Friday, November 05, 2004

Golongan Perawi Hadith Wanita @ Muhaddithaat

Ketika membelek senarai manuskrip untuk mencari sebuah manuskrip yang boleh ditahqiq, saya menemui satu nama yang menarik perhatian. Nama itu ialah Sittul Katabah, pemilik sebuah koleksi riwayat hadis. Yang menarik berkenaan nama tersebut dua perkara:

1. Permulaan namanya dengan kalimah sittu (sin dan ta'). Saya tertanya-tanya apakah ia merupakan nama siti yang masyhur di tanah melayu? Setelah bertanya dan mencari maklumat saya mendapat tahu yang kalimah sittu merupakan ringkasan kalimah sayyidah dan digunakan dalam Bahasa Arab pasar. Saya juga telah menemui sittu-sittu yang lain dari kalangan perawi hadis ketika mencari hakikat kalimah tersebut. Sittu itu juga yang dikenali di tanah melayu dengan nama siti.

2. Yang keduanya adalah kepelikan diri saya (kerana ilmu yang kurang) apabila mengetahui wujudnya kitab hadis riwayat seorang wanita. Selama beberapa tahun berteman dengan kitab-kitab sohih, musnad, mu'jam dan ajza' hadis yang lain, belum masyhur dan tidak pernah saya mentakhrij hadis dari kitab seorang wanita.

Perkara ini menarik perhatian saya untuk membaca lebih luas tentang pengajian kaum wanita di zaman salaf. Setelah bertanya beberapa orang guru dan menemui sebuah buku kecil karangan Syeikh Masyhur Hasan, saya merasa agak tidak adil untuk membiarkan usaha-usaha wanita perawi hadis dan muhaddisat tidak diketengahkan sedangkan usaha mereka juga cukup besar dalam sejarah ahli hadis.Apatah lagi dalam suasana hari ini yang anak-anak gadisnya tidak mengambil berat lagi soal memahami tafsiran wahyu Allah. Mereka terpisah terus dari kehidupan mufassirat, muhaddisat, rawiyat, faqihat, muarrikhat dan kurangnya pendedahan hal ini kepada mereka. Kemudian, para musuh Islam pula melalaikan mereka dengan idol-idol yang merosakkan kehidupan dan kebahagiaan hakiki mereka. Pabila ulama juga sibuk mengupas kisah-kisah artis. Yang berusaha untuk membaiki keadaan dari kalangan fatayat pula terlalu kurang mengambil berat soal memahami tafsiran wahyu dari kitab-kitab ulama terdahulu. Bukanlah maksud kita untuk memaksa mereka mencapai tahap ulama dalam memahami tafsiran wahyu, tetapi benarkah mereka mengambil berat mempelajari tafsiran al-Quran dan kitab-kitab hadis muktabar? Tidak kira apa jua bidang yang diceburi, mempelajari ilmu wahyu adalah jalan untuk mencapai darjat yang tinggi di dunia dan akhirat.

Saya percaya ada yang telah menulis berkenaan perkara tersebut seperti yang saya dengar daripada beberapa orang sahabat yang menyertai seminar-seminar di Malaysia, namun nama-nama tersebut masih lagi jauh dari pengetahuan anak-anak gadis. Mungkin kurangnya pendedahan kepada mereka dalam kem-kem atau kursus-kursus. Saya tulis di sini beberapa contoh yang masyhur untuk dihayati sejarah mereka:

Terlalu ramai sahabiah yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah. Seperti yang dimaklumi ramai, isteri baginda Aisyah adalah di antara tujuh sahabat yang paling banyak meriwayatkan daripada baginda.

Dalam kurun tabi'en

1. `Amrah bint. Abd ar-Rahman ( yang bersaing dengan`Urwah dalam meriwayatkan hadis Aisyah)
2. Hafsah bint. Sirin
3. Mu'azah bint. Abdullah Ummu as-Sahba'
4. Ummu ad-Darda' as-Sughra Hujaimah ad-Dimasyqiyyah.

Di antara tahun 200H dan 300H

al-Khatib al-Baghdadi (mati 463 H) dalam Tarikh Baghdad dan Ibn Hibban dalam as-Siqaat telah menghimpunkan banyak nama.Antara muhaddisat dan perawi wanita zaman ini ialah:

1. `Abidah al-Madaniyyah
2. `Ulayyah bint. Hassan
3. Nafisah bint. Al-Hasan

Tahun 400 H

1. Fatimah bint. Abd ar-Rahman
2. Fatimah bint. Abu Daud
3. Amah al-Wahid bint. Al-Muhamiliy
4. Jum'ah bint. Ahmad
5. Amah as-Salam bint. al-Qadhi Abu Bakr

Tahun 500H

1. Fatimah bint. al-Ustaz al-Hasan ad-Daqqaq
2. Aisyah bint. Hasan
3. Aisyah bint. Muhammad ibn al-Husain al-Bistomiy

4. Bibi bint. Abd. as-Samad al-IbariyBibi
meriwayatkan satu juzu' hadis daripada Abd. ar-Rahman ibn Syuraih. Hanya dia yang meriwayatkan juzu' tersebut. Ia dikenali dengan nama Juzu' Bibi. Kitab hadis ini telah dicetak dalam satu jilid kecil.

5. Karimah bint. Ahmad

Karimah sangat masyhur sebagai perawi dan pengajar kitab Sohih al-Bukhariy. Beliau meriwayatkannya daripada al-Kasymihiniy. Di antara mereka yang hadir dalam majlis pengajian Karimah ialah tokoh-tokoh besar dalam pelbagai bidang. Antaranya:
• al-Khatib al-Baghdadi tokoh besar ilmu Hadis
• Muhammad ibn Nasr al-Azdi
• Abu al-Mahasin al-Misriy
• Imam as-Sam'aniy pengarang kitab al-Ansab yang masyhur.

Di antara perawi dan pengajar Sohih al-Bukhariy yang lain

1. Fatimah bint. Muhammad (539 H), digelar Musnid Asfahan.
2. Syuhdah bint. Ahmad (574 H), dikenali dengan sanad yang tinggi.
3. Zainab bint. Abd ar-Rahman (615 H)
4. Syarifah bint. Ahmad an-Nisawi, meriwayatkan Sohih al-Bukhariy drpd. Al-Kasymihiniy.
5. Sittul Wuzara' bint. Umar (716 H)
6. Zainab bint. Muzoffar, dia telah membandingkan nuskhah Sohih al-Bukhariy dengan usulnya bersama suaminya.
7. Afifah bint. Ahmad al-Farifani (606 H), dia telah meriwayatkan daripada Fatimah al-Juzdaniyyah Kitab al-Mu'jam al-Kabir dan al-Mu'jam as-Soghir karangan Imam at-Thabraniy serta Kitab al-Fitan karangan Nuaim ibn Hammad. Di antara yang meriwayatkan daripada Afifah ialah Ibn Nuqtah.

Demikianlah beberapa contoh yang disebut secara ringkas. Untuk menulis dengan lebih detail memerlukan masa yang lebih panjang. Saya berharap agar maklumat ringkas ini menyuntik semangat untuk para fatayaat pada hari ini menuntut ilmu. Semoga Allah memulihkan keadaan umat Islam hari ini dan memberi petunjuk kepada anak-anak gadis mereka ke arah kehormatan, kesucian dan kemuliaan.

Petikan e-mail,
Al-Akh Khairil Husayni Jamil

*************************************************************************************

Ramadhan sudah berada di penghujungnya.... :(
Semoga Allah beri kesempatan untuk bertemu dengannya lagi di tahun hadapan.

1 Comments:

At 12:00 PM, Anonymous Anonymous said...

Assalamu'alaikum,,,,,,,,,
Sedikit masukan za, Agar lebih lengkap dalam artikel ini, lebih sempurna kiranya untuk kurun darintabiin ke bawah untuk dapat disertakan peranan mereka dalam penyebaran hadis dan biografi hidup mereka walau secara ringkas tapi setidaknya ada, soalnya percuma kalo hanya di sertakan nama-namya saja, tanpa di sertakan biografinya.

 

Post a Comment

<< Home