Tuesday, December 28, 2004

45 maut tsunami: Ombak besar landa pantai Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Selangor

PULAU PINANG: Sekurang-kurangnya 45 orang terkorban setakat ini, manakala beratus-ratus rumah dan kenderaan musnah apabila ombak besar atau tsunami akibat gempa bumi kuat di perairan Sumatera, melanda pantai Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak dan Selangor semalam.



Ombak besar turut melanda Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka, Maldives, Myanmar dan Bangladesh meragut kira-kira 8,700 nyawa, dengan Sri Lanka mencatat kematian tertinggi.

Tsunami mencapai ketinggian enam meter itu menyusuli gempa bumi 8.9 skala Richter itu, paling kuat dalam tempoh 40 tahun. Ia berpusat di Latitud 3.1 Utara dan Longitud 95.5 Timur, 590 kilometer dari sini dan 680 kilometer dari Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang berada di luar negara, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan bantuan segera diberikan.

Kebanyakan mangsa di Malaysia ialah mereka yang sedang berkelah dan memancing di tepi pantai Batu Ferringhi dan Balik Pulau di sini, ketika ombak melanda secara mengejut dalam keadaan cuaca baik kira-kira jam 1.30 tengah hari.




Seramai 32 orang mati di negeri ini, kebanyakannya lemas akibat ombak besar yang melanda beberapa kawasan tepi pantai.

Paling trajis ialah kejadian di Batu Ferringhi di mana lima sekeluarga yang sedang berkelah - Nizari Mahmud (ibu), 39; dan empat anaknya Nurul Hasimah Md Hassan, 18; Nurul Naimah Md Hassan, 14; Nurul Nazirah, 13; dan Mohd Firdaus, 4, lemas dibawa ombak.

Ombak kuat dikatakan menarik mangsa ke laut menyebabkan ramai, ketika beratus-ratus penduduk tempatan dan pelancong, sama ada berkelah, bersiar-siar atau mandi manda pada cuti hujung minggu sehari selepas perayaan Hari Natal.

Bilik gerakan sementara turut dibuka di pantai Miami, Batu Ferringhi ketika gerakan mencari dilakukan. Berpuluh-puluh orang dikhuatiri masih hilang sewaktu ombak besar setinggi lebih enam meter merempuh semua kawasan tepi pantai berkenaan pada kira-kira jam 1 hingga 2 petang.

Di KEDAH, sepuluh orang termasuk kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan, mati manakala ramai lagi dikhuatiri lemas atau hilang apabila ombak besar melanda perkampungan di pesisir pantai Kedah, termasuk pulau peranginan Langkawi.

Sembilan daripada mangsa itu, iaitu lapan wanita dan seorang lelaki, ditemui di Kota Kuala Muda manakala seorang lagi wanita di Langkawi. Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerak Am (PGA), polis termasuk Unit Anjing Pengesan serta pasukan Rela masih mencari kemungkinan ada lagi mangsa yang belum ditemui.

Siri ombak besar itu yang dipercayai mencapai setinggi enam meter atau bangunan tiga tingkat, dilaporkan melanda Langkawi kira-kira jam 11 pagi sebelum melanda perkampungan nelayan di Kota Kuala Muda kira-kira jam 1 tengah hari.

Di Kota Kuala Muda, kira-kira 1,000 rumah membabitkan 5,000 penduduk di 10 kampung nelayan di pesisir pantai musnah akibat dipukul ombak besar.

Tinjauan mendapati sebahagian besar kampung itu menjadi padang jarak padang terkukur serta dipenuhi lumpur apabila kira-kira 500 daripada 1,000 rumah di kampung terbabit ranap manakala sebahagian lagi rosak termasuk hilang dinding dan tercabut bumbung.

Ombak besar dikatakan melanda kampung berkenaan tiga kali dalam tempoh setengah jam antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari menyebabkan kebanyakan mangsa terperangkap dalam rumah yang ranap.

Di PERAK, dua terbunuh manakala seorang lagi masih hilang apabila sampan yang mereka naiki dihempas ombak besar di Parit Buntar dan Bagan Datoh.

Di SELANGOR, seorang lelaki yang memancing bersama tiga rakannya di tepi Pantai Sungai Burung dekat Sabak Bernam dikhuatiri menjadi mangsa pukulan ombak tsunami di pantai itu semalam.

Arbain Mat Piah, 40, tercampak ke dalam laut bersama rakan-rakannya. Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Zainal Abidin Kassim, mangsa hilang di dalam air sementara tiga rakannya sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing, kira-kira 3 petang semalam.

Di PERLIS, berpuluh-puluh bot dan sampan nelayan di Kuala Sungai Baru tenggelam dan rosak teruk, kebanyakannya pecah berlanggar sesama sendiri akibat dilanda dua kali ombak besar tengah hari dan petang semalam.

Ombak besar turut meranapkan beberapa jeti pendaratan ikan dan gerai menjual hasil laut di tepi kuala sungai itu. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana nelayan atas bot ketika kejadian sempat menyelamatkan diri ke daratan.

*******************************************************************

Pagi semalam 'qubaila' outing dengan Fatin ummi tepon dari rumah, dia tanya ana,"rasa tak gegaran ala-ala gempa bumi?" Ana jawabm,"takdela pulak tadik baru je ana jemur kain kat luar, mesti la lagi senang terasa sebab ampaian tu kat kawasan lapang.Agaknya ummi ni perasan je kot. Kalau tak pun, ada orang amik tanah lagik kat kuari depan rumah kita"

"Tapi, ummi memang betul-betul rasa...sume benda dalam umah bergoyang-goyang. Kak Ayu pun rasa cam ummi rasa. Ummi rasa pening sampai nak naik pitam. Nasib baik Ipah ada. Dia yan tolong sapukan minyak kat kepala ummi. Tadi ni ummi ingatkan dah nak kiamat, sebab dalam kitab-kitab lama ada mengatakan yang kiamat akan berlaku disaat ita leka dengan urusan keduniaan", sambung ummi lagik.

"Hish ummi ni, wal'iazubillah. Minta dijauhkanlah dr kelalaian dengan urusan dunia di saat kiamat menjelang",kata ana lagik.

"Ummi takut betui tadik sampai ak putus-putus mengucap dahla kebelakangan ni ummi asyik sakit-sakit je". "Takde pape la, insyaAllah sumenya selamat",jawab ana.

hmm..seram jugak dengar kata-kata ummi. Kiamat itu berlaku disaat kita dalam keaadaan biasa, sibuk dengan hal-hal keduniaan. Na'uzubillahi min zalik kita temasuk dalam golongan tersebut. Biarla kita jadik golongan yang sentiasa menunaikan solat walaupun pada ketika itu tak de perbezaan antara malam dan siang.

Malamnya...ummi call lagik. Dia cakap pasal ombak besar tsunami. Ana tanya, "Tsunami tu apa?" "Camner Malaysia leh terasa sekali?" " Bukan ke negara kita bebas dari ancaman gempa bumi?" Ummi jawab,"Mana la ummi nak tau, ummi bukannya geologist"

hehe...pening gak ummi layan soalan aku. Biasanya tu le jawapannya. Kalau tak pun dia bagi nama kita soh ana explore sendiri. Kalau tak pun surfing internet. Ummi cakap kalao dia jawab nanti lagi banyak soalan ana. Kalo ayah ana maunya naik angin baran dia sebab ana ni memang banyak tanya. Dah la tu kadang-kadang buat-buat pekak...hehhe...betul tak orang disana??!

Walau apapun bencana tsunami betul-betul mengejutan kita. Hari tu masa banjir besar kat Pantai Timur takla terasa sangat sebab banjir memang sokmo berlaku kat sana. Ni dahla berlaku kat Pantai Barat, umah ana pun terlibat sama. Nasib tok ngan tok wan kat Langkawi dah takde. Kalo tak camne ye??!

Sesungguhnya, malapetaka yang Allah turunkan mengingatkan kita yang Dialah Yang Maha Berkuasa di muka bumi ini. Dan apa sahaja yang berlaku pasti ada hikmahnya...

1 Comments:

At 4:23 PM, Anonymous Anonymous said...

Nurul Naimah Md Hassan although its have been 6 years, i still keep my promise.

 

Post a Comment

<< Home