada kata celaan terhadap inisiatif mereka itu.


Menghina Islam


Meneliti tentatif program, pembentang kertas kerja merupakan orang yang
banyak menimbulkan kontroversi mengenai Islam, malah pernah secara tidak
beradab mempertikai isu-isu asas dalam Islam, misalnya Malek Imtiaz, Haris
Fathillah (selalu memberi ucapan tentang murtad dalam perjumpaan Majlis
Peguam), Leonard Teoh (peguambela yang mewakili Aishah Bukhari dalam isu
murtad), dan seorang wakil Sisters in Islam.


Antara fungsi utama IRC nanti ialah mengadakan satu mekanisme untuk
menyelesaikan masalah antara agama, misalnya hak orang Islam untuk murtad,
dan ini tentulah tidak dapat dibiarkan begitu saja oleh orang Islam.


Presiden MCCBCHS, V Harcharan Singh, secara terus terang dalam wawancara
The Sun weekend, 29 Januari lalu, menimbulkan hal-hal sensitif ini,
termasuk keperluan orang Islam diberi hak murtad. Kenyataan itu sebenarnya
adalah lanjutan daripada memorendum "anti-Islam" majlis berkenaan kepada
Majlis Peguam, yang kemudiannya mencetuskan idea penubuhan IRC.


Harcharan juga mengkritik pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI) atas tindakan menahan orang-orang Islam yang melakukan
kerja-kerja bertentangan dengan agama, di sebuah kelab malam baru-baru
ini. Beliau mempersoal kuasa JAWI untuk berbuat demikian, bukan lagi
sekadar mengkritik kaedah penahanan dilakukan. Baginya, isu-isu berkaitan
moral harus dibiarkan kepada keluarga dan individu sahaja.


Dibimbangi sikap campur tangan dalam hal-hal yang tidak ada kena mengena
dengan hak mereka untuk menganuti agama masing-masing itu semakin menjolok
mata. Selain boleh mengancam keharmonian agama di negara ini, ia dianggap
tindakan "biadab" dan mesti dihentikan.


IRC yang dicadang itu -- seperti dimaklum penganjurnya, Malek Imtiaz
Sarwar -- bukanlah satu badan yang prihatin dalam hal ehwal mempraktikkan
agama, tetapi mementingkan hak asasi manusia tentang agama, seperti hak
keluar dari agama, hak mempersoal mana-mana agama, tidak kira sama ada
mereka penganut agama berkenaan atau tidak.


Peranan Konrad Adenauer Foundation


Satu lagi perkembangan kurang sihat dalam hal berkaitan adalah campur
tangan Peter Schier, Pengarah Konrad Adenauer Foundation (KAF) Malaysia,
dengan memberi bantuan kewangan, bagi mempromosikan aktiviti seumpama itu.


Awal-awal lagi satu kumpulan Muslim menjelaskan sikap penentangan mereka
kepadanya, terutama campurtangannya sebagai orang asing dalam masalah
agama di Malaysia. Ketika itu beliau beranggapan penubuhan IRC adalah
tidak sesuai, bukan disebabkan ia bersifat anti-Islam, tetapi kerana
masalah rumit dalam perlantikan wakil-wakil untuk setiap agama. Kini jelas
beliau tidak bercakap benar!


Peter Schier terbabit dalam beberapa aktiviti yang memberi gambaran buruk
kepada Islam. Beliau pernah menganjurkan persidangan Etika Global, yang
merupakan satu konsep sekular, bertujuan menggantikan agama sebagai sumber
ajaran moral dan etika. Beliau mengambil ajaran-ajaran bersamaan dari
semua agama, yang digabungkan semuanya menjadi sumber utama etika dan
moral, manakala agama kemudiannya diketepikan.


Dalam kegiatan yang sama beliau juga menayangkan satu dokumentari mengenai
Etika Global. Di dalamnya ada beberapa aspek yang memberi gambaran buruk
kepada Islam. Ini ditentang beberapa tokoh Islam terkemuka seperti Prof
Kamal Hassan dan pemimpin ABIM. Beliau turut menjadi editor bersama buku
bertajuk "Is Malaysia An Islamic State?" yang mana beberapa isu-isu
bertentangan dengan kedudukan Islam di Malaysia telah diheboh-hebohkan.


Peter Schier dikatakan pakar dalam campurtangan masalah politik di negeri
beliau bertugas. Pada tahun 90-an, semasa beliau di Kemboja sebagai wakil
KAF, beliau telah diserang oleh beberapa pihak di sana kerana
campurtangannya dalam hal ehwal politik negara itu. Sekarang nampaknya
beliau melakukan kerja yang sama di Malaysia.


Tepat sekali digambarkan beliau sebagai "cultural saboteuer" (pakar
sabotaj budaya). Kerajaan digesa supaya meninjau gerak-gerinya yang
sentiasa memasukkan pendirian "anti-Islam" melalui kegiatan KAF di negara
ini sebelum tercetus tragedi tidak diingini.


II


IRC bakal musnahkan keharmonian berbilang agama


Walaupun usaha menubuhkan Majlis Antara Agama (IRC) ditentang hebat
masyarakat Islam namun satu persidangan bertaraf nasional akan diadakan
Februari depan. Penganjur giat melobi untuk mendapat sokongan kerajaan.


Kerajaan diharap tidak terperangkap kerana ia boleh memusnahkan
keharmonian kehidupan antara penganut berlainan agama di Malaysia. Ini
kerana ia sengaja mempersoalkan beberapa prinsip asas Islam.


Idea asal IRC tercetus dari memorandum dan desakan Majlis Perundingan
Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (Malaysian Consultative Council of
Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism - MCCBCHS) yang diserahkan
kepada Majlis Peguam. Kini ia dijuarai Majlis Peguam sendiri.


Agama dalam kad pengenalan


Keseluruhan memorandum MCCBCHS bertarikh 21 Ogos 2001 itu berbau
anti-Islam. Antara aduan dan tuntutan mereka ialah:


Orang Islam hendaklah diberi hak untuk murtad. Supaya dapat berbuat
demikian, mahkamah sivil dan bukanlah badan berkuasa syariah, yang berhak
menuntut kebebasan untuk murtad -- sebagai satu aspek kebebasan agama yang
diperuntukkan oleh Perlembagaan -- bagi orang Islam. Definisi Muslim dalam
undang-undang negeri adalah amat luas dan tidak mematuhi Perlembagaan.


Usaha yang dibuat oleh badan-badan berkuasa syariah adalah melampau dan
boleh dipertikai. Kad pengenalan orang Islam sepatutnya tidak mencatatkan
agama mereka.


MCCBCHS dan juga beberapa orang dalam Majlis Peguam, serta jawatankuasa
kecil hak asasi manusia di bawahnya, tidak peduli dan sensitif dengan
hakikat bahawa:


Bukan Islam tidak berhak membangkitkan isu-isu yang hanya menyentuh orang
Islam sahaja dan juga ajaran Islam.


Mereka sebagai bukan Islam tidak berhak menimbulkan hak kebebasan beragama
orang Islam. Bagi mereka, Perkara 11 yang memberi hak kebebasan agama,
juga memberi hak kepada orang Islam untuk keluar agama, seolah-olah
Perlembagaan mengatasi ajaran Islam. Tetapi bagi Muslim, hak kebebasan
agama hendaklah ditafsir menurut ajaran Islam dan bukan melanggarnya.


Sebagai pemimpin agama bukan Islam, hak mereka adalah mengenai agama
mereka sahaja. Mereka tidak boleh campurtangan atau mendesak ajaran
agama-agama lain diubah untuk kepentingan mereka. Kalau sempadan ini
dicerobohi, maka penganut mana-mana agama boleh menyentuh ajaran agama
lain, dan ini boleh menimbulkan rasa marah.


Suhakam sudah mencukupi


IRC tidak diperlukan kerana Suhakam sudah mencukupi. Bukan Islam yang
merasakan hak mereka mempraktikkan agama disekat boleh membuat aduan ke
sana.


Golongan ini juga menggunakan 'khilaf' atau beberapa perbezaan tafsiran
dalam ajaran Islam untuk menimbulkan keraguan tentang isu murtad.
Sedangkan tujuan mereka hanya untuk menguntungkan bukan Islam tertentu,
dan memberi hak kepada orang Islam untuk murtad.


Sedangkan, bukan dalam Islam saja yang ada 'khilaf', agama-agama lain pun
sama, misalnya perbezaan dalam Kristian. Dan mereka sendiri tidak dapat
mendirikan satu badan untuk mengharmonikan semua perbezaan itu.


Ada cadangan supaya IRC boleh bertindak seperti mahkamah, iaitu memutuskan
masalah yang timbul antara orang Islam dan bukan Islam dan juga antara
sesama Islam, sehingga menguatkuasakan hukumannya. Ertinya, badan yang
dianggotai orang Islam dan bukan Islam ini boleh memutuskan bahawa orang
Islam mempunyai hak untuk murtad.


Penaja IRC telah dicabar supaya menjelaskan, apakah ada satu badan di
dunia ini, yang berkuasa seperti apa yang dicadang mereka, iaitu atas
aduan orang yang bukan penganut sesuatu agama terhadap agama lain, maka
ajaran agama lain itu boleh diubah?


Ini satu usaha berbahaya kepada orang Islam kerana ia begitu ketara
menentang ajaran Islam. Beberapa pihak menentang hebat, antaranya
peguam-peguam Islam yang menganggotai jawatankuasa kecil syariah dalam
Persatuan Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Muslim dan juga ACCIN (Allied
Coordinating Committee of Islamic NGOs).


ACCIN terdiri dari 14 badan Islam, iaitu Al-Hidayah, Belia Perkim, Gepima,
Islamic Information and Services, Islamic Outreach Abim, Jim, Macma,
Al-Hunafa, Darul Fitrah, PUM, Ricoi, Saba Islamic Media dan Wamy.


Berselindung atas nama kemanusiaan


Memo itu juga berselindung atas nama kemanusiaan. Hujah mereka, ramai yang
menganut Islam secara terpaksa -- kerana mahu berkahwin -- apabila gagal
dalam perkahwinan menghadapi masalah besar untuk kembali kepada agama
asal, dan terpaksa menanggung kesusahan.


Namun, jika alasan ini diterima maka kemudiannya, alasan-alasan lain juga
akan didesak untuk diterima. Golongan tertentu dalam Kristian dikatakan
giat berusaha menubuhkan IRC sambil memperkudakan agama-agama lain yang
sendiri terkilan kerana penganut mereka dipengaruhi Kristian.


Tiada kompromi terhadap sebarang usaha untuk mempersoalkan prinsip asas
Islam, yang tidak terpakai kepada bukan Islam, dan menyentuh orang Islam
sahaja, tidak kira sama ada saudara baru atau dilahirkan sebagai Muslim.
Mereka berhak memperdebatkan ajaran agama mereka sahaja dan tidak
mempersoalkan ajaran agama-agama lain, apatah lagi jika ia ditimbulkan
demi kepentingan mereka.


Cuba bayangkan senario ini nanti: Jika orang Islam pun mencabar ajaran
Kristian, misalnya patung yang digantung atas salib adalah Jesus Christ,
iaitu Nabi Isa kepada orang Islam. Islam menafikan Nabi Isa mati disalib.
Oleh itu, adakah orang Islam boleh mendesak agar patung itu dikeluarkan,
salib saja boleh pakai?


Begitu juga berkaitan Sikh, yang dalam kitab mereka merujuk Tuhan sebagai
Allah. Apa akan jadi apabila umat Islam menggesa supaya istilah Allah itu
digantikan dengan nama tuhan yang lain?


III


Majlis Peguam juarai hak untuk murtad?


Beberapa anggota Majlis Peguam, yang diketuai Khutubul Zaman Bukhari dan
jawatankuasa kecil hak asasi manusia yang didokong Malik Imtiaz Ghulam
Sarwar adalah tonggak kepada IRC (Majlis Antara Agama), satu badan yang
memperjuangkan hak orang Islam untuk keluar agama.


Anti-Islam


Sebenarnya IRC adalah badan yang didokong kepentingan bukan Islam, yang
bertujuan menentang Islam dalam beberapa aspek, seperti dijelaskan dalam
idea asalnya, melalui surat Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian,
Hindu dan Sikh (MCCBCHS), bertarikh 1 Ogos 2001, kepada Majlis Peguam:


Orang Islam hendaklah diberi hak murtad. Supaya dapat berbuat demikian,
mahkamah sivil -- dan bukan badan berkuasa syariah -- yang berhak menuntut
kebebasan untuk murtad. Definisi Muslim dalam undang-undang negeri adalah
amat luas dan tidak mematuhi Perlembagaan. Kad pengenalan orang Islam
sepatutnya tidak mencatatkan agama mereka. IRC berkuasa mahkamah


Ada cadangan supaya IRC boleh bertindak seperti mahkamah, iaitu memutuskan
masalah yang timbul antara orang Islam dan bukan Islam dan juga antara
sesama Islam, sehingga menguatkuasakan hukumannya. Ertinya, badan yang
dianggotai orang Islam dan bukan Islam ini boleh memutuskan bahawa orang
Islam mempunyai hak untuk murtad.


Penaja IRC dicabar supaya menjelaskan, apakah ada satu badan di dunia ini,
yang berkuasa seperti apa yang dicadang mereka, iaitu atas aduan orang
yang bukan penganut sesuatu agama terhadap agama lain, maka ajaran agama
lain itu boleh diubah?


Jawatankuasa kecil Syariah


Jawatankuasa tersebut di bawah Majlis Peguam berulangkali melalui beberapa
surat memberitahu Majlis Peguam dan juga jawatankuasa kecil hak asasi
manusia:


IRC yang dicadangkan itu bersifat anti-Islam. Oleh itu, mereka
menentangnya.. Tidak mahu terbabit dengan IRC.


Memandangkan Persatuan Peguam adalah badan yang dianggotai peguam Islam
dan bukan Islam -- seperti dikehendaki undang-undang untuk menjadi peguam
bela dan peguamcara ? maka ia tidak sesuai menjuarai mana-mana pihak yang
bertentangan dengan pihak lain, sebab kedua-duanya menganggotai Persatuan
Peguam. Apa pun, Majlis Peguam tidak mempedulikan pendirian peguam-peguam
Muslim dan terus bersikap "membujur lalu melintang patah": AJK Syariah
yang menentang IRC tidak dilantik semula dan digantikan dengan Sham Haris
Fadhilah yang lantang menjuarai hak orang Islam untuk murtad. Kedua, semua
AJK Syariah diserap dalam IRC tanpa persetujuan mereka.


Pengaruh MCCBCHS dalam Majlis Peguam amat bertentangan dengan Seksyen 46A
Akta Profesion Peguam yang melarang peguam-peguam yang memegang jawatan
dalam badan lain menganggotai Majlis Peguam. Tujuan peruntukan ini supaya
peguam boleh bertindak bebas dan tidak dikongkong badan-badan lain.


Namun Majlis Peguam tidak menghiraukannya apabila membenarkan MCCBCHS
mempengaruhinya, sekali gus mengetepikan kepentingan dan sensitiviti
anggota Islam Persatuan Peguam.


Aktiviti Promosi IRC


Selepas mendapat memorandum MCCBCHS, Majlis Peguam pada 8 Disember 2001
mengadakan festival hak asasi yang bertemakan Hak Kebebasan Agama. Majlis
juga menerbitkan satu keluaran khas INSAF (buletin Majlis Peguam) tentang
hak kebebasan agama menurut perspektif semua agama.


Anehnya, agama lain digambarkan tiada khilaf tentang kebebasan agama
dengan menerbitkan satu artikel saja untuk agama-agama itu, tapi bagi
Islam pula ada tiga artikel khusus supaya menunjukkan khilaf; dua oleh
Sisters In Islam dan satu oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dari PUM.
Jawatankuasa kecil Syariah menulis beberapa surat kepada Majlis Peguam,
menegaskan penentangan mereka kepada IRC.


Ketiga, pada 17 Mei 2003, dianjurkan bengkel hak kebebasan agama. Beberapa
NGO Islam seperti ABIM, ACCIN dan juga JUST serta Sisters in Islam menarik
diri dari bengkel ini.


Keempat, dalam konferens undang-undang Persatuan Peguam, isu hak murtad
ditimbulkan beberapa kali sehingga ada beberapa hakim mengeluarkan
kata-kata yang bertentangan dengan ajaran Islam mengenai murtad.


Akhir Februari ini, mereka merancang satu persidangan kebangsaan bagi
mendirikan IRC. Deraf undang-undang penubuhannya telah siap. Badan-badan
Islam dinasihati supaya tidak mendekati secara apa pun persidangan ini.


Tipu helah


Majlis Peguam seolah-olah dalam keadaan terdesak bagi mendapatkan
penglibatan orang Islam dalam mendirikan IRC. Justeru, mereka terpaksa
melakukan apa saja untuk menunjukkan IRC mendapat sokongan orang Islam.


Antaranya, nama-nama individu Islam yang telah begitu lama menarik diri
dan tidak menghadiri mesyuarat untuk mendirikan IRC, masih dikekalkan
dalam minit perjumpaan itu seolah-olah mereka mengambil bahagian aktif.
Manakala AJK Syariah dimasukkan ke dalam IRC tanpa persetujuan mereka.


Dalam jawatankuasa penubuhan IRC, agama-agama lain diwakili seorang saja,
tetapi untuk Islam diwakili pelbagai pihak yang bertentangan, yakni ACCIN
(pendapat arus perdana Islam), kumpulan Kassim Ahmad(diwakili Sham Haris
Fadhillah), Sisters in Islam dan Dr Chandra Muzaffar (yang berpendapat
orang Islam harus diberi hak murtad).


Tujuannya bagi menunjukkan dalam Islam ada pelbagai pendapat tentang
murtad, selain melaga-lagakan pihak yang bertentangan itu. Walhal
agama-agama lain juga mempunyai pertentangan yang ketara, tetapi dengan
diwakili seorang saja seolah-olah agama-agama bukan Islam itu sepakat. Ini
jelas satu pembohongan selain menimbulkan fitnah kepada Islam.

****************************************************************************

Isu perbincangan usrah minggu lepas. Agak menarik bila mendengar penjelasan dari Kak Naqibah yang merangkap student AIKOL. Besar kemungkinan council ini akan menjadi penyokong kuat untuk orang-orang Islam yang ingin murtad. Sementelah kes-kes permohonan untuk keluar dari agama Islam masih tinggi. Dan kebanyakan Muslim yang memohon untuk menukar agama memilih Kristian dan Hindu sebagai pilihan.

Secara peribadinya ana kurang setuju dengan penubuhan council ni. Kalau setakat untuk saling memahami anatara agama yang ada di Malaysia, Inter-Faith dialogue pun dah ok. Ini siap tubuhkan council lagi, ish...cam ada something plak. Bak kata Prof. Diraja Dr. Ungku Aziz masa diawal perancangan penubuhan council ini, "penubuhan IRC ni ibarat kita campurka budu dengan sos". Sedap ke budu campur sos? Ana tak penah makan, Wallahu ta'ala 'Alam.

Sebenarnya banyak lagi nak tulis, tapi masa tak mengizinkan. Insya'Allah nanti kalau berkesempatan ana tulis lebih sket.

Seperti biasa...nak letak jugak tafsir surah Al-Baqarah yang ditulis di ruangan bicara agama Utusan Malaysia.

**********************************************************************************

`Wahai manusia' - Peringatan kepada hamba-Nya
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SETELAH menerangkan tiga golongan manusia yang beriman, kafir dan munafik, Allah juga menyebut perbezaan antara kebahagiaan dan kecelakaan atau iman dan nifak.

Kemudian Dia mengumpamakan dan menerangkan jalan-jalan kesesatan. Seterusnya mengikut ayat ini, Allah menyebut segala dalil dan bukti tentang keesaan Tuhan Rabbul Alamin.

Dia memperkenalkan kepada manusia segala nikmat-Nya agar mereka bersyukur ke atas-Nya, kemudian mendahulukan mereka dengan ucapan `wahai manusia' yang merupakan ucapan yang ditujukan kepada semua lapisan manusia.

Dikurniakan ke atas mereka dengan penciptaan dan rezeki, di samping menzahirkan mukjizat al-Quran dengan sefasih-fasih dan sejelas-jelasnya untuk mencabut daripada hati-hati mereka akar umbi syak wasangka dan keraguan. Benarlah firman Allah :

WAHAI MANUSIA, SEMBAHLAH TUHANMU YANG TELAH MENCIPTAKANMU DAN ORANG-ORANG YANG SEBELUMMU, AGAR KAMU BERTAKWA. (Al-Baqarah ayat 21)

Allah s.w.t. memulakan ayat ini dengan cara memberi peringatan kepada hamba-hamba-Nya dengan segala dalil kekuasaan kudrat-Nya dan keesaan wahdaniyah-Nya.

As-Samarqandi berkata di dalam tafsirnya, Bahru al-Ulum, ketahuilah bahawa seruan di dalam al-Quran mempunyai enam martabat iaitu :

i. Seruan pujian, iaitu seperti firman Allah, wahai nabi, wahai rasul dan wahai orang-orang beriman.

ii. Seruan celaan, iaitu seperti firman Allah, wahai orang-orang kafir.

iii. Seruan peringatan, iaitu seperti firman Allah, wahai manusia.

iv. Seruan sandaran, iaitu seperti firman Allah, wahai hamba-hamba-Ku.

v. Seruan nisbah, iaitu seperti firman Allah, wahai Bani Adam dan wahai Bani Israel.

vi. Seruan nama, iaitu seperti firman Allah, wahai Daud, wahai Ibrahim dan wahai Yahya.

Sedangkan di sini, dinyatakan seruan peringatan yang bermaksud menghendaki suruhan itu mesti dilaksanakan atau larangan itu mesti ditinggal-kan.

Al-Imam al-Baidhawi berkata, ``Apabila Allah menghitung semua golongan mukalaf, Allah menghadapkan kepada mereka ucapan yang akan menggerunkan mereka dan yang menyegarkan mereka, di samping prihatin terhadap urusan ibadat serta membesarkan hal tersebut.''

Seruan

Oleh kerana itu, terlalu banyak di dalam al-Quran panggilan dengan `wahai manusia' untuk menunjukkan kebebasan yang termasuk di dalam cara ta'kid (penguat), dan semua panggilan Allah s.w.t. kepada hamba-Nya yang menggunakan uslub ini adalah dalam perkara dan urusan besar yang meliputi hak Allah.

Mereka perlu mengambil perhatian dengan sesungguhnya, memahami dan menerima dengan sepenuh hati tetapi malangnya ramai di kalangan manusia yang lalai.

Sedangkan pada hakikatnya, mereka dipanggil dan diseru dengan bahasa dan uslub yang paling kuat.

Justeru itu Allah menyebut, `wahai manusia, sembahlah Tuhanmu', iaitu wahai semua anak Adam, ingatlah nikmat-nikmat Allah yang melimpah-ruah ke atas kamu dan sembahlah Allah, Tuhan kamu sebenar yang mencipta kamu dan membesarkan kamu, yang sebelumnya kamu tiada. Sembahlah Dia dengan mentauhid, mensyukuri dan mentaati-Nya.

Ibn Jarir at-Tabari menaqalkan pendapat Ibn Abbas, sembahlah Tuhanmu dengan maksud mengesakan Tuhanmu, iaitu dengan hanya beribadat, taat hanya kepada-Nya, bukan pada yang lain.

Al-Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya berkata, `` Nabi s.a.w. memulakan dakwahnya dengan seruan ibadat kepada Allah yang Esa, dan inilah amalan semua nabi sebagaimana yang telah ditegaskan Allah di dalam al-Quran.''

Ucapan ini merupakan seruan dakwah pertama Rasulullah s.a.w. kepada orang-orang Arab dan orang-orang Yahudi di Madinah serta mereka yang berada di sekelilingnya, yang beribadat kepada selain-Nya, sama ada berbentuk doa yang disekutukan dengan Allah atau selain daripada Allah.

Ibn Jauzi menyebut beberapa pendapat ulama tentang seruan yang ditujukan di dalam ayat ini :

i. Ia adalah umum kepada seluruh manusia. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Ia ditujukan kepada Yahudi sahaja bukan yang lain. Inilah pendapat al-Hasan dan Mujahid.

iii. Ia ditujukan kepada orang-orang kafir musyrikin Arab dan lainnya. Inilah pendapat as-Suddi.

iv. Ia ditujukan kepada golongan munafiqin dan Yahudi. Inilah pendapat Muqatil.

`Manusia' merupakan nama bagi anak Adam. Sebahagian ulama berpendapat, ia dinamakan demikian kerana pergerakan mereka dalam mencapai kehendak mereka.

Manakala sebahagian yang lainnya pula berpendapat, dinamakan nas (manusia) kerana sifat fitrahnya, iaitu pelupa.

Seterusnya Allah berfirman, `yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu' bermaksud Allah yang menciptakan kamu dengan kudrat-Nya daripada tiada dan menciptakan kaum sebelum kamu iaitu umat-umat terdahulu.

`Agar kamu bertakwa' bermaksud supaya manusia termasuk dalam golongan orang-orang yang bertakwa, berjaya dengan hidayah serta berada di dalam kemenangan.

Ini kerana ibadat merupakan jalan-jalan yang boleh menyediakan manusia ke arah ketakwaan serta diharap mendapat kedudukan yang sempurna.

Begitupun, terdapat juga beberapa tafsiran lain berhubung dengan ayat `agar kamu bertakwa'. Di antaranya ialah :

i. Agar manusia beribadat kepada Allah dengan harapan mendapat takwa dan dapat menyelamatkan diri daripada azab Tuhan. Ini pendapat Sibawaih.

ii. Agar manusia terpelihara dan selamat daripada syirik. Ini pendapat Ibn Abbas.

iii. Agar manusia selamat daripada api neraka. Ini pendapat ad-Dhahhak.

iv. Agar manusia sentiasa taat. Ini pendapat Mujahid.

v. Agar manusia beribadat kepada Allah sahaja supaya selamat daripada kemurkaan dan azab-Nya kerana mengerjakan hal-hal yang boleh menghalang azab tersebut. Ini pendapat Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di di dalam kitab tafsirnya.

vi. Agar manusia sesuai dengan gambaran yang dipilih, iaitu hamba Allah yang bertakwa, menunaikan hak rububiyah Tuhan sebagai pencipta dan hanya beribadat kepada-Nya. Ini pendapat Syed Qutub di dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran.

1 Comments:

At 7:52 PM, Anonymous camobel.es said...

Hey, there's a lot of helpful information here!

 

Post a Comment

<< Home